Pages

Saturday, January 1, 2011

Rumah dihujani bateri, batu

SEGAMAT: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Siapa sangka peribahasa itu menjadi pengalaman unik dan menakutkan bagi penduduk Ladang Bukit Dato Tenang Station, Labis, dekat sini, apabila kediaman mereka dihujani batu dan bateri sejak dua bulan lalu.
Kejadian misteri dan menyeramkan itu mengakibatkan enam keluarga resah dan tidak dapat tidur malam apabila batu gravel, batu landasan kereta api dan juga bateri lampu picit dibaling menghentam dinding dan tingkap hingga pecah.

Malah, kejadian turut disaksikan anggota dari Balai Polis Tenang yang menyiasat tempat kejadian pada malam Rabu lalu.

Seorang mangsa, Ellan Senaya, 39, berkata kejadian misteri itu dikatakan bermula kira-kira dua bulan lalu selepas seorang bomoh dikatakan menangkap makhluk halus sebelum memenjarakannya di dalam botol sebelum ditanam di kawasan perkuburan masyarakat India di situ.

Namun, pada awalnya, kejadian baling batu itu tidak dihiraukan sangat oleh kira-kira 450 penduduk ladang berkenaan kerana mereka beranggapan ia perbuatan kanak-kanak nakal.

“Sebelum ini, hanya bumbung rumah yang dilempar batu dan ia hanya membabitkan enam rumah bahagian dapurnya menghadap pokok getah di lereng bukit di ladang itu.


“Batu dan objek lain disyaki dilempar dari ladang getah menyebabkan ada juga cermin tingkap rumah yang pecah.

“Sejak kebelakangan ini, kejadian misteri itu semakin menjadi-jadi tidak mengira siang atau malam. Pada waktu malam sehingga awal pagi semakin rancak menyebabkan ada jiran saya yang cedera di kepala serta cermin tingkap rumah banyak yang pecah akibat dibaling batu,” katanya.
Ellan yang tinggal di ladang itu hampir 39 tahun berkata, keluarganya amat takut dengan kejadian misteri yang pertama berlaku sejak dia tinggal dan dibesarkan di ladang itu.

Katanya, semua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tenang pada Rabu lalu dan dua orang anggota polis pergi ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Seorang anggota polis, Konstabel Saifudin Yacob, 25, terpaksa memakai topi keledar ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah malam apabila menyaksikan beberapa cermin tingkap yang pecah tanpa di ketahui sebabnya.

Seorang anggota polis bantuan, Veloo Punusamy, 47, yang berkawal di tempat kejadian pada tengah malam kelmarin turut menyaksikan beberapa batu memecahkan cermin tingkap rumah seorang penduduk.

Apabila beliau bertindak balas dengan cuba memeriksa lokasi arah datangnya batu itu, semakin banyak pula cermin tingkap pecah akibat dibaling dengan batu gravel, batu landasan kereta api dan bateri lampu picit seolah-olah tindakan Veloo menyebabkan kemarahan kepada pihak yang membaling batu berkenaan.

Jiran Ellan, Sathia Kumar, 28, berkata dua sempat merakamkam beberapa gambar yang memaparkan objek misteri berbentuk pancaran cahaya panjang.

Manakala rakannya mendakwa pernah melihat bayangan makhluk setinggi 1.2 meter berwarna putih di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali menasihatkan penduduk supaya lebih waspada dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai perkara itu kerana polis sedang menjalankan siasatan.

No comments:

Post a Comment