Pages

Monday, January 17, 2011

Antika tinggalkan universiti



Antika Sarno


KUALA LUMPUR 16 Jan. – Sepatutnya gadis manis ini ke universiti, namun kerana kemiskinan, dia terpaksa menjadi pembantu rumah.
Itu kisah duka yang disimpan rapi selama hampir tujuh tahun sebelum Antika Sarno, 29, bersedia berkongsi cerita.
Hakikatnya, wajahnya yang sentiasa ceria, tidak langsung menggambarkan betapa berat beban yang sedang ditanggung.
Antika, seorang anak kampung miskin, terpaksa meninggalkan negara atas dasar tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Menariknya tentang Antika ialah melihat kepada gaya percakapannya.
Jika tidak ditanya latar belakangnya, mungkin tiada siapa menyedari gadis ini seorang pembantu rumah berasal dari Kisaran, Sumatera Utara.
Menurut Antika, dia mengambil masa tidak sampai tiga bulan untuk menguasai lenggok bahasa Melayu yang menjadi bahasa utama negara ini.
‘‘Bahasa harian yang sering saya guna semasa di kampung dulu tidak berbeza sangat dengan bahasa Melayu di sini,” katanya tersenyum lagi.
Antika, anak sulung daripada tiga beradik, bukan seperti kebanyakan pembantu rumah lain yang hanya berpendidikan sekolah rendah atau di negara jiran itu disebut sebagai sekolah dasar.
Pencapaian peperiksaan sekolah menengahnya yang cemerlang, melayakkan dia menyambung pelajaran ke universiti dalam bidang perakaunan.
Namun, disebabkan kemiskinan - demi memastikan adik-adik yang lain dapat meneruskan pelajaran untuk menjadi insan berguna, dia memilih untuk berkorban - meninggalkan segala-gala yang amat disayanginya.
‘‘Adik perempuan saya sekarang mengambil jurusan kedoktoran, adik lelaki pula masih di sekolah rendah, darjah (tahun) tiga,” ujarnya.
Jelas Antika, ada sebab mengapa adik perempuannya itu memilih untuk menjadi doktor.
‘‘Emak bukan sahaja sakit buah pinggang, tetapi ada masalah jantung dan paru-paru. Doktor kata, masih boleh dirawat,” katanya perlahan.
Bagi memastikan ibu dikasihi itu terus bertahan, setiap bulan, gadis tabah ini mengirimkan antara RM350 hingga RM400 kepada bapanya.
Wang tersebut adalah sebahagian besar daripada keseluruhan RM600 gaji yang diterima setiap bulan daripada majikan tempat dia bekerja kini.
‘‘Selain wang kiriman saya, bapa yang bekerja sebagai pemandu lori juga banyak membantu menanggung kos rawatan emak,” jelas Antika.
Menyusuri pengalamannya bekerja sebagai pembantu rumah, kata Antika, selama hampir tujuh tahun berada di Malaysia, dia tidak pernah mengalami pengalaman ngeri seperti yang dipaparkan di media-media.
‘‘Saya bersyukur dapat bekerja di sini. Walaupun dulu sering terbaca kisah-kisah majikan mendera pembantu rumah, tetapi apa yang penting sebenarnya adalah niat mengapa kita mahu datang ke sini,” katanya.
Tambah Antika, jika niat yang tertanam adalah semata-mata mahu bekerja demi mencari wang untuk meneruskan kelangsungan hidup, tiada sebab mengapa majikan sengaja mahu mencari kesilapan pembantu rumah mereka.
‘‘Masalahnya ialah mungkin ada yang masuk ke sini atas sebab lain tetapi menjadikan pekerjaan pembantu rumah sebagai saluran. Maka, berlaku macam-macam hal yang tidak disukai oleh majikan,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment