Pages

Monday, January 17, 2011

2 sahabat terkejut jumpa mayat bayi terapung



BEBERAPA anggota polis memeriksa plastik mengandungi mayat bayi yang ditemui di Sungai Skudai di perkampungan Orang Asli Kampung Bakar Batu, Taman Perling, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/Baazlan IbrahiM


JOHOR BAHRU 16 Jan. - Dua sahabat yang sedang mandi-manda di sungai berhampiran Kampung Sungai Bakar Batu, Taman Perling di sini terkejut apabila menemui sebuah beg plastik terapung yang mengandungi mayat seorang bayi perempuan.
Pada mulanya, Mazni John dan Pina Paizal, kedua-duanya berusia sembilan tahun menganggap beg plastik yang terapung berhampiran mereka hanya berisi pakaian terbuang.
Namun, sebaik sahaja dua anak Orang Asli itu membuka beg plastik berkenaan, mereka menjerit ketakutan apabila menemui mayat bayi.
Dua kanak-kanak itu bergegas pulang ke rumah masing-masing yang terletak tidak jauh dari sungai berkenaan.
"Saya ingatkan ada pakaian yang dibuang dalam beg plastik itu, rupa-rupanya mayat bayi. Kami kemudian segera pulang dan memaklumkannya kepada ibu bapa kami," kata Mazni ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung mengenai penemuan mayat bayi itu kira-kira pukul 1 petang.
"Polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui satu bungkusan plastik berwarna kuning terapung di sungai sebelum membawanya naik ke darat.
"Sebaik sahaja anggota polis membuka beg plastik tersebut, mereka menemui satu mayat bayi yang masih bertali pusat," katanya ketika dihubungi di sini.
Ruslan memberitahu, pemeriksaan awal mendapati, tiada kesan kecederaan pada mayat bayi itu yang dipercayai baru dilahirkan.
Mayat bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat, katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan hingga kini belum ada tangkapan dilakukan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penemuan mayat bayi berkenaan diminta menghubungi talian hotline di 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment