Pages

Monday, December 27, 2010

Nikmat menunaikan haji kecil





PENERBANGAN selama lapan jam itu bagi Dr. Fairuz Zehan Aziz, 26, dirasakan terlalu singkat. Meskipun dalam tempoh tersebut beliau boleh tidur sepuas-puasnya, tetapi Fairuz Zehan atau lebih mesra dengan panggilan Fairuz lebih selesa berjaga dan mengulang membaca buku panduan ibadah umrah.
Sesekali dia meneliti nota yang dicatat sewaktu menghadiri kursus umrah. Pada masa yang sama, Fairuz, menghafal doa-doa wajib ketika mengerjakan umrah.
Sama seperti insan lain, Fairuz mengakui perasaannya bercampur baur. Selain teruja, pengalaman menunaikan umrah buat julung-julung kalinya itu menyebabkan beliau diselubungi rasa gemuruh dan berdebar-debar.
"Maklumlah, ini pengalaman pertama saya ke Mekah. Namun, saya bersyukur kerana pemergian ini ditemani mama yang tidak putus-putus memberi nasihat.
"Dua minggu sebelum bertolak, saya memang tak sabar. Keterujaan semakin ketara ketika menghadiri kursus umrah anjuran agensi pelancongan.
"Tetapi sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, Arab Saudi, hati saya berdegup kencang," imbas Fairuz, Pegawai Perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor itu yang mengerjakan umrah pada bulan Ramadan tahun ini bersama rombongan agensi pelancongan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.
Katanya, debaran itu mungkin disebabkan dia terlalu banyak mendengar dan membaca kisah-kisah individu yang pantas menerima dugaan serta balasan daripada Allah atas dosa-dosa yang pernah dilakukan.
Selesai segala urusan pasport dan bagasi di Jeddah, Fairuz dan 50 orang ahli rombongan yang lain meneruskan perjalanan ke Madinah dengan sebuah bas yang mengambil masa selama lapan jam.
Bicara Fairuz yang berada di Tanah Suci selama dua minggu, tiba sahaja di Madinah sepasang matanya terpegun dengan keindahan seni bina dan keluasan Masjid Nabawi.
Melindungi jemaah
Kesempatan menginap di Madinah selama tiga hari memberi peluang kepada Fairuz beribadat di dalam masjid yang dibina hasil gotong-royong orang Ansar dan Muhajirin sejurus sahaja Rasulullah S.A.W berhijrah dari Mekah ke Madinah.
"Masjid Nabawi sungguh selesa, luas dan bersih. Seni binanya indah, selain dilengkapi teknologi canggih. Buktinya, pembinaan sejumlah payung gergasi bermotor yang dipasang di perkarangan masjid. Ia dibuka dan ditutup menggunakan kawalan elektronik.
"Secara tidak langsung dengan adanya payung bermotor yang bersaiz besar itu ia dapat melindungi jemaah khususnya warga emas dan uzur yang beribadat di luar masjid daripada terkena panahan cahaya matahari," tutur Fairuz yang turut mengunjungi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah.
Antara destinasi kunjungannya ialah Masjid Quba iaitu masjid pertama yang dibina oleh orang Islam. Masjid itu terletak di Kota Madinah iaitu kira-kira tiga kilometer dari Masjid Nabawi.
Selain itu, dia juga berpeluang melawat Bukit Uhud iaitu lokasi yang berlakunya Perang Uhud pada tahun ketiga Hijrah antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy. Fairuz juga sempat menziarah Gua Thur, ladang tamar dan Raudhah yang menempatkan makam Nabi Muhammad S.A.W.

JABAL RAHMAH di Padang Arafah turut menjadi tumpuan pengunjung.


Di Mekah dia menyaksikan betapa kenikmatan berpuasa itu dikongsi bersama-sama tanpa mengira darjat dan warna kulit.
"Masih segar dalam ingatan, seorang wanita Arab yang berada di luar Masjidil Haram menarik tangan saya untuk berbuka puasa dengannya.
"Saya menyambut pelawaan itu dengan baik walaupun hanya disajikan segelas air zam-zam dan beberapa biji buah kurma," jelas Fairuz yang berlinangan air mata setiap kali mengadap Kaabah.
Sementara itu, penulis lirik nasyid, Farihin Abdul Fatah, 45, kesempatan menjejakkan kaki ke Mekah merupakan peluang keemasan baginya untuk menghabiskan sepenuh masa beribadat di dalam Masjidil Haram.
Hati perlu ikhlas
Segala kekusutan dan hal duniawi dilupakan seketika kerana matlamat kunjungannya ke sana untuk membersihkan hati, berwirid dan beribadat.
Tutur Pengetua Program Adik-Adikku musim kedua terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hati dan minda perlu sentiasa ikhlas. Elakkan berdetik perkara yang tidak baik.
"Saya bercakap berdasarkan pengalaman sewaktu mengerjakan umrah bersama dua sahabat pada bulan puasa lalu. Walaupun jarak antara hotel kami dan Masjidil Haram tidak jauh tetapi kami asyik memberitahu sesama sendiri agar jangan terpisah.
"Barangkali dek terlalu memikirkan tentang perkara yang remeh-temeh maka Allah benar-benar memisahkan kami bertiga. Insiden kecil itu memberi keinsafan dan menyedarkan saya bahawa ketika berada di Mekah, fikiran dan hati kita hanya untuk-Nya," jelas Farihin yang sudah dua kali menunaikan umrah.
Umrah yang juga dipanggil 'haji kecil' bererti mengunjungi Kaabah dan melakukan ibadat yang terdiri daripada niat, ihram, tawaf, sa'i dan tahalul. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun berbanding menunaikan haji yang hanya sah dikerjakan pada bulan haji.
Dalam tempoh ihram jemaah dilarang memakai pakaian berjahit kerana hanya pakaian putih yang tidak berjahit dibenarkan. Pada masa yang sama, jemaah dilarang memotong kuku atau berburu. Niat ihram pula, tidak boleh dilakukan di sebarang tempat melainkan di Miqat.
Selain berihram, para jemaah perlu bertawaf mengelilingi Kaabah yang terletak di dalam Masjidil Haram sebanyak tujuh kali. Ini termasuklah sa'i sebanyak tujuh kali yang bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah.
Kemudian barulah bertahallul iaitu perbuatan bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai untuk bebas daripada ihram.

SELAIN mengunjungi Bukit Uhud, jemaah juga berpeluang singgah ke ladang dan pasar buah tamar di Madinah.


Sementara itu, Nor Hashim Abdullah, 44, yang berpengalaman hampir 16 tahun membawa jemaah haji dan umrah ke Tanah Suci Mekah, memberitahu walaupun dalam setahun sebanyak tujuh kali dia berpeluang ke Mekah, tetapi dia masih terasa gugup dan merendah diri.
"Meskipun kita sudah berkali-kali menunaikan umrah atau haji, jangan sesekali meninggi diri dan mempersendakan kawan-kawan yang masih belum berpeluang ke sana.
"Barangkali rezeki mereka ke sana belum tiba ada hikmahnya," ujar Nor Hashim.
Tambah Pengarah Urusan Harmony Excellence Travel & Tours Sdn.Bhd., (HETT): "Tiada istilah jemu mengunjungi Mekah. Malah, saya gembira dapat membantu jemaah menunaikan umrah dan membawa mereka menziarah destinasi menarik.
"Pada masa yang sama berpeluang melihat perubahan di Mekah dan Madinah yang semakin moden dan selesa. Ini termasuklah pembinaan Menara Jam Diraja yang tertinggi di dunia dan pusat beli-belah Abraj Al-Bait."
Penambahan Masjidil Haram
Terang Nor Hashim, pada tahun 1990-an, keluasan Masjidil Haram tidaklah seluas seperti sekarang. Perubahan paling ketara hamparan lantai batu marmar di laluan perkarangan pintu masuk masjid yang memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan solat.
Perkara yang sama turut diakui oleh penyanyi dan komposer, Yassin Sulaiman, 35, yang melihat persekitaran di Masjidil Haram berwajah baru sewaktu menunaikan umrah pada lima tahun lepas.
"Bayangkan, dulu Masjidil Haram dua tingkat saja tetapi kini ia bertambah setinggi empat tingkat, gara-gara kunjungan jemaah yang semakin meningkat. Hotel-hotel mewah juga bertambah dan dibina berhampiran masjid.
"Saya merindui suasana tinggal di Mekah. Saya membesar di Mekah sejak umur lima hingga 13 tahun. Seronok bersekolah dan bermain bola sepak bersama kawan-kawan berbangsa Arab," terang Yassin.
Dia memanjat kesyukuran kerana berpeluang menghampiri Kaabah dan beribadat di Tanah Suci sejak usia lima tahun. Yassin menetap di Mekah kerana mengikut bapanya melanjutkan pelajaran. "Masyarakat tempatan di Mekah cukup menitikberatkan soal solat.
"Setiap kali mendengar laungan azan, penduduk dan peniaga bergegas ke masjid. Mereka yang didapati berlengah-lengahkan solat akan disebat oleh penguat kuasa jabatan agama Islam tempatan yang sering melakukan rondaan," kata bapa kepada Sameer, 7 dan Malaika, 2, itu.
Ujarnya, jenayah di Mekah sekitar tahun 1980-an juga rendah. Kebanyakan individu bimbang melakukan kesalahan kerana takut dengan hukuman yang dikenakan.
Selesai solat Jumaat, orang ramai berkumpul di kawasan lapang untuk menyaksikan kumpulan pesalah menerima hukuman sebat, tangan dipotong ataupun kepala dipancung.
kosmo

No comments:

Post a Comment