Pages

Friday, December 3, 2010

Kita berkongsi budaya, bukan berkongsi aqidah.


Hard disk rosak, nampak gaya kenalah hantar laptop ke Low Yat. Sementara tunggu siap dibaiki, saya berjalan-jalan di Times Square. Sekilas, mata saya menangkap sesuatu. Seorang anak muda Melayu, beragama Islam sedang membimbit beg plastik. Ada apa di dalamnya?..saya lihat topi berwarna merah..Macam pernah nampak. Betullah tu. Yang lazimnya kita nampak Santa Claus pakai tiap-tiap tahun tu.

Teringat pula beberapa tahun kebelakangan ini  media massa dan gedung-gedung perniagaan kerap mempromosikan konsep perkongsian perayaan apabila dua perayaan disambut pada tarikh yang hampir sama. Ketika inilah istilah-istilah seperti 'Kongsi Raya' atau 'Deepa Raya' yang kononnya menggambarkan keharmonian rakyat Malaysia riuh di sana-sini.

Saat tu, terdetik di hati saya tentang isu pluralisme yang dibawa oleh seorang sahabat di Fb ni. Pluralisme dalam bermasyarakat itu tidaklah salah, tapi ada sesuatu yang kita perlu tahu...iaitu di mana seorang muslim yang membawa Islam itu perlu berdiri ditengah-tengah pluralisme?

Allah menciptakan bumi dengan pelbagai jenis bangsa, etnik, dan kaum. Atas penciptaan inilah hakikatnya kita mampu berkongsi budaya, adat resam, masakan, ilmu, teknologi dan pelbagai lagi. Ya, kita berkongsi semua itu, tapi taklah pula sampai berkongsi aqidah. Situasi ini sebenarnya menimbulkanpersoalan genting keharusan orang Islam menyambut perayaan orang bukan Islam atau menggabungkan perayaan orang Islam dengan perayaan agama lain. Dalam hal ini, setiap muslim perlu sedar bahawa hanya Islam agama yang diredhai Allah. Selain Islam, tiada agama yang diterima disisiNya.

Allah berfirman;
"Sesungguhnya Allah memilih agama untuk kamu,janganlah kamu mati, melainkan sebagai seorang muslim". (al-Baqarah:232)

dan juga dalam firmanNya yang berbunyi;

Maksudnya:"Sesungguhnya, agama yang diredhai  di sisi Allah ialah Islam". (Ali Imran: 19)

Setiap muslim tidak boleh redha dan rela dengan agama lain. Dengan kata lain, jangan sekali-kali berpegang bahawa semua agama sama sahaja kerana beralasankan semua agama menyuruh kepada kebaikan. Memang agama lain turut menyuruh kepada kebaikan, tetapi persoalan utama adalah aqidah Tauhid kepada Allah. Itulah perbezaan utama antara Islam dan bukan Islam. Perasaan redha dan rela kepada agama lain menyebabkan seseorang itu kufur, dan ia bertepatan dengan kaedah yang disusun hukama:

"Redha dengan kekufuran adalah kufur, dan redha dengan maksiat juga adalah maksiat".

Apa pula kisahnya dengan perayaan agama lain? Tidak harus bagi seorang muslim menghadiri perayaan agama lain. Ini berdasarkan ciri-ciri hamba Allah yang beriman sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Furqan, ayat 72:

Maksudnya: " Dan mereka (hamba al-Rahman) tidak menyaksikan majlis dusta".

Menurut Imam Al-Qurtubi, antara sifat hamba Allah ialah mereka yang tidak menghadiri atau menyaksikan pendustaan dan kebatilan.  Tafsir ini juga disepakati oleh Ad-Dahhak, Ibn Zaid dan Ibn Abbas. Ibn Abbas juga melaporkan, majlis-majlis dusta yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah perayaan-perayaan orang kafir. Bahkan tafsir ini turut disokong oleh Imam Ibn Kathir yang menjelaskan maksud ayat ini adalah merujuk kepada perbuatan syirik seperti penyembahan berhala dan perayaan orang kafir.

BAGAIMANA SAMBUTAN PERAYAAN ISLAM BERMULA.
Riwayat sunnah menunjukkan bagaimana keadaan ketika nabi s.a.w tiba di Madinah. Di sana ada dua hari dimana mereka bergembira pada dua hari tersebut. Nabi s.a.w bertanya tentang hari tersebut. Sahabat menjelaskan bahawa dua hari tersebut ialah hari dimana mereka meraikannya sejak zaman jahiliyyah.

Nabi s.a.w lalu bersabda yang maksudnya:

"Sesungguhnya Allah menggantikan kedua-dua hari tersebut dengan perayaan yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu Hari Raya 'Aidiladha dan Hari Raya 'Aidilfitri". (Riwayat Abu Daud)  

Tapi, taklah pula bererti Islam menganjurkan umatnya membenci penganut agama lain. Islam itu sendiri bermaksud sejahtera. Dah tentu Islam sentiasa mahukan keharmonian dalam masyarakat kerana dengannya, dakwah islamiyyah dapat berjalan dengan baik. Oleh itu, Islam menyediakan dua syarat untuk memandu seorang muslim dalam menghadiri perayaan non-Muslim: Dua syarat tersebut adalah:

1.Lokasi di mana ia diadakan.
Jika jemputan tersebut digereja atau di kuil, jemputan ini tidak wajar diterima kerana ia satu simbolik kepada perayaan agama dan seolah-olah muslim redha dengan agama tersebut. Walaubagaimanapun, jika ia dibuat atau diadakan di rumah non-Muslim atau dewan, maka ia tidak lagi melambangkan perayaan agama semata-mata tetapi sudah bercampur dengan program sosial dan masyarakat. Maka, ketika ini tidak salah untuk Muslim menghadiri jemputan rumah terbuka sempena perayaan agama dengan niat menghubungkan tali persahabatan, kejiranan, dan sebagainya. Biasanya, ketika ini tiada upacara agama melainkan ucapan, beramah mesra dan makan-makan sahaja.

2. Bukan bertujuan mengagungkan agama lain.
Membesarkan agama lain merupakan satu kesalahan besar dalam Islam. Tujuan seseorang itu hadir ke sana perlulah tidah lebih dari niat untuk aktiviti masyarakat dan bersahabat. Ulama' mazhab Hanafi menyebut bahawa:  

" Sesiapa yang menghadiahkan non-Muslim pada hari raya mereka akan sebiji buah tembikai dengan tujuan untuk membesarkan perayaan tersebut, maka ia telah kufur". 

Selain itu, ucapan tahniah sempena hari perayaan agama lain juga perlu dititikberatkan. Situasi ini menimbulkan dilema kepada Muslim, antara keredhaan terhadap agama atau tuntuan persahabatan dan kemesraan. Jenis-jenis ucapan selamat yang boleh dan tidak boleh terhadap non-Muslim adalah seperti berikut:

HARUS: Ucapan tidak mengandungi rasa redha dengan agama lain tetapi sekadar melahirkan kemesraan.
Contoh: "Semoga sihat sejahtera", "Semoga mendapat kebaikan"dan sebagainya.

HARAM: Ucapan yang mengandungi unsur keredhaan terhadap agama kufur.
Contoh: " Semoga dimuliakan pada hari raya ini", "Hari raya ini adalah hari raya mulia", dan sebagainya.

Bukankah lebih baik jika ucapan tahniah diiringi dengan doa agar mendapat Hidayah? Kita boleh mengucap kata-kata seperti: " Semoga mendapat Hidayah", "Semoga beroleh cahaya iman", dan sebagainya agar Hidayah Allah sampai kepada mereka. Mendoakan seseorang agar mendapat Hidayah amatlah digalakkan. Sirah memberitahu kita bahawa Nabi s.a.w mendoakan kaumnya agar mendapat Hidayah, kerana pada baginda mereka adalah golongan yang tidak mengetahui. Selain itu, baginda turut memanjatkan doa agar Allah memperkukuhkan Islam kepada salah seorang daripada dua Umar. Justeru, dalam situasi hari ini, mengapa tidak kita mengambil kesempatan dengan mengucapakan doa yang sama ketika menghadiri atau menyampaikan ucapan tahniah pada hari perayaan mereka?. Asas keharusan ini ialah saranan Al-Quran supaya berbuat baik dan berlaku adil kepada non-Muslim.

Firman Allah:
"Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada golongan agama yang tidak memerangi agamamu dan tidak mengeluarkan kamu daripada negerimu. Sesungguhnya Allah mengasihi golongan yang berbuat adil". (al-Mumtahanah:8)

Bak kata peribahasa Melayu, "Orang memberi, kita merasa. Orang berbudi, kita berbahasa". Non-Muslim juga mengucapkan ucapan selamat dan tahniah sempena perayaan agama Islam. Maka atas dasar membalas kebaikan mengikut kadar, maka wajarlah bagi Muslim membalas ucapan tersebut asalkan tidak diiringi dengan rasa redha terhadap agama mereka.

Firman Allah:
" Dan apabila kamu dihormati dengan penghormatan, balaslah ia dengan cara yang lebih baik atau sekadar membalasnya". (An-Nisa':86)

Bagaimana?  Tiada pluralisme dalam beraqidah.Barakallahufikum.

No comments:

Post a Comment