Pages

Saturday, November 20, 2010

Tiger Woods salahkan kehebatannya


LOS ANGELES 19 Nov. - Pemain golf terkemuka dunia, Tiger Woods semalam mempersalahkan kejayaan dalam karier golfnya sebagai punca dia menjalin hubungan sulit dengan bebeberapa wanita.
Ahli sukan berusia 34 tahun itu berkata, penguasaannya di atas padang golf membuatkan dia merasa dirinya 'sangat hebat' sehingga menjadi seorang yang mementingkan diri, seterusnya memberi kesan buruk kepada orang yang disayanginya.
Woods yang bercerai dengan Elin Nordegren setelah dikurniakan dua cahaya mata berkata, dia sedang mengkaji semula dirinya selepas siri hubungan sulitnya terdedah.
"Pada mulanya, berat untuk saya berbuat demikian kerana bimbang dengan apa yang akan saya temui atau apa yang sebenarnya terjadi pada diri saya.
"Namun saya bersyukur selepas berbuat demikian saya lebih tenang berbanding sebelum ini. Saya harap ia akan menjadi pengajaran buat saya," katanya.
Woods yang prestasi permainannya semakin hambar sejak berita kecurangannya heboh diperkatakan, meluahkan rasa hatinya itu dalam sebuah artikel di majalah Newsweek.
Ujar Woods, golf adalah permainan mengenai diri sendiri daripada sudut baik atau buruk bergantung kepada keupayaan seseorang, namun ia membuatkan dia merasakan mampu menawan dunia secara bersendirian.
"Saya tidak akan dapat benar-benar memulihkan kerosakan yang telah berlaku, terutama kepada keluarga saya. Tetapi saya akan terus mencuba. Saya bukan lelaki yang sama berbanding setahun lalu dan itu merupakan sesuatu perkara yang baik," katanya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment