Pages

Saturday, November 20, 2010

Dana besar baik pulih tapak purba Stonehenge



Pengunjung kagum melihat monumen Stonehenge di selatan England yang memerlukan dana yang besar untuk dibaik pulih. - AP


LONDON 19 Nov. - Peruntukan berjuta-juta pound akan dibelanjakan untuk memperbaiki kawasan di sekitar Stonehenge bagi memulihkan imej tapak Warisan Dunia tersebut yang selama ini terjejas akibat jalan yang sibuk dan kemudahan yang tidak mencukupi.
Badan pemuliharaan, English Heritage hari ini mengumumkan bahawa pihaknya sudah memperolehi kira-kira dua pertiga daripada dana yang diperlukan bagi mengubah suai kawasan sekitar bongkah-bongkah batu prasejarah itu.
Namun, pertubuhan tersebut mengakui pengubahsuaian dijangka tidak sempat disiapkan menjelang Sukan Olimpik di London pada 2012, apabila pelancong dijangka membanjiri tapak bersejarah itu.
Stonehenge yang dibina antara 4,000 hingga 5,000 tahun lalu adalah antara tapak Warisan Dunia yang paling terkenal di dunia.
Bagaimanapun pemandangan monumen purba itu tercemar disebabkan dua batang jalan yang sibuk, termasuk satu yang lalu betul-betul bersebelahannya.
Kemudahan pusat pelawat di Stonehenge juga tidak cukup kerana pengunjung antara lain terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan berumput berhampiran tapak purba itu semasa musim puncak.
Selain itu hanya terdapat sebuah gerai yang menjual makanan dan minuman ringan bagi memenuhi keperluan hampir sejuta pelawat yang berkunjung ke situ setiap tahun.
Pelan 25 juta pound (RM128 juta) untuk membaik pulih tapak itu dibatalkan apabila kerajaan Britain yang kesempitan wang bertindak mengurangkan perbelanjaan awam awal tahun ini, tetapi English Heritage terus berusaha mendapatkan wang daripada sumber lain.
Pembiayaan 10 juta pound (RM51.2 juta) yang diumumkan hari ini diberikan oleh Yayasan Loteri Warisan yang menggunakan wang daripada loteri nasional untuk membaik pulih muzium, taman dan tapak arkeologi.
Jurucakap English Heritage, Renee Fok berkata, bantuan itu serta dana lain bermakna matlamatnya semakin hampir dicapai. - AP

No comments:

Post a Comment