Pages

Friday, November 26, 2010

Sarang 'emas' cecah RM45,000 sekilo





SALAH sebuah rumah di Kangar ini dijadikan tempat ternakan burung walet.


KANGAR 25 Nov. - Industri penternakan burung walet atau nama saintifiknya, 'aerodramus fuciphagus' untuk mendapatkan sarangnya semakin popular di negara ini malah Perlis juga tidak ketinggalan terlibat dalam industri berkenaan.
Potensi besar industri itu ke pasaran antarabangsa menyebabkan Agrobank bersetuju mengeluarkan pembiayaan berjumlah RM67.7 juta kepada mereka yang berminat menceburi industri sarang burung walet.
Pembiayaan itu disediakan melalui peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertujuan menggalakkan pelaburan di dalam industri berkenaan berikutan permintaan tinggi terutamanya di China.
Secara umumnya, sarang burung walet ini diperbuat daripada air liur haiwan berkenaan dan mempunyai kualiti tertentu dengan nilai harga yang berbeza berdasarkan jenis dan warna.
Lazimnya, sarang burung berwarna hitam dijual pada harga RM1,500 sekilogram, yang berwarna putih RM3,000 sekilogram manakala kuning RM25,000 sekilogram dan merah RM45,000 sekilogram.
Dianggarkan sehingga kini terdapat lebih 10,000 premis membela burung walet di seluruh negara dengan nilai eksportnya lebih RM500 juta malah menjelang 2015 industri tersebut dijangka menyumbang sebanyak RM5 bilion kepada pendapatan negara.
Sarang burung walet disahkan Kementerian Kesihatan sebagai bersih dan boleh dimakan serta burung itu tidak membawa vektor penyakit.
Bagi menggalakkan industri berkenaan berkembang di Perlis, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan mewujudkan model rumah penternakan burung walet yang hanya bermodalkan RM50,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri,Sabry Ahmad berkata, langkah tersebut bertujuan melahirkan usahawan-usahawan kecil dari kalangan para petani melalui tunjuk ajar JPV.
"Pada masa ini JPV telah membina rumah berkenaan di Batu 20, Kaki Bukit di Padang Besar untuk dijadikan model kepada para usahawan kecil yang berminat dalam industri ini," katanya.
Sabry berkata, JPV Perlis mempunyai keupayaan teknikal untuk memberi khidmat nasihat secara percuma terutama peralatan ujian panggilan burung walit.
"JPV Perlis juga telah berunding dengan JPV Sarawak untuk mendapat khidmat nasihat yang lebih luas mengenai penternakan burung berkenaan termasuk kos pembinaan rumah burung tersebut," katanya.
Usaha yang dilakukan oleh JPV itu menurut beliau adalah untuk membuktikan bahawa projek penternakan itu tidak memerlukan kos yang tinggi dan boleh diceburi oleh masyarakat tempatan yang berpendapatan rendah.
"Daripada tinjauan kita mendapati kebanyakan pengusaha penternakan burung walet terpaksa mengeluarkan kos pembinaan rumah burung yang mencecah RM200,000 tetapi ia masih tidak berjaya menarik perhatian burung-burung ini untuk mendiami rumah tersebut," katanya.
Sarang burung walet mampu memberi pendapatan lumayan dengan permintaan yang tinggi di luar negara.


Menurut beliau, pada masa ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Agrobank telah menyediakan peruntukan kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.
Melalui usaha JPV itu, Sabry berkata, ia akan mewujudkan struktur bangunan pemeliharaan burung walet yang standard di samping menjamin pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata, JPV juga akan mengetuai pemantauan terhadap pemeliharaan burung berkenaan di negeri ini sejajar garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat.
Dalam pada itu, pengusaha burung walet, Abdul Hamid Ahmad berkata, penternakan burung walet memerlukan kesabaran untuk mendapatkan keuntungan selain kos yang tinggi dalam pembinaan bangunan.
Dia yang mengusahakan penternakan itu di rumahnya di Padang Besar Selatan berkata, pada awalnya pelbagai masalah ditempuhi terutama ketiadaan burung walet yang singgah dalam bangunan yang dibinanya.
"Pada awalnya saya rasa bangunan yang dibina sudah lengkap namun ia gagal menarik minat burung walet walaupun telah dipasang pembesar suara, rupa-rupanya burung ini memerlukan tempat yang lembap," katanya.
Kesungguhan Abdul Hamid dalam industri tersebut membuatkan dia tidak berkira untuk melaburkan modal yang besar dan sanggup memasang pendingin udara dalam bangunan itu.
Menurutnya, dia mempelajari teknik-teknik menternak burung walet daripada seorang rakan berbangsa Cina dan telah mengubah suai rumah tetamu setingkat di sebelah rumah kediamannya menjadi bangunan tiga tingkat.
"Ada orang bertanya kenapa saya sanggup 'merosakkan' rumah yang telah sedia cantik semata-mata untuk menternak burung walet tetapi bagi saya kalau sudah minat semua itu tidak menjadi masalah," ujarnya.
Menurut Abdul Hamid, pada awal tuaian sarang burung tersebut, ia tidak dijual sebaliknya diberi kepada rakan-rakan, hanya selepas beberapa kali tuaian sarang itu barulah dia menjualnya kepada pembekal dari sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur.
Seorang lagi pengusaha, Khor See Hock, dari Kampung Jejawi Endol, Simpang Empat, sudah mengusahakan penternakan burung walet sejak lima tahun lalu.
Dia telah menghabiskan kira-kira RM200,000 untuk mendirikan bangunan sarang burung walet di samping pembelian peralatan lain seperti pembesar suara.
Katanya, dia menjual sarang burung walet dengan harga RM4,000 sekilogram tidak termasuk upah membersihkan sarang burung mencecah RM1,000 sekilogram.
Sementara itu, dalam menggalakkan industri itu, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) turut mengenakan nilai yuran yang rendah iaitu RM200 setahun dengan borang permohonan percuma.
Yang Dipertua MPK, Rosley Mat berkata, mengikut bancian, hampir 250 pusat ternakan burung walet haram terdapat di Perlis.
Menurutnya, jika tidak dikawal, seluruh negeri Perlis akan dipenuhi dengan pusat ternakan burung tersebut yang akan turut mengganggu penduduk setempat.
''Sebagai jalan penyelesaian kepada para pengusaha industri tersebut yang semakin banyak tumbuh tanpa kawalan dan pemantauan, kita telah menyediakan satu lesen khas bagi membolehkan mereka menjalankan industri tersebut,'' katanya.

No comments:

Post a Comment