Pages

Thursday, November 25, 2010

Kurus cara sihat



Oleh Shaidah Shafie

2010/11/25

Kawal pemakanan, bersenam bantu wanita tampil berseri

BERBADAN kecil molek dan tinggi lampai menjadi idaman seluruh wanita di dunia tanpa mengira peringkat usia kerana dengan memiliki badan sedemikian, ia memberi pelbagai kelebihan kepada empunya diri. 

Antaranya, seronok memilih pakaian kerana saiz pakaian mereka mungkin mudah didapati pasaran, selain pakai apa saja bentuk potongan baju, pastinya nampak sepadan serta sesuai, dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Kenyataannya, berbadan kurus dan sihat membawa banyak kebaikan berbanding memiliki badan berisi atau mungkin ada yang boleh diistilahkan sebagai gempal, berisi mahu pun gemuk.
Sehubungan itu, bagi wanita berisi, mereka perlu berusaha lebih kerap bagi memastikan memperoleh bentuk badan diinginkan melalui penjagaan terhadap pemakan yang diambil mahu pun mengamalkan senaman berkala yang sesuai dengan tahap usia mahu pun masa. 

Pakar penilaian sensori dan pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Aminah Abdullah, berkata cara terbaik untuk mendapatkan bentuk badan diingini adalah dengan mengawal pemakanan dan bersenam

“Kawal pemakanan bermaksud mengambil makanan secara berpada kerana sunnah mengatakan kita perlu mengambil satu pertiga makanan, satu pertiga air dan membiarkan satu pertiga udara di dalam perut. Lazimnya, apa yang berlaku empat pertiga makanan yang diambil. 

“Selain itu, baik bagi wanita atau sesiapa saja, membanyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan jumlah karbohidrat untuk kesihatan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. 
Jelasnya, keseimbangan pengambilan makanan sangat penting bagi memperoleh kesihatan yang baik dan sesuai dengan saiz badan, namun ramai yang mengabaikannya. 

Sebagai contoh, katanya, pengambilan susu sangat kurang di kalangan wanita walaupun susu baik untuk kesihatan. Susu mengandungi vitamin dan zat mencukupi untuk keperluan badan dan ia dilengkapi dengan pengambilan diet yang lain serta bersenam. 

Senaman ringkas sudah memadai bagi memastikan perjalanan darah lancar, tetapi bentuk senaman yang dilakukan hendaklah bersesuaian dengan saiz badan dan tidak memberi tekanan pada badan. 

“Setiap hari, lakukan senaman mudah selama 30 minit, tiga kali sehari. Ada banyak senaman yang boleh dilakukan seperti berjalan sekeliling kawasan rumah, berenang mahu pun berlari

“Bagaimanapun, jangan paksa badan melakukan senaman yang tidak bersesuaian kerana ia mungkin mendatangkan mudarat kepada badan,” katanya. 

Info: 
  • Minum sekurang-kurangnya dua gelas susu dan segelas jus setiap hari. Bagi individu yang prihatin mengenai berat badan, mereka boleh mengambil susu rendah lemak. 
  • Jambu batu adalah antara buah terbaik untuk diet kerana ia mempunyai vitamin C yang tinggi selain kiwi. 
  • Jangan lakukan senaman yang drastik untuk menurunkan berat badan sebaliknya lakukan secara berperingkat
  • Pastikan gerakan senaman dilakukan sesuai dengan tubuh badan. Kalau sudah berusia, mungkin boleh lakukan senaman ringkas seperti tai chi atau gerakan mudah. Bagi orang Islam, gerakan dalam sembahyang seperti rukuk dan sujud juga adalah satu senaman baik untuk badan jika dilakukan dengan betul.

No comments:

Post a Comment