Pages

Wednesday, November 17, 2010

Polemik khazanah antik China




ATAS: Muzium Paris dipercayai pernah menjual khazanah berharga dari Yuanmingyuan.




KERAJAAN China meminta pihak muzium dan pengumpul barangan antik di seluruh dunia memulangkan semula pelbagai khazanah berharga miliknya yang dirampas dari Old Summer Palace di Beijing kira-kira 150 tahun lalu.
Bagaimanapun, pakar-pakar berpendapat tindakan yang dilakukan itu tidak akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Dua buah institusi yang menyimpan khazanah itu yang diperoleh dari bekas istana Maharaja Dinasti Qing itu ialah Army Museum Paris dan Victoria and Albert Museum di London.
Pakar-pakar berpendapat, kesemua khazanah yang tersimpan tidak akan diberikan semudah itu.
"Ketika kebanyakan institusi di Barat dan individu yang terlibat belum memberi sebarang maklum balas, seruan itu lebih disasarkan kepada penggunaan domestik, di mana para pemimpin China berharap ia akan merangsang negara berkenaan," kata profesor sejarah di Universiti Sydney, John Wong.
Dijual secara haram
Old Summer Palace atau lebih dikenali sebagai Yuanmingyuan pernah diserang tentera British dan Perancis semasa Perang Candu pada 18 hingga 19 Oktober 1860.
Peristiwa itu dilihat sebagai satu penghinaan kepada rakyat China kerana terpaksa tunduk kepada kuasa Barat. Seorang penulis Perancis, Victor Hugo menggambarkan setiap kali sambutan ulang tahun memperingatinya dilakukan, ia telah melonjakkan semangat nasionalisme rakyat.
Beijing menganggarkan sekurang-kurangnya 1.5 juta khazanah berharganya telah dirampas, tetapi seorang ahli sejarah yang juga penulis buku kemusnahan istana itu, Bernard Brizay memberitahu, ia sengaja diperbesar-besarkan.
Brizay memberitahu, versi serangan itu masih kabur manakala versi rasmi menunjukkan: "Terdapat khazanah yang dicuri di Yuanmingyuan dan telah dijual kepada peniaga barangan antik di Beijing."
Dalam kata lain, khazanah berharga yang dicuri seperti porselin, enamel, arca, perabot, lukisan sutera telah dijual secara haram selepas serangan itu.


ORANG ramai mengunjungi Old Summer Palace atau Yuanmingyuan di Beijing yang pernah diserang tentera British dan Perancis pada tahun 1860.




Titik tolak kemarahan Beijing bermula selepas acara lelongan dua air pancut buatan gangsa milik pereka fesyen terkenal, mendiang Yves Saint Laurent dan rakan kongsinya, Piere Berge. Keduanya-duanya berjaya dilelong pada harga AS$20 juta dolar (RM62 juta) setiap satu pada tahun lalu.
Pengurusan taman Yuanmingyuan pada minggu lalu telah menyeru untuk memboikot acara lelongan yang diadakan, tetapi permintaan itu langsung tidak diendahkan.
"Hampir setiap bulan, khazanah berharga dari Yuanmingyuan dijual di London, Hong Kong, Paris dan New York. Apabila orang ramai dapat tahu ia datang dari Yuanmingyuan, harganya akan meningkat," kata Brizay.
Pakar-pakar menambah, muzium-muzium terkemuka di dunia tidak akan memberi maklum balas terhadap permintaan Beijing. "Barangan yang tersimpan di muzium berkenaan tidak akan dipulangkan semula ke China.
"Pihak muzium agak keberatan mendedahkan di mana koleksi itu diperoleh, sekali pun mereka mempunyai kemampuan untuk mengidentifikasikan ciri-cirinya," tambah lelaki itu lagi.
Sebahagian besar koleksi yang dipamerkan di muzium artifak China di luar Paris berasal dari istana berkenaan. Salah satu daripadanya ialah sebuah album yang memaparkan 40 gambar mengenai Yuanmingyuan, kini ia tersimpan di Perpustakaan Negara Perancis.


ADA yang mendakwa khazanah yang dicuri di Yuanmingyuan dijual kepada peniaga barangan antik di pasaran gelap.




Tiada maklumat
Pada Oktober 2009, China mengumumkan untuk menghantar pasukan khas ke luar negara bertujuan mengesan jumlahnya.
Pengarah Yuanmingyuan, Chen Mingjie berkata, ketika ini kebanyakan khazanah milik negara itu berada di lebih 2,000 muzium di 47 buah negara, dibawa keluar dari Muzium Britain. Bagaimanapun selepas setahun, maklumat terperinci mengenainya belum dapat dikeluarkan.
Menurut Ketua Kuratornya, Jean-Paul Desroches, pihak Guimet Museum yang memaparkan seni Asia di Perancis juga tidak menerima sebarang permohonan untuk mengira jumlah khazanah miliknya.
Desroches berkata, dia tidak berapa pasti sama ada muzium kendaliannya menyimpan khazanah-khazanah dari Yuanmingyuan. Tambahnya, jika dia mengetahuinya sekali pun, ia tidak membawa sebarang kesan.
Minggu lalu, Perancis telah diminta untuk melakukan kajian berhubung tragedi di Old Summer Palace. Pada masa yang sama, negara itu turut menyarankan sebarang permintaan untuk memulangkan semula hasil dan karya seninya perlu melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). - AFP

No comments:

Post a Comment