Pages

Wednesday, November 17, 2010

Persamaandarjat manusia






SERUAN haji bergema kembali menghimpunkan umat Islam dari segenap penjuru dunia dalam melaksanakan tanggungjawab Rukun Islam kelima.
Para jemaah haji akan menghadap ke arah kiblat yang sama dengan hanya membawa keperluan yang terhad.
Bahkan, mereka pergi hanya berbekalkan beberapa helai pakaian dan keperluan tertentu serta meninggalkan segala harta benda di kampung halaman masing-masing untuk mencari keredaan Ilahi.
Ketika ihram, jemaah haji akan memakai dua helai kain putih. Simboliknya tentang pakaian ihram itu adalah ia melambangkan persamaan darjat bagi semua manusia yang menunaikan seruan ibadah haji.
Mereka sama sekali dilarang memakai sebarang pakaian berjahit dan bercantum. Tidak kira sesiapa pun, etika pakaian mereka tetap sama iaitu pakaian ihram.
Pangkat dan darjat tidak membawa sebarang makna tetapi iman serta amalan menjadi pengukur untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.
Pakaian ihram menjadi pelindung badan mereka pada waktu panas terik dan sejuk semasa menunaikan haji.
Ia turut mengikis segala perbezaan di kalangan jemaah sekali gus mengukuhkan lagi kesatuan umat Islam di seluruh dunia.
Dalam pada itu, dua helai kain putih itu memberi sekelumit gambaran kecil bahawa mereka hanya memakai beberapa lapis kain kafan sebagai penutup badan ketika menghadap Tuhan pada saat kematian.
Ihram kain kapas

PAKAIAN Ihram menunjukkan bahawa semua umat Islam adalah sama di sisi Allah SWT.



Setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidiladha, ia juga membuka peluang kepada usahawan untuk mencari sumber pendapatan menjual pakaian dan produk menunaikan ibadah haji.
Pemilik kedai Ilham Jaya Baru Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam, Marlis Hamid, 55, berkata, tidak banyak pilihan pakaian ihram yang terdapat di negara ini.
Bagaimanapun, kini terdapat kain ihram yang mempunyai corak berkotak-kotak dan bermotifkan flora untuk menjadi pilihan jemaah haji.
“Kebanyakan jemaah haji gemar menggunakan pakaian ihram kain kapas tuala kerana ia lebih tebal, lembut dan selesa digunakan.
“Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya akan menempah kain ihram tersebut dari China kerana di negara ini tidak terdapat kilang yang membuat pakaian ihram,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Dia yang menjalankan perniagaan produk haji selama hampir enam tahun lalu memberitahu, terdapat tiga saiz pakaian ihram.
“Saya menjual saiz untuk orang dewasa, remaja 14 tahun ke bawah dan kanak-kanak enam tahun.
“Pelbagai saiz pakaian ihram dijual kerana kini bukan orang dewasa sahaja yang menunaikan haji bahkan remaja dan kanak-kanak. Pakaian ihram ini akan dijual pada harga di antara RM35 sehingga RM60,” katanya.
Dalam pada itu, kata Marlis jemaah haji lazimnya membeli dua pasang pakaian ihram untuk dibawa menunaikan haji.
Mereka juga akan membeli pakaian ihram pada Hari Raya Aidilfitri untuk membuat persiapan awal.
“Sehingga kini, perniagaan pakaian ihram saya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Mereka bukan sahaja membeli kain ihram tetapi produk-produk lain seperti selipar, tali pinggang, kurta dan bermacam-macam lagi,” ujarnya.

MUHAMMAD ILYAS menunjukkan tali pinggang yang dijual di Jun Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam.



Bagi Muhammad Ilyas Ahmad, 29, yang bekerja di Jun Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam pula menambah, pakaian ihram yang dijual di kedai tersebut didatangkan khas dari Pakistan.
“Kami import dari Pakistan kerana kebanyakan pelanggan lebih gemar menggunakan kain kapas dari negara berkenaan.
“Pakaian ihram bagi lelaki ialah dua helai kain tidak dijahit dan tidak dicantum. Sehelai akan dipakai di sebelah bawah untuk menutup aurat, iaitu antara pusat dan lutut manakala sehelai lagi dibuat selendang.
“Selain pakaian ihram lelaki, pakaian ihram perempuan pula menutup semua anggota badannya seperti telekung solat,” ujarnya.
Muhammad Ilyas berkata, kebanyakan pakaian ihram yang terdapat di negara ini diimport dari China, Bangladesh, Pakistan, Vietnam, India dan beberapa negara lain.
Sementara itu bagi pasangan suami isteri, Darul Yusriman, 36, dan Roziela Abu Bakar, 35, pengalaman menunaikan haji pada tahun 2007 tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Kami suami isteri masih muda ketika menunaikan haji. Ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci, perasaan gementar dan teruja terdetik secara tiba-tiba kerana itulah pengalaman pertama menunaikan Rukun Islam kelima.
“Walaupun kami telah menjalani latihan praktikal tetapi perasaan gementar itu tetap wujud dan kami sangat bersyukur kerana dapat mengerjakan haji bersama ibu bapa dan adik-beradik,” kata eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.
Darul menambah, menunaikan ibadah haji bersama ibu bapa amat penting kerana sekurang-kurangnya ada orang berpengalaman yang menemani ketika mengerjakan haji.


DARUL (kiri) dan Roziela berpeluang menunaikan ibadah haji pada usia muda tiga tahun lalu.




Sesat di Mina
Kata Darul, sepanjang menunaikan haji dia sentiasa teringatkan anak-anak yang ditinggalkan di tanah air.
“Wajah anak-anak sering bermain di fikiran tetapi bersyukur kerana mempunyai telefon bimbit 3G untuk melepaskan rindu kepada anak-anak,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pakaian ihram, Darul memberitahu, tidak menghadapi sebarang masalah memakai pakaian tersebut.
“Kita telah diberi penerangan dan cara-cara pemakaian ihram dengan betul untuk memastikan ia berada dalam keadaan kemas dan tertib,” katanya lagi.
Sementara itu, Roziela menambah, mengerjakan haji umpama perhimpunan agung umat Islam kerana mereka datang dari seluruh pelosok dunia.
“Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika jemaah haji Malaysia bertakbir, ia mengingatkan saya sambutan Aidiladha ketika berada di tanah air.
“Selain itu tidak banyak pengalaman pelik yang saya alami. Cuma, kita perlu menyesuaikan diri dengan cuaca, makanan dan kemudahan yang disediakan,” ujarnya.
Namun Roziela teringat kisah seorang jemaah yang sesat sehingga dua atau tiga hari ketika berada di Mina.
“Difahamkan semasa mak cik tersebut hilang dia menjumpai banyak kambing dan orang Arab yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
“Bagaimanapun, seorang pemandu teksi yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu telah menghantarnya ke hotel,” katanya yang berharap dapat menunaikan ibadah haji lagi pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment