Pages

Thursday, November 25, 2010

Perjuangan memulih pesakit ketagih dadah






MUNGKIN ramai beranggapan mereka yang mengalami masalah ketagihan opioid tidak mempunyai harapan untuk pulih dan kembali ke pangkuan masyarakat.
Tanggapan sebegitu bukan sahaja melemahkan semangat pesakit ketagih opioid tetapi stigma itu menyukarkan mereka untuk bergaul dengan masyarakat.
Senario itu bagaimanapun dapat diubah apabila rawatan perubatan dan kaunseling berterusan dilakukan terhadap pesakit. Rawatan tersebut dapat membantu pesakit mengawal ketagihan sekali gus mengurangkan stigma.
Sehubungan itu, Program Jiwa Baru telah dilancarkan pada 29 April 2008 dengan sokongan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Persatuan Perubatan Penagihan Malaysia (AMAM) dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dalam membantu memulihkan pesakit-pesakit ketagihan.
Usaha program komuniti itu tidak hanya terbatas kepada penagih-penagih sahaja tetapi melibatkan pendidikan dan pendedahan kepada ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat sekeliling untuk memastikan pesakit dapat dipulihkan tanpa ada stigma kepada mereka.
Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, ketagihan dadah merupakan penyakit perubatan yang boleh dirawat.
“Jika seseorang itu mengambil opioid, ia akan masuk terus ke otak dan membuatkan dia khayal serta memberi keseronokan sehingga tidak boleh ditukar ganti dengan benda lain. Penagihan dadah memerlukan rawatan dari peringkat awal.
“Justeru itu, proses rawatan pesakit ini perlu berterusan dan mendapat sokongan daripada keluarga terdekat untuk memastikan mereka tidak terjebak semula dalam pengambilan dadah,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

TERAPI kaunseling antara komponen penting dalam membantu merawat penagihan dadah. - Gambar hiasan


Dr. Nor Hamidah memberitahu, terapi kaunseling atau tingkah laku merupakan komponen penting dalam proses rawatan bagi memastikan pemulihan penagih-penagih dadah.
Dalam memberi bantuan, beliau perlu menyelami dan memahami perasaan atau emosi pesakit-pesakit terlebih dahulu untuk menyesuaikan kaedah kaunseling terbaik berdasarkan keperluan khusus mereka.
Setiap pesakit mempunyai tingkah laku yang berbeza-beza di antara satu sama lain dan pengkhususan perlu dilakukan untuk membantu mereka.
“Kalau hendak membantu pesakit-pesakit ini kita perlu menolong semua sekali termasuk ahli keluarga mereka. Ia dilakukan bagi memastikan pesakit tidak kembali kepada kelompok dan persekitaran lama yang mencetuskan kembali penagihan dadah.
“Masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan dalam membantu pesakit-pesakit kronik ini dengan memujuk mereka untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, swasta dan klinik-klinik yang menyediakan program membantu penagih opioid. Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan agar mereka dapat dipulihkan,” jelasnya.
Merawat ketagihan
Dalam pada itu, Dr. Balaeswaran yang sudah berkecimpung dalam rawatan pesakit kronik ini sejak lapan tahun lalu berkata, dari segi rawatan perubatan, terdapat dua ubat berkesan untuk merawat ketagihan opioid iaitu metadon dan suboxone.
“Metadon ialah ubat cecair oral yang diminum setiap hari di pejabat doktor dan klinik di bawah penyeliaan secara langsung daripada doktor yang merawat mereka. Suboxone pula adalah tablet yang memberi peluang kepada penagih opioid melakukan terapi di rumah dengan dos lebih rendah.
“Bagaimanapun, kedua-dua ubat ini mempunyai fungsi yang sama untuk menghilangkan ketagihan,” ujarnya yang menjalankan rawatan perubatan ketagihan opioid di Klinik Tenaga Baru, Kuala Lumpur.
Tegas Dr. Balaeswaran, pembabitannya dalam program rawatan ketagihan opioid juga bertujuan untuk menghindarkan pesakit-pesakit itu daripada terjebak dengan jangkitan HIV melalui perkongsian jarum suntikan.
Setakat ini, dia mempunyai berpuluh pesakit yang mendapatkan rawatan setiap bulan. dan ia silih berganti bergantung kepada tahap keadaan mereka.

PENAGIH mengambil masa untuk menyesuaikan diri selepas meninggalkan penagihan dadah. - Gambar hiasan


Mengimbas pembabitan awal Dr. Balaeswaran dalam membantu merawat penagih-penagih dadah, beliau mengakui agak bimbang dengan persepi masyarakat terhadap program rawatan berkenaan.
“Pada masa itu, program rawatan sebegini agak baru dan masih ramai yang tidak faham.
‘Pada masa yang saya mempunyai pesakit-pesakit luar yang mungkin tidak memahami apabila penagih-penagih mendapatkan rawatan di klinik sama,” katanya yang terpaksa menerangkan kepada mereka bahawa penagih-penagih juga pesakit yang memerlukan rawatan. Lama-kelamaan pesakit yang lain dapat memahami situasi tersebut,” katanya.
Bagi Dr. Loo Cheng Wee dari Klinik Modern dan Southern, Klang pula menambah, pelbagai kata-kata negatif yang terpaksa ditelan apabila dia melakukan program rawatan dan kaunseling kepada penagih dadah.
“Saya merasakan program rawatan dan kaunseling yang dilakukan lebih kepada satu perjuangan untuk memulihkan para pengguna dadah. Ia merupakan satu perkara yang amat sukar dilakukan kadang-kadang sehingga memalukan diri sendiri.
“Begitupun, ia perlu dilakukan juga untuk memastikan penagih-penagih ini dapat dipulihkan. Sebagai contoh, kalau kita beri kaunseling tidak semua yang bersedia untuk mendengar, malah kita perlu menyelami isi hati pesakit untuk memulihkan mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang bekas penagih dadah yang mengikuti rawatan perubatan dan kaunseling yang hanya mahu dikenali sebagai Edwin, 49, menjelaskan, dia mula mengenali dadah sejak tahun 1978. Dia juga telah beberapa kali berusaha berhenti tetapi gagal akibat tidak mempunyai kekuatan diri.
Harapan kepada masyarakat
“Memang sukar membayangkan menjadi seorang penagih dadah kerana ia membinasakan diri saya. “Ketrampilan menjadi tidak menentu, gigi rosak, tekanan perasaan, hilang pekerjaan dan macam-macam lagi,” katanya yang cuba berhenti sekitar tahun 1990. Namun, usahanya sering gagal kerana keadaan sekeliling dan pengaruh daripada rakan-rakan. Ia lebih mengecewakan bapa kepada empat anak itu apabila masyarakat sering memandang serong terhadap penagih dadah.

SEBAHAGIAN tiub yang digunakan untuk mengisi dadah. - Gambar hiasan


Edwin mula mengetahui mengenai program rawatan perubatan dan kaunseling pada tahun 1999, sekali gus dapat meninggalkan tabiat buruk yang menghantui dirinya selama ini. Bahkan, masyarakat juga mula membuka mata bahawa penagih dadah masih mempunyai harapan sekiranya mempunyai panduan yang betul.
“Program rawatan perubatan dan kaunseling banyak membantu saya daripada terus bergelumang dalam penagihan dadah. Selain program berkenaan, keluarga dan masyarakat sekeliling yang tidak pernah berputus asa memberi sokongan moral banyak membantu memberi kekuatan kepada saya untuk meninggalkan dadah.
“Saya percaya terdapat tiga perkara yang perlu dilakukan untuk berhenti daripada penagihan dadah ini iaitu kekuatan rohani, sokongan keluarga dan program rawatan serta kaunseling,” ujarnya yang telah meninggalkan dadah sejak tahun 1999.
kosmo

No comments:

Post a Comment