Pages

Thursday, November 25, 2010

Keadilan mangsa asid




MANGSA-MANGSA serangan asid enggan tampil ke depan kerana bimbang dengan tindakan si pelaku.


MORM NHEB masih ingat bau dagingnya yang terbakar ketika bekas suami menyimbah asid ke mukanya. Insiden itu meninggalkan parut kekal pada wajahnya sepanjang hayat.
"Baunya cukup meloyakan," kata ibu kepada dua anak yang terpaksa berjuang untuk hidup sejak bekas suaminya melepaskan kemarahan kerana perceraian mereka.
Morm Nheb memberitahu, bahawa dia tidak akan kembali kepada suaminya itu.
"Kini saya hidup seperti bangkai bernyawa atau hantu hidup," katanya.
Morm Nheb merupakan salah seorang daripada mangsa simbahan asid yang semakin meningkat jumlahnya. Lebih mendukacitakan, penyerang mereka jarang sekali dibawa ke muka pengadilan.
"Kami berdepan dengan kesukaran untuk meminta mangsa-mangsa ini membela diri kerana mereka takut kepada si pelaku tersebut," kata Pengurus Program Cambodian Acid Survivors Charity (CASC), Chhun Sophea.
Dalam kes lain seperti yang dihadapi oleh Nheb, penyerangnya melarikan diri dan tiada langsung khabar berita selepas itu.
Sejak CASC dibuka pada tahun 2006, pertubuhan itu berjaya membantu 300 mangsa yang mengalami nasib yang sama seperti Nheb dengan menawarkan perkhidmatan perubatan percuma, bantuan guaman, kaunseling dan latihan kemahiran.
Menurut Sophea, sehingga kini tiada lagi statistik rasmi dan banyak kes tidak dilaporkan sedangkan jenayah simbah asid menunjukkan peningkatan.
Bermula dari bulan Januari sehingga Oktober 2010, CASC merekodkan 18 serangan yang mencederakan 34 orang.
Sophea memberitahu, berlaku peningkatan kes pada tahun lalu apabila 33 orang telah dirawat termasuk beberapa yang cedera kerana kemalangan.
Kerajaan Kemboja mengetahui mengenai masalah tersebut dan kini dalam proses membuat draf undang-undang yang akan mengawal penjualan asid dan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penyerang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang, Ouk Kimlek memberitahu, penyerang yang disabitkan kesalahan akan berdepan dengan hukuman lima tahun penjara di bawah undang-undang baru yang akan diluluskan pada penghujung tahun ini.
"Asid adalah sesuatu yang mengerikan. Kami bercadang untuk membawa penyerang ke penjara atas apa yang mereka lakukan terhadap mangsa supaya kami dapat mengurangkan jumlah mangsa jenayah asid ini," katanya.
Lelaki tidak terkecuali
Keganasan yang melibatkan asid merupakan masalah serius yang sebenarnya melanda negara-negara Asia lain.
Menurut Yayasan Mangsa Asid yang berpangkalan di London (ASF), Bangladesh mencatatkan 86 kes dengan 111 kecederaan pada sembilan bulan pertama tahun ini.
ASF merupakan badan bukan kerajaan yang berkempen supaya penyerang yang menyimbah asid disabitkan dengan kesalahan jenayah.
Di Pakistan, kumpulan hak asasi wanita, Aurat Foundation merekodkan 20 kes penyimbahan asid dalam tempoh separuh tahun pertama 2010.
Kebanyakan mangsa di negara-negara tersebut adalah wanita tetapi di Kemboja, lelaki juga menerima nasib yang sama.
"Ramai yang beranggapan jenayah yang melibatkan asid ini berkaitan dengan isu cinta tiga segi, namun ia bukanlah punca utama kerana kebanyakan serangan disebabkan perasaan cemburu, marah dan dendam.
"Di Kemboja, serangan asid tidak bertumpu kepada wanita sahaja. Lelaki juga mempunyai rasa marah terhadap lelaki dan wanita turut kecewa terhadap suami masing-masing. Kemarahan mereka membuak-buak hingga mereka tiada cara untuk melepaskannya," jelas Sophea.
Penghuni yang paling lama di CASC ialah Som Bunnarith, 39. Dia merupakan salah seorang lelaki daripada mangsa asid.
Bunnarith dibakar oleh isterinya lima tahun lalu apabila mereka bertengkar mengenai tabiatnya yang sering pulang lewat malam. Serangan tersebut menyebabkan Som Bunnarith hilang penglihatan.
KES serangan asid kian meningkat dari tahun ke tahun di Kemboja.


"Saya menangis dan sangat kecewa terhadap apa yang dilakukan kepada saya," katanya.
Bekas jurujual itu memberitahu, dia telah pun memaafkan isterinya. Kini, mereka berdua bekerja di CASC dan Som Bunnarith tidak mahu isterinya meringkuk di dalam penjara.
Lain pula kisahnya dengan Nheb. Dia mahu menuntut keadilan kerana gagal mendapatkan semula pekerjaannya di kilang tempat dia bekerja sebelum ini. Serangan tersebut menyebabkan dia seolah-olah dipulaukan.
"Apabila mereka melihat anda, sama ada mereka menunjukkan rasa simpati atau rasa ingin tahu tetapi ia adalah perkara yang sangat dahsyat dan menakutkan.
"Apabila mereka lihat mangsa simbahan asid seperti kami, mereka akan berkata, 'Inilah akibatnya jika awak merampas suami orang'," itu yang membuatkan saya marah. - AFP
kosmo

No comments:

Post a Comment