Pages

Wednesday, November 10, 2010

Nasi goreng, bakso untuk Obama, Michelle




2010/11/10


  • Foto
    OBAMA, isteri diiringi Susilo ke majlis menyambut tetamu di Istana Merdeka, Jakarta, semalam.
  • Foto
Presiden Amerika lawat Indonesia disifatkan balik kampung

JAKARTA: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama akhirnya tiba semalam di Indonesia, yang pernah menjadi kampung halamannya selama empat tahun, dalam usaha terbarunya mendampingi masyarakat Muslim dan memperkukuh hubungan strategik dalam rangka lawatannya ke Asia.Dikenangi oleh rakan sekolahnya sebagai budak gempal bernama ‘Barry’, Obama mengadakan perbincangan dan berkongsi majlis makan malam dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono malam tadi, yang memberi tumpuan kepada isu keselamatan dan ekonomi.
Obama juga dijadualkan melawat Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara, dan menimbangkan popularitinya dengan menyampaikan ucapan di tempat terbuka kepada 240 juta penduduk Indonesia, yang mana kira-kira 200 juta adalah Muslim.

Indonesia adalah kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan dilihat sebagai rakan kongsi strategik kepada Amerika ketika ia membuat persediaan bagi menghadapi kebangkitan China dan ancaman Islam radikal.

Obama dan Susilo dijangka menandatangani satu perjanjian ‘Perkongsian Komprehensif’ yang dipersetujui setahun lalu, kemudian menghadiri majlis makan malam di mana beliau dan isterinya, Michelle, dihidangkan nasi goreng dan bakso.

Obama yang dalam rangka lawatan sembilan hari ke Asia, tiba di Jakarta dalam keadaan angin ribut dengan pesawat Air Force One dari India, membawanya dari negara demokrasi terbesar di dunia kepada negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim paling ramai. 
Presiden berkenaan pernah tinggal di Indonesia ketika kecil bersama ibunya yang sudah meninggal dunia, namun beliau tidak mempunyai banyak masa untuk melancong dalam lawatan 24 jamnya di mana beliau akan cuba mendampingi dunia Islam dan mencari pasaran baru dan peluang perniagaan untuk syarikat Amerika.

“Barry akan pulang”, kata akhbar Jakarta Post, sementara akhbar Koran Tempo menyatakan: “Akhirnya beliau ada di sini”. 

Jurucakap Rumah Putih, Robert Gibbs memberitahu pemberita letusan debu gunung berapi Merapi di tengah Jawa mungkin memendekkan lawatan Obama.

“Debu gunung berapi itu mungkin menyebabkan kami meninggalkan Indonesia beberapa jam lebih awal daripada yang dijadualkan esok,” katanya, dan menambah bahawa ucaptama yang dijadualkan esok akan tetap diadakan.

Langkah keselamatan diperketatkan di negara berkenaan, yang pernah menyaksikan beberapa kejadian keganasan beberapa tahun lalu, dengan kira-kira 8,500 anggota keselamatan, termasuk tentera, ditempatkan di lokasi strategik di seluruh Jakarta. – AFP/Reuters 

No comments:

Post a Comment