Pages

Wednesday, November 10, 2010

1,000 kanak-kanak terpisah


ANGGOTA tentera Indonesia mengangkat mayat seorang mangsa gunung berapi yang ditemui di Cangkringan, Yogyakarta, Indonesia, semalam. - AP


YOGYAKARTA 9 Nov. - Pasukan penyelamat di Indonesia kini bimbang dengan masalah kanak-kanak hilang ketika keadaan kelam-kabut apabila gunung berapi paling berbahaya di negara ini meletus beberapa kali.
Angka kematian akibat beberapa letusan Gunung Merapi dalam tempoh dua minggu lalu meningkat kepada 153 hari ini selepas tujuh mayat dibawa keluar dari sebuah kampung yang musnah, manakala lima mangsa meninggal dunia kerana luka kebakaran yang mereka alami.
Kira-kira 320,000 orang kini tinggal di tempat perlindungan yang padat selepas diarah untuk meninggalkan kampung mereka yang terletak 20 kilometer di sekitar Gunung Merapi yang menghamburkan debu dan membentuk awan panas sejak penghujung bulan lalu.
"Kami bimbang dengan kanak-kanak yang masih belum dapat disatukan dengan ibu bapa mereka," kata Koordinator Sukarelawan, Makbul Mubarak.
Katanya, letusan terburuk sejak tahun 1870 yang berlaku Jumaat lalu, menyebabkan penduduk terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka di kepulauan Jawa itu dalam keadaan panik dan kelam-kabut.
Kata Makbul, kira-kira 1,000 kanak-kanak kini terpisah dari ibu bapa masing-masing.
Kebanyakan mangsa yang terkorban sejak Gunung Merapi mula meletus pada 26 Oktober lalu ditemui tertimbus dalam debu panas yang menyebabkan seluruh kampung terbakar.
Sementara itu, ahli vulkanologi, Surono berkata, gunung berapi berkenaan masih menghasilkan awan yang panas tetapi ia tidak teruk seperti sebelum ini.
"Kepanasan suhu akibat beberapa letusan sebelum ini semakin berkurangan walaupun gunung berapi berkenaan masih lagi aktif dan orang ramai dinasihat untuk berhati-hati," katanya.
Jurucakap agensi pengurusan bencana, Sutopo Purwo Nugroho menafikan khabar angin yang mengatakan penduduk kini mula membanjiri Yogyakarta yang terletak 26 kilometer dari selatan gunung berapi itu.
"Kami tidak nampak jumlah penduduk yang ramai meninggalkan kampung masing-masing dan membanjiri Yogyakarta setakat ini," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment