Pages

Tuesday, November 23, 2010

Jauhi Sepuluh Perkara Yang Tidak Bermanfaat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup kita di dunai ini perlulah sentasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan akan mendatangkan manfaat samaada di dunia ini maupun di hari akhirat.

Ibnu Qoyyim Al Jauziyah mengatakan di dalam Al-Fawa'id bahwa ada sepuluh perkara yang tidak bermanfaat yang patut dijauhi oleh orang Mukmin untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan mendapat rahmat-Nya.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama: Memiliki ilmu namun tidak diamalkan. 

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya :"Di hari akhirat nanti orang yang pertama Allah bicarakan ialah seorang yang mati syahid, lalu ia dibawa mengadap Allah, maka diperkenalkan kepadanya akan nikmat yang diberikan kepadanya, memang dia mengetahuinya, Allah berfirman: "Apakah yang kamu amalkan dengannya? "Dia berkata: "Aku berperang kerana menegakkan agama-Mu sehingga aku mati syahid". Allah berfirman: "Kamu bohong! Sebenarnya kamu berperang supaya dikata orang kamu berani, maka memang dikata begitu". Kemudian diperintah supaya dia diseret dengan menyembam mukanya sehingga dicampak ke dalam Neraka.

Seterusnya dibawa pula seorang yang mempelajari ilmu dan mengajar, dan pandai membaca al-Quran. Dia dibawa mengadap Allah, lalu diperkenalkan kepadanya akan nikmat yang diberikan kepadanya, memang dia mengetahuinya. Allah berfirman: "Apakah yang kamu amalkan dengannya?" Dia berkata: "Aku mempelajari ilmu dan aku mengajar, dan aku membaca al-Quran kerana-Mu". Allah berfirman: "Kamu berbohong! Tetapi sebenarnya kamu belajar dan mengajar dan kamu juga membaca al-Quran supaya dikata orang kamu alim dan pandai membaca al-Quran, maka memang telah dikatakan begitu". Kemudian diperintah supaya dia diseret dalam keadaan mukanya disembam sehingga dia dicampak ke dalam Neraka. 

Seterusnya dibawa seorang yang dikurnia Allah senang lenang dan diberi kepadanya berbagai jenis harta benda, maka dia dibawa mengadap Allah, lalu diperkenalkan kepadanya segala nikmat yang pernah diberi kepadanya. Maka dia mengenalinya. Allah berfirman: "Apakah yang telah engkau lakukan engan harta itu?" Dia menjawab: "Apa sahaja jalan yang engkau kasihi aku belanjakan harta itu untuknya kerana-Mu." Allah berfirman: "Kamu bohong! Sebenarnya kamu lakukan itu supaya dipuji orang bahawa kamu seorang yang pemurah, memang dikatakan begitu. Kemudian diperintah supaya dia diheret dalam keadaan menyembam mukanya, seterusnya dia dicampak ke dalam Neraka."
(Hadis Riwayat Muslim)

Seseorang yang berilmu tetapi tidak di amalkan ilmu tersebut atau berilmu tetapi bertujuan untuk mendapat pujian orang ramai supaya digelar alim ulama' maka amalannya tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. seperti hadis di atas.

Sebaiknya jika seseorang itu berilmu dan ia amalkan ilmu tersebut maka kedudukannya cukup mulia disisi Allah s.w.t. Rasulullah saw bersabda maksudnya : “Keutamaan seorang ilmuwan atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkn ikan, semuanya berselawat kapada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain” (Hadis Riwayat Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily ra.)

Kedua: Beramal namun tidak ikhlas dan tidak mengikuti tuntunan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Sesungguhnya Allah tidak memandang bentuk tubuhmu dan tidak pula kedudukkan mahupun harta kekayaanmu tetapi Allah memandang pada hatimu.Sesiapa memilikki hati yang soleh maka Allah menyukainya., insan yang paling dicintai Allah ialah yang paling taqwa dan  ikhlas kepada-Nya.

Ikhlas bermaksud melakukan amal ibadat sama ada secara khusus atau umum semata-mata memburu keredhaa Allah. Bagi orang yang hatinya berpaut dengan rasa keikhlasan tidak akan melakukan sesuatu mengharapkan pembalasan. Pepatah ada mengatakan, "Ada ubi ada batas aku beri jangan lupa di balas". Seseorang yang ikhlas juga tidak mengharapkan pujian dan sanjungan daripada manusia, jauh sekali menunjuk-nunjuk atau riak.

Dari Zaid bin Arqam r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang mengucapkan ‘Lailahaillallah’ dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga.” Lalu ditanya kepada baginda s.a.w.  “Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.”(Hadis Riwayat at-Tabarani)

Ketiga: Memiliki harta namun enggan untuk menginfakkan.

Harta tersebut tidak digunakan untuk hal yang bermanfaat di dunia dan juga tidak diutamakan untuk kepentingan akhirat.

Sedekah  yang tidak ikhlas tidak akan diterima oleh Allah s.w.t dan akan dimasukkan ke dalam Neraka seperti hadis di atas. Sedekah adalah satu pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Wakaf pula ialah pembelian barangan untuk kegunaan masjid, surau, rumah anak yatim atau sebagainya. 

Firman Allah s.w.t maksudnya : “ Kalau kamu zahirkan sedekah itu, maka itu adalah baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan hapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahanmu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah:271)

Keempat: Hati yang kosong dari cinta dan rindu pada Allah. 

Hati yang kosong dari cinta dan rindu pada Allah adalah hati yang sedang sakit.  Hati yang sakit menyebabkan kebenaran tidak dapat dilihat walaupun ianya merupakan satu kebenaran, hati yang sakit melihat kebatilan sebagai satu kebenaran, atau ia melemahkan pemahamannya terhadap sesuatu kebenaran lalu mematikan hatinya untuk menerima kebenaran. Hati yang sakit menyebabkan hati membenci kebenaran yang memberi kebaikan kepadanya. Hati yang sakit menyukai kebatilan sedangkan kebatilan itu akan memudaratkannya. Hati yang sakit juga tidak tahu memilih antara kebenaran dan kebatilan, akhir cenderung kepada kebatilan kerana mengikut hati dan perasaan.

Justeru orang yang hatinya sakit sukar untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Apabila melihat sesuatu dia akan melihat manusia yang melakukan atau kejadian semulajadi, lupa bahawa Allah s.w.t yang sebenarnya menjadikan tiap sesuatu. Apabila ditimpa bala dan bencana, mereka melihat manusia yang menyebabkan bala bencana tetapi mereka tidak nampak ia merupakan qada' dan qadar dari Ilahi. Hati jenis ini tidak akan merindui Allah s.w.t dan sukar untuk melaksanakan arahannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :" Dan orang-orang yang menyanggah ayat-ayat Allah tanpa mendatangkan bukti, kemurkaan amat  besar disisi Allah s.w.t dan orang-orang yang beriman. Begitulah Alllah menutup hati yang sombong dan takabbur."

Kelima: Badan yang lalai dari taat dan mengabdi pada Allah. 

Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda,

حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ

“Syurga itu diliputi perkara-perkara yang dibenci (oleh jiwa) dan Neraka itu diliputi perkara-perkara yang disukai syahwat.”(Hadis Riwayat Muslim) 

Ibnu Hajar rahimahullah dalam Fathul Baari berkata:“Yang dimaksud dengan al-makarih (perkara-perkara yang dibenci jiwa) adalah perkara-perkara yang dibebankan kepada seorang hamba baik berupa perintah ataupun larangan dimana ia dituntut bersungguh-sungguh mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan tersebut. Seperti bersungguh sungguh mengerjakan ibadah serta berusaha menjaganya dan menjauhi perbuatan dan perkataan yang dilarang Allah Ta’ala.  Penggunaan kata al-makarih disini disebabkan karena kesulitan dan kesukaran yang ditemui seorang hamba dalam menjalankan perintah dan meninggalkan larangan.

Adapun yang dimaksud syahwat disini adalah perkara-perkara yang dilakukan untuk menikmati lezatnya dunia sementara syariat melarangnya. Baik kerana perbuatan tersebut haram dikerjakan maupun perbuatan yang membuat pelakunya meninggalkan hal yang dianjurkan. Seakan akan Nabi shallallahu’alaihi wasallam mengatakan seseorang tidaklah sampai ke Syurga kecuali setelah melakukan amalan yang dirasa begitu sulit dan berat.  Dan sebaliknya seseorang tidak akan sampai ke Neraka kecuali setelah menuruti keinginan nafsunya. Syurga dan Nereka dihijabi oleh dua perkara tersebut, barangsiapa membukanya maka ia sampai kedalamnya. Meskipun dalam hadis tersebut menggunakan kalimat khabar (berita) akan tetapi maksudnya adalah larangan.”
(Fathul Baari 18/317, Asy-Syamilah)

Keenam: Cinta yang di dalamnya tidak ada redha dari yang dicintai dan cinta yang tidak mau patuh pada perintah-Nya.

Seseorang yang melakukan maksiat dan dosa kepada Allah s.w.t sebenarnya ia tidak mencintai Allah s.w.t. Dan ia tidak redha dengan rahmat-Nya. Sebaliknya apabila kita cinta kepada Allah maka dengan cinta itu kita akan menyebut nama-Nya, mengingati-Nya dan mendaulatkan hukum-hakam-Nya dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat dan negara.

Kalau benar cintakan Allah, cintalah diri dan umat ini dengan banyak mengingati-Nya. Bangun seawal subuh, bersih dan sucikan diri. Lalu solatlah untuk mengingati-Nya. Kemudian, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan. Dan seterusnya mengajak manusia kepada maaruf dan  meninggalkan kemugkaran.

Ketujuh:  Waktu yang tidak diisi dengan kebaikan dan pendekatan diri pada Allah.

Manusia yang rugi adalah mereka yang mensia-siakan masa ketika hidup di dunia ini kerana masa itu adalah kehidupan, setiap manusia tidak boleh lari daripada masa. Masa tidak akan menunggu kita, ia akan terus berjalan samaada ia digunakan untuk kebaikan atau pun keburukkan. Masa yang sudah berlalu tak akan boleh diganti lagi. Oleh kerana hidup di dunia ini adalah sementara, maka pergunakanlah masa yang ada ini untuk mengerjakan amal soleh sebanyak mungkin supaya masa itu dan bumi yang kita pijak akan menjadi saksi dihadapan Allah bahawa kita telah menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.”
(Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Kedelapan: Fikiran yang selalu memikirkan perkara yang tidak bermanfaat.

Orang yang rugi adalah mereka yang hanya memikirkan dunia semata-mata, hanya berfikir untuk memuaskan nafsunya saja, nafsu syahwat, mengumpul harta dan mencari kesenangan  hidup di dunia tanpa memikirkan halal dan haram.

Jabir bin Abdullah berkata : "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah s.a.w. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah s.a.w. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?

Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata : " Dunia itu adalah impian orang yang tidur"

Bertanya orang itu lagi : "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah s.a.w.?"

Berkata Rasulullah s.a.w. : " Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir"

Orang itu bertanya lagi : "Apakah Syurga itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w. : "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini"

Bertanya orang itu lagi ; "Apakah Jahannam itu?"

Maka berkata Rasulullah s.a.w : "Jahannam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka-mereka yang mencarinya."

Bertanya orang itu lagi : "Siapakah sebaik-baik umat ini?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah s.w.t".

Orang itu bertanya lagi : "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah."

Orang itu bertanya lagi : "Seberapakah ketentuan taat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w.: "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah"

Bertanya orang itu lagi : "Berapa jarak jauhnya Dunia dengan akhirat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Hanya sekadar memejamkan mata saja."

Jabir melanjutkan cerita : "Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu seperti itu."

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya ; "Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibril a.s., dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat."

Berkata Rasulullah s.a.w lagi : "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya".

Kesembilan: Pekerjaan yang tidak membuatmu semakin mengabdi pada Allah dan juga tidak memperbaiki urusan duniamu.

Orang yang rugi adalah mereka yang melakukan amalan dan perbuatan yang menjauhkan dirinya dengan Allah s.w.t. Setiap sesuatu amalannya hanya bermatlamatkan duniawi bukan ukhrawi. Dia akan  rugi di dunia dan akhirat. Hidupnya penuh tipu daya dan sia-sia dan setiap amalannya akan menjauhkan dirinya dengan Allah s.w.t. kerana mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Baginya halal dan haram serupa saja dan tidak pernah terlintas dalamn hatinya suatu hari nanti dia akan bertemu dengan Allah s.w.t.

Kesepuluh: Rasa takut dan rasa harap pada makhluk.

Sebenarnya semua makhluk adalah  berada pada genggaman Allah. Makhluk tersebut tidak dapat melepaskan bahaya dan mendatangkan manfaat pada dirinya, juga tidak dapat menghidupkan dan mematikan serta tidak dapat menghidupkan yang sudah mati. Dia sentiasa bertawakkal dengan manusia dan tidak bertawakkal dengan Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi,
Itulah sepuluh hal yang melalaikan dan sia-sia. Di antara sepuluh hal tersebut yang paling berbahaya dari segala macam kelalaian adalah dua hal yaitu: hati yang selalu lalai dan waktu yang di sia-siakan.

Hati yang lalai akan membuat seseorang mengutamakan dunia daripada akhirat, sehingga dia cenderung mengikuti hawa nafsu. Sedangkan menyia-nyiakan waktu akan membuat seseorang panjang angan-angan.

Padahal segala macam kerusakan terkumpul kerana mengikuti hawa nafsu dan panjang angan-angan. Sedangkan segala macam kebaikan ada kerana mengikuti al huda (petunjuk) dan selalu menyiapkan diri untuk berjumpa dengan Rabb semesta alam.

Semoga kita selalu mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Segala puji bagi Allah, yang dengan nikmat-Nya segala kebaikan menjadi sempurna.
Share

No comments:

Post a Comment