Pages

Sunday, October 24, 2010

Penternak gembira lembu beranak kembar tiga



SYED Muhd Alwi Abdullah gembira dengan kelahiran pertama anak lembu kembar tiga di ladangnya, Muadzam Shah, Rompin, kelmarin.


KUANTAN 23 Okt. – Kisah lembu yang beranak kembar dua memang biasa didengari. Namun, kejadian seekor lembu beranak kembar tiga memang jarang berlaku.
Kejadian agak luar biasa itu terjadi di sebuah ladang di Muadzam Shah, Rompin, semalam, apabila seekor lembu tenusu yang diternak melahirkan kembar tiga.
Pemilik ladang tersebut, Datuk Syed Muhd. Alwi Abdullah memberitahu, lembu tenusu baka Jersey dari Australia itu melahirkan ketiga-tiga anaknya kira-kira pukul 3 pagi.
“Setiap seekor anak dianggarkan seberat 24 kilogram dan merupakan kali pertama ia berlaku di ladang ternakan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Syed Muhd. Alwi memberitahu lebih 100 ekor lembu ternakannya melahirkan kembar dua sejak ladang itu beroperasi tiga tahun lalu di kawasan seluas 920 hektar.
Katanya, syarikat ternakannya mempunyai kira-kira 1,850 ekor lembu susu baka Jersey yang ditempatkan di dalam kandang tertutup berhawa dingin supaya menyamai cuaca di Australia bagi memastikan susu yang dihasilkan berkualiti tinggi.
“Lembu yang diternak diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan dipantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kandang-kandang berkenaan,” katanya.
Ladang First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (Fidaf) milik Syed Muhd. Alwi merupakan yang terbesar di negeri ini.

No comments:

Post a Comment