Pages

Friday, October 29, 2010

Nostalgia Bulan Madu: 16 pasangan 'pengantin lama'


Cappadocia, Turkey

Kata orang, zaman berbulan madu ibarat sudah berlalu dengan kehadiran anak dan cucu. Tapi tidak bagi sekumpulan pasangan. NURUL 'AIN RAZALI menjejaki 16 pasangan yang ke Turkey bersama-sama. 


Melancong hanya dengan pasangan memang pengalaman yang cukup romantis. Ia sekali gus mengingatkan kita pada detik tatkala inai masih merah di jari.
Namun, apabila masing-masing sibuk dengan tugas di tempat kerja dan juga tanggungjawab membesarkan anak-anak, detik indah melancong bersama pasangan hanya ibarat satu ilusi.
Namun, bagi 16 pasangan, mereka menyuntik nafas baru pada ikatan perkahwinan mereka apabila mereka terbang jauh untuk dating selama 12 hari di Turkey.
Seramai 15 kakitangan dari syarikat media raksasa, Singapore Press Holdings Limited (SPH) – yang membawa pasangan masing-masing – bersatu hati bercuti bersama ke Turkey.
Percutian dari 9 hingga 20 Mac lalu itu adalah atas tajaan SPH sebagai tanda penghargaan 20 tahun mereka berkhidmat dengan syarikat tersebut.
Menurut antara 'orang kuat' rombongan, Mohd Ibrahim Othman, 45 tahun, percutian melibatkan mereka yang berusia antara 39 dengan 59 tahun itu dirancang sejak November lalu.
MENGAPA TURKEY?
Menyentuh mengaya Turkey menjadi pilihan, Mohd Ibrahim yang bertugas selaku Eksekutif Pentadbiran (Penghasilan), menjelaskan:"Kami pilih Turkey sebab ada empat musim di sana. Nak juga kami nikmati dan rasai musim saljinya. Lagipun, ia ada banyak kesan sejarah sejak beribu tahun lalu.
"Soal makanan halal pun tak ada masalah."
Yang menjadi masalah ialah bagi pihak yang mengumpul maklumat.
"Sukar untuk kami bersatu dan mengumpul kesemua maklumat seperti nombor pasport dan menguruskan soal cuti," tambah bapa tiga orang anak yang berusia antara 11 dengan 18 tahun itu.
Maklumlah rombongannya sampai 32 orang!
Bagi Samari Kinin, 47 tahun, yang bertugas di bahagian percetakan, setelah 26 tahun bekerja bertungkus-lumus, percutian itu merupakan hadiah buat dirinya.
Menyentuh bulan madu dengan isterinya, Noorlela Bujang, 48 tahun, yang bertugas sebagai pegawai akaun, Samari, bapa tiga orang anak, berkata:
"Sudah tentu lebih indah dan romantis kerana tidak pernah lihat, jumpa dan rasa keadaan sekeliling dan dapat juga kami menjamah salju. Itulah aspek yang menjadi tanda tanya setelah sekian lama nampak cuma di televisyen saja."
HANGATNYA KASIH DI NEGARA SALJU
Bayangkan jika anda menyatukan 16 pasangan berumur yang tiba-tiba kembali muda dengan jiwa ghairah keanak-anakan tatkala melihat salji di stesen minyak.
Menurut isteri Mohd Ibrahim, Sabariah Abdul Hamid, 43 tahun, suhu di Turkey antara enam dengan lapan darjah Celsius.Ekoran dinginnya maka kelihatanlah wap setiap kali menghembus nafas.
Ia turut memaksa mereka mengenakan sampai empat lapis pakaian!
Kedinginan itulah yang tambah mengakrabkan pasangan merpati. Ada yang asyik melekat dengan pasangan masing-masing terutama sekali di kawasan bersalju, Bolu.
Menurut Sabariah, air di sana seperti daripada peti ais! Pengalaman itu bertambah manis buat Sabariah dan suami kerana ia kali pertama mereka mengulangi bulan madu dan pergi bercuti tanpa anak-anak.
Malah, ia juga kali pertama sejumlah pasangan berjalan jauh.
Ini turut diakui penolong logistik, Sujono Ghani, 59 tahun, yang ke Turkey bersama isteri, Jamaliah Ayob, 58 tahun. Beliau ghairah menikmati cuaca sejuk yang amat berbeza dari Singapura.
"Yang paling diingati adalah salju di sana. Kita manalah nak sampai. Ia seperti satu kemeriahan bagi kami semua. Kedatangan kami disambut salju. Susah nak dapat lagi suasana macam ni, lebih-lebih lagi umur dah begini kan?
"Saya juga hormat dan kagum dengan sikap orang Turkey kerana peninggalan sejarah mereka, seperti rumah-rumah dalam gunung di Cappadocia, yang dapat dikekalkan sejak zaman Byzantine," ujar datuk dua cucu itu.
Tempat persinggahan rombangan Nostalgia Bulan Madu 2010
* Bazar mega dengan lebih 4,000 gerai
* Wilayah Bursa dan Bolu
* Pergunungan batu kapur di Pamukkale, negeri Denizli
* Konya, Ankara
* Tradisi mandi bersama Turkey di Cappadocia, Nevsehir
* Masjid Biru
* Muzium Ataturk di Ankara
* Masjid 40 kubah atau 'Masjid Hijau' di Bursa
* Pergunungan batu kapur
Meski kedinginan menggigit sampai ke tulang, kehadiran pasangan yang setia menemani ketika menuruni lurah dan kesukaran yang ditempohi sepanjang perjalanan menjadi mudah.
Inilah peluang untuk kembali menyemarakkan asmara zaman silam, setelah bertahun-tahun dibayangi kerenah si cilik yang kini telahpun besar.
MENGATUR PERJALANAN
Rombongan itu akhirnya memilih agensi pelancongan, Five Stars Tour, untuk menerbangkan mereka ke negara yang disifatkan sebagai syurga mentari, laut, gunung dan tasik itu.
"Kami turut menghadapi dilema sama ada untuk menempah penerbangan domestik di Turkey atau tidak. Maklumlah, bajet kami hanya $4,050 bagi setiap pasangan.
"Akhirnya, kami bermuafakat dan memilih untuk menempah bas persiaran agar mudah kami bergerak bersama-sama. Semuanya dirancang dengan baik.
"Kami juga mendapat nasihat daripada pemandu pelancong yang memberikan kami maklumat lanjut mengenai keadaan di Turkey semasa pameran pelancongan Natas," ujar Mohd Ibrahim.
Natas adalah Persatuan Nasional Ejen-ejen Pelancongan Singapura. Persatuan itu menganjurkan pameran pelancongan khusus bagi mereka yang sedang merancang percutian.
DARI TV KE REALITI
Jika selama ini, Sabariah, yang juga isteri Mohd Ibrahim, hanya dapat melihat keindahan Turkey di kaca TV melalui rancangan dokumentari, percutian Nostalgia Bulan Madu, memberikan peluang baginya menjejakkan kaki ke sana.
Apabila melihat dengan mata sendiri, Sabariah, yang juga kakitangan SPH dan bertugas selaku penolong pustakawan di Pusat Sumber Maklumat (IRC), mengakui dirinya terpesona.
Sabariah menukil pembentukan batu semula jadi yang digelar pakar geologi sebagai, fairy chimney, di Cappadocia sebagai yang paling meninggalkan kesan dalam dirinya.
KESAN BULAN MADU
"Kami rasa sangat kehilangan anak-anak. Pada tiga hari pertama, kami sering menelefon rumah. Saya tidak dapat hidup tanpa anak-anak. Saya amat merindui mereka. Tapi lepas tiga hari, kami pula yang mula berseronok. Sampai terlupa nak telefon rumah!
"Kami menghabiskan hampir 24 jam bersama.
"Ikatan perhubungan kami tetap ada meskipun kami bersama ramai kawan-kawan. Bagi kami berdua, tumpuan kami hanya pada diri satu sama lain dan tanpa gangguan daripada anak-anak," tambah Sabariah sampil tertawa malu.
Di tengah-tengah wawancara, Mohd Ibrahim sempat menggamatkan suasana dan dengan tersenyum simpul, menambah: "Semakin sayang dan semakin erat hubungan kami.
"Di sanalah kami semakin manja. Bagi saya, perasaan yang terbit daripada bercuti bersama ini jauh lebih bermakna daripada kali pertama kami jatuh cinta dulu!"
Kedudukan
Turkey dikelililingi laut di tiga bahagian iaitu Laut Hitam di utara; Mediterranean di Selatan; dan Aegean Sea di barat. Di barat laut pula terdapat laut dalaman, Sea of Marmara, antara selat Dardanelles dengan Bosphorus.
Kota besar
Istanbul 10 juta
Ankara 4.0 juta
Izmir 3.3 juta
Konya 2.2 juta
Bursa 2.1 juta
Adana 1.8 juta
PAKAI APA?

Pinggir Laut Pantai Marmara, Aegean dan Mediterranean:
Pakaian ringan yang diperbuat daripada kapas untuk musimpanas dan kardigan di malam hari.Laut Hitam, Anatolia Tengah dan Timur: Pakaian musim panas.Untuk malam hari dan apabila anda berada di tempat tinggi,bawalah baju sejuk sekali.- Gunakan sandal atau kasut yang selesa apabila anda berkunjung ke tapak bersejarah dengan kawasan arkaelogi.- Bawa topi dan kaca mata hitam jika anda keluar semasa musim panas.- Tudung perlu dipakai apabila anda memasuki masjid.
KEMESRAAN TEMAN
Bukan hubungan suami isteri saja dapat dipererat, bahkan anggota rombongan menjadi seperti isi dengan kuku, walaupun pada mula perjalanan, kaum isteri tidak saling mengenali.
Menurut Sabariah, rombongan Nostalgia Bulan Madu dengan seramai 32 orang itu kerap 'lepak' di koridor hotel hampir setiap malam.
Bercangkir-cangkir kopi panas dan bermangkuk-mangkuk mi segera menemani rombongan itu sepanjang perbualan mereka yang sampai ke awal pagi.
"Sampai ada yang merungut dan buat aduan pasal kami! Kakitangan hotel terpaksa menghalau kami kerana mengganggu tetamu hotel yang lain.
"Memang kami semua jadi rapat. Kami berpelukan sewaktu berpisah kerana hubungan kami sudah seperti kakak dan adik. Saya rasa sedih semuanya sudah berlalu," cerita Sabariah.
PERCUTIAN SELANJUTNYA
Ketika ditanya rancangan percutian pada masa depan, Mohd Ibrahim sambil terkekek-kekek ketawa berkata, mereka bercadang meneroka timur Turkey yang bersepadankan Russia.
Namun, secara spontan mereka berdua menambah secara serentak bahawa ia hanya akan berlaku dalam masa beberapa tahun akan datang.
"Tidaklah, bukan sekarang. Tapi tahun depan, kami mungkin bercadang pergi dengan kumpulan sama ke Pulau Langkawi atau Redang," kata Ibrahim.
Dengan pantas Sabariah mencelah: "Sama kumpulan, tapi sekarang dengan anak-anak pula ya!"
Mercu tanda popular
Muzium Ayasofya, Istana Topkapi, Masjid Biru, Istana Dolmabahce, bandar bersejarah, City of Troy; Ephesus, Aphrodisias, Pergamon, Pamukkale, Goreme-Cappadocia, Mt. Nemrut dan Safranbolu.
Sejarah
ARAH
Dari April hingga Oktober, kebanyakan tempat di Turkey menyediakan suhu yang sesuai untuk anda bersantai di tepi laut sambil menikmati ketenangan gunung dan tasik.
Turkey kaya dengan peninggalan sejarah dari 13 tamadun sepanjang 10,000 tahun. Meskipun anda hanya meluangkan seketika di Turkey, anda akan dapat melihat warisannya.
Besar kemungkinan satu kunjungan tidak mencukupi. Anda ingin kembali berulang kali tatkala anda singgah dari satu tempat menakjubkan ke tempat yang lain.
MASA TERBAIK UNTUK KE SANA
Pantai Marmara, Aegean dan Mediterranean: Cuaca di sini agak panas dan musim dinginnya pula sederhana.
Pantai Laut Hitam: Musim panas, musin dinginnya sederhana dan kerap ditimpa hujan.
Anatolia Tengah: Perbezaannya cuacanya amat ketara dengan musim panas yang kering dan musim dingin yang amat sejuk.
Anatolia Timur: Musim dingin bersalju yang sejuk dan panjang dengan musim panas yang sederhana.
Anatolia Tenggara: Musim panas yang sederhana dan musim dingin yang diiringi hujan.

No comments:

Post a Comment