Pages

Saturday, October 30, 2010

'Kami bukan tamakkan duit'

KUALA LUMPUR: “Kami memfailkan saman bukan kerana tamakkan duit tapi bagi menuntut keadilan,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya mengenai tuntutan ganti rugi RM40 juta yang akan difailkan peguamnya terhadap tertuduh kes pembunuhan ibunya.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Rita berkata, saman berkenaan difailkan peguamnya, Selasa depan dan keputusan itu bukan dibuatnya bersendirian, sebaliknya dipersetujui sebulat suara oleh adik-beradik serta ahli keluarga lain selepas menerima nasihat daripada peguam.

“Soal tamak wang tidak timbul berbanding kekejaman mereka terhadap ibu. Jadi saya berharap orang ramai tidak memandang serong terhadap tindakan kami.


“Tujuan kami hanya satu, bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya,” kata anak jutawan kosmetik itu ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mengenai perkembangan terkini dirinya, Rita, 25, berkata, dia kini sibuk menguruskan perniagaan yang ditinggalkan ibunya dan masih belajar untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang cekap seperti arwah ibunya.

Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad dalam satu kenyataan akhbar yang difaks kepada pejabat media petang semalam berkata, firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners dilantik anggota keluarga Sosilawati untuk memfailkan tuntutan ganti rugi berkenaan.

Menurutnya, tuntutan yang difailkan pihaknya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 November depan itu dikemukan terhadap peguam N Pathmanabhan dan lima individu lain yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Selain Kamarudin, peguam bela yang akan mewakili firma guaman itu ialah Won Walter Pereira dan Annie Gomez.

Ketika dihubungi, Kamarudin berkata, tuntutan saman ganti rugi itu adalah hasil perbincangan yang dibuat bersama ahli keluarga mangsa, kira-kira seminggu lalu.

Katanya, RM40 juta adalah jumlah yang difikirkan sesuai berdasarkan kerugian terhadap keluarga mangsa berikutan operasi perniagaan syarikat kosmetik itu mengalami kerugian kerana pembunuhan kejam Sosilawati.

“Bagaimanapun, kita akan lebih memfokuskan kepada Pathmanabhan. Mungkin ahli keluarga Sosilawati juga akan hadir ketika kita memfailkan tuntutan ini,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47 dan tiga individu lain.

Individu lain itu adalah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Pathmanabhan dan tiga tertuduh lain didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, pada 15 Oktober lalu, dua lelaki K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan kejam itu.

Selain membakar, mereka mengaku salah membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting dan Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Kamarudin juga memaklumkan, pihaknya masih menunggu maklum balas dari pihak keluarga Ahmad Kamil sama ada mahu melakukan tindakan sama iaitu menyaman tertuduh seperti yang dilakukan oleh ahli keluarga Sosilawati.

No comments:

Post a Comment