Pages

Friday, October 1, 2010

Durian Jelebu laris



Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/07/23

Raja buah kampung jadi rebutan pemborong, peraih 

KUALA KLAWANG: Peminat durian yang dapat menilai kelazatan raja buah ini pasti tidak akan ketinggalan berkunjung ke Jelebu ketika musim durian sekarang kerana tarikan kehebatan durian tempatan yang tiada di tempat lain.
Durian kampung baka Gajah, Belimbing, Susu dan Sompo bukan saja bersaiz besar, malah berbau harum dan enak tidak terhingga.
Ini menyebabkan peraih durian dari Lembah Klang yang sudah lama menyedari durian Jelebu sebagai antara durian tempatan paling sedap, berpusu-pusu datang ke sini untuk memborong raja buah itu dan mengedarkannya kepada penjual durian sekitar Seremban, Kajang, Semenyih dan Kuala Lumpur. 

Keadaan itu pastinya menjanjikan pulangan lumayan buat pemilik dusun serta peniaga hasil dusun dan jualan mereka mendapat permintaan tinggi. 

Kebanyakan peniaga durian ditemui Berita Harian memberitahu, bilangan pelanggan paling ramai datang pada hujung minggu, iaitu mulai Jumaat hingga Ahad kerana mahu membeli durian dengan banyak pada harga murah. 

Selain peraih, pembeli individu sejauh dari Kuala Lumpur yang tahu kehebatan durian di sini sanggup datang untuk membeli durian Jelebu. 
Peniaga durian di Kampung Kemin dekat sini, Junaidi Osman, 26, berkata harga durian yang dijual di sini lebih murah berbanding Seremban dan Kuala Lumpur. 

Katanya, durian kampung jenis Gajah, Belimbing, Susu dan Sompo yang baru dikutip dan dijual pada hari sama berharga antara RM2.50 hingga RM3 sekilogram. 

“Di Seremban, saya difahamkan durian ini dijual antara RM4 hingga RM5. Jadi tidak hairan ramai orang sanggup datang ke sini mendapatkannya kerana bukan saja sedap, malah harga berpatutan,” katanya. 

Beliau berkata, penggemar durian kampung sanggup datang ke sini kerana tidak mahu terbeli durian Siam di kawasan bandar kerana kadang-kadang mereka yang tidak mahir sukar membezakan antara kedua-dua jenis durian itu. 

“Apabila datang ke sini, mereka puas hati kerana durian yang dijual sah adalah durian kampung dan bukan Siam,” katanya. 

Rosli Ahmad yang turut menjual durian berkata, permintaan terhadap durian Jelebu masih tinggi walaupun musim durian kali ini kurang menjadi berbanding sebelum ini. 

“Kami bersyukur kerana orang tidak putus-putus datang membeli durian. Sudah tentu pemilik dusun paling gembira kerana dikunjungi peraih setiap pagi untuk mendapatkan durian segar,” katanya. 

Sementara itu, peminat durian Jelebu dari Seremban, Mohd Razali Kamarul Zaman, 31, berkata musim durian adalah saat paling ditunggu-tunggu setiap tahun. 

“Saya suka durian ini yang mempunyai rasa istimewa berbanding tempat lain, apatah lagi durian Siam yang kelihatan cantik, tetapi makan sedikit sudah jemu,” katanya. 

Beliau berkata, kehebatan durian Jelebu mungkin kerana kebanyakan dusun terletak di kawasan tanah tinggi dan keadaan persekitaran yang tidak tercemar.

No comments:

Post a Comment