Pages

Friday, October 1, 2010

AmanahRaya bantu selesai isu harta pusaka





2010/10/01

Permasalahan aset, liabiliti ditadbir organisasi ikut Akta Wasiat 1959

AMANAHRAYA ditubuhkan mengikut Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532) pada 1 Ogos 1995 dan didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965, dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dulunya dikenali Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia (sejak 1921). 

Objektif penubuhan AmanahRaya apabila dikorporatkan bertujuan menjadi satu organisasi yang memenuhi tanggungjawab sosial dengan memberikan perhatian kepada kepentingan komuniti dalam hal ehwal membabitkan pengurusan harta pusaka.
Pada masa sama, AmanahRaya turut meletakkan sasaran untuk menjadi organisasi yang cekap dalam bidang tugasnya serta mencapai keuntungan seperti mana syarikat amanah persendirian lain.
Harta Pusaka menurut pengertian umum adalah aset dan tanggungan yang ditinggalkan oleh simati apabila berlaku kematian dan akan diwarisi pewaris yang berhak mengikut undang-undang selepas hutang simati diselesaikan. 

Mengikut syarak, pusaka bermaksud suatu hak yang boleh dibahagikan dan sabit kepada yang berhak setelah pemunya terdahulu itu mati, kerana hubungan kerabat, perkahwinan, walla (pembebasan hamba) atau perjanjian. 

Harta pusaka adalah aset dan liabiliti yang ditinggalkan oleh seseorang apabila berlaku kematian atau harta peninggalan simati setelah ditolak hutang, hutang syarak (contohnya fidyah bagi orang Islam) dan wasiat. 

Jika harta pusaka tidak diwasiatkan, ia menjadi Harta Pusaka Tidak Berwasiat dan ditadbirkan mengikut undang-undang berkaitan. Bagi harta pusaka yang diwasiatkan, ia akan ditadbir mengikut wasiat dan Akta Wasiat 1959. 
Pentadbiran harta pusaka perlu dibuat dengan segera bagi menyelesaikan hutang dan tanggungan simati sebelum waris menerima hak masing-masing serta mengelakkan proses pentadbiran menjadi lebih sukar apabila berlaku kematian berlapis di kalangan waris. 

Oleh itu, menjadi tanggungjawab waris melaksanakan kewajipan mengurus pusaka supaya tidak tertangguh terutama jika seseorang itu tidak mempunyai perancangan pewarisan seperti wasiat, amanah atau hibah. 

AmanahRaya percaya masyarakat memerlukan pusat khidmat berdekatan dengan tempat mereka dan bagi tujuan itu, proses mendapatkan maklumat serta perkhidmatan boleh dilaksanakan di kesemua 19 cawangan AmanahRaya di seluruh negara. 

Cawangan itu dijadikan pusat khidmat setempat untuk mentadbir harta pusaka dan berupaya memberi khidmat nasihat, penerangan serta taklimat dan sentiasa bersedia untuk bertugas di kawasan luar bandar.

No comments:

Post a Comment