Pages

Sunday, October 31, 2010

135 hilang 'hidup semula'



SEORANG anggota tentera mengawal lalu lintas di sebatang jalan raya Yogyakarta yang dilitupi debu tebal Gunung Merapi, semalam. - AP


JAKARTA 30 Okt. - Seramai 135 mangsa tsunami di kepulauan Mentawai yang disenaraikan hilang dan dikhuatiri maut sebelum ini, ditemui selamat di sebuah kawasan tanah tinggi.
"Petugas penyelamat menemui mereka di tanah tinggi di pulau Pagai Utara," kata pegawai pengurusan bencana, Agus Prayitno, sambil menambah bilangan mangsa yang hilang kini berjumlah 163 berbanding 298 orang sebelum ini.
Katanya lagi, jumlah korban bagaimanapun kekal pada 413 orang.
Pegawai pengurusan bencana di pulau Pagai Utara, Joskamatir berkata, semua mangsa yang ditemui terlalu takut untuk meninggalkan hutan di kawasan bukit itu kerana bimbang tsunami akan berlaku lagi.
"Kami mengambil masa berhari-hari untuk mengesan mereka kerana mereka tidak mahu pulang ke kampung dengan alasan bimbang tsunami akan melanda lagi," katanya lagi.
Pegawai bencana sebelum ini tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menemui lebih ramai mangsa yang hilang, berdasarkan satu tinjauan udara awal minggu ini yang mendapati banyak mayat bergelimpangan di sepanjang pantai serta tersangkut di bawah runtuhan dan pokok-pokok.
Sementara itu berkaitan dengan bencana letusan Gunung Merapi, penduduk Yogyakarta panik apabila bandar itu pula dihujani debu dan pasir dari gunung berapi itu atau dikenali sebagai 'Wedhus Gembel', yang meletus sejak 12.40 pagi tadi dan berterusan sehingga petang ini.
Ia menyebabkan orang ramai di ibu kota lama kira-kira 40 kilometer dari Merapi ini, sukar bernafas, pening serta menyebabkan mata pedih.
Ledakan selama kira-kira 20 minit itu dapat didengari sejauh 14 kilometer, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menggunakan anggota Komando Pasukan Khusus (Kopasus) bagi memaksa baki penduduk yang berdegil untuk kekal di sana agar berpindah.
Letusan terbaru turut meragut satu lagi nyawa, menjadikan jumlah mangsa meningkat kepada 36 orang dengan langit menjadi gelap gelita.
Lapangan Terbang Adi Sucipto di sini juga ditutup beberapa jam sebelum dibuka kembali.
Dalam pada itu pelajar Malaysia yang berada di sini dilaporkan selamat dan mereka tidak ke kelas kerana cuti dan dinasihatkan memakai topeng muka dan mengurangkan aktiviti luar.
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar berkata, petugas dari Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia mengedarkan topeng muka dan ubat titisan mata kepada para pelajar terbabit.
"Setakat ini pihak berkuasa tempatan memaklumkan debu itu tidak merbahaya, tetapi jika wap panas dan lava sampai ke Yogyakarta, kita akan bawa pulang semua pelajar ke Malaysia.
"Pelajar juga dilarang menyertai pasukan sukarelawan sehingga diberitahu kelak," katanya. - AFP/Utusan

No comments:

Post a Comment