Pages

Friday, September 3, 2010

Rundingan damai disambung



Benjamin Netanyahu (kanan) membisikkan sesuatu kepada Mahmoud Abbas semasa rundingan damai Asia Barat di White House, Washington, kelmarin. – REUTERS


WASHINGTON 2 Sept. – Para pemimpin Palestin dan Israel menyambung semula rundingan langsung hari ini dalam usaha untuk memeterai perjanjian damai bagi Asia Barat dalam tempoh setahun.
Rundingan terbaru itu bagaimanapun dibayangi oleh perasaan skeptis di semua pihak dan keganasan yang meletus semula di Tebing Barat.
Ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersiap sedia untuk mengadakan rundingan langsung pertama dalam tempoh 20 bulan di sini, pergerakan Hamas mengaku pejuangnya melepaskan tembakan yang mencederakan dua penduduk Israel di Tebing Barat.
Hamas yang menentang keras rundingan damai itu juga mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian empat pendatang haram Yahudi ditembak mati kelmarin.
Tanpa menghiraukan serangan itu, Presiden AS, Barack Obama menggesa kedua-dua pihak tidak melepaskan peluang untuk mencapai perdamaian, merealisasikan sebuah negara Palestin dan menjamin keselamatan Israel dalam tempoh setahun.
Beliau membuat gesaan itu pada majlis pelancaran rundingan di White House semalam, dihadiri oleh kedua-dua pemimpin serta Raja Abdullah II dari Jordan dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak.
“Detik peluang ini mungkin tidak akan tiba lagi,” kata Obama yang menemui kedua-dua pemimpin secara berasingan, dan kemudian menganjurkan jamuan makan malam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara, Hillary Clinton dan duta Kuartet Asia Barat, Tony Blair.
Netanyahu berikrar untuk memeterai perjanjian ‘bersejarah’ dengan Palestin manakala Abbas membalas retorik perdamaian Netanyahu itu dengan menggesa dihentikan pertumpahan darah berikutan serangan terbaru Hamas.
Abbas bagaimanapun turut menuntut Israel menghentikan kegiatan pembinaan perumahan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Netanyahu mengambil langkah pembukaannya semasa sidang media di East Room, White House yang menyaksikan kedua-dua pemimpin berjanji untuk mencari perdamaian dengan jujur berikutan sengketa selama berpuluh-puluh tahun.
“Presiden Abbas, tuan adalah rakan saya dalam mencari perdamaian,” kata Netanyahu. – AFP

No comments:

Post a Comment