Pages

Sunday, September 19, 2010

Perogol Carfu tewas

“SAYA tidak ada kerja atau harapan untuk hidup. Saya sedar tiada wanita yang terima saya begini. Jadi, merompak dan merogol adalah penyelesaian untuk memenuhi keperluan hidup serta naluri saya.”

Aspiotis didapati bersalah atas tuduhan merogol sekurang-kurangnya empat mangsa, tiga daripada mereka pelancong Britain, dalam tempoh tidak kurang enam minggu sejak Julai lalu, selain turut dikaitkan dengan beberapa kes rogol yang berlaku di Kavos.

Ketika perbicaraan di mahkamah, Aspiotis mengaku merogol empat mangsa yang rata-ratanya pelancong. Dia mendapatkan mangsanya di pantai Carfu yang terkenal sebagai kawasan pelancongan di pulau berkenaan.

Antara mangsa yang tidak didedahkan nama mereka oleh mahkamah adalah gadis berusia 18 tahun yang dirogol ketika hendak pergi ke pantai untuk berjemur; wanita berusia 20-an dirogol ketika mabuk tanpa disedari rakan wanita berkenaan; wanita bersama teman lelaki diserang kemudian dirogol selepas teman lelaki tidak sedar diri itu dibelasah suspek; dan wanita berusia 47 tahun yang ditemui suspek di bar kemudian diculik dan dirogol.

Selama enam hari Polis Kavos memburu Aspiotis selepas beberapa mangsa rogol terbabit membuat laporan. Menyedari dirinya menjadi buruan, Aspiotis menyembunyikan diri di kawasan pergunungan Arkoudila di pulau berkenaan.

Polis Britain dan Greece bekerjasama dalam operasi memburu suspek dan berjaya menangkapnya pada 26 Ogos lalu. Dia ditemui di tepi sungai dalam khemah yang diperbuat daripada daun dan kayu.
Anggota polis, Yiotis Theocharis, yang terbabit dalam pemburuan berkenaan berkata, Aspiotis seperti ‘anjing liar’ yang sangat sukar dijejaki dan mahir dengan kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan, Aspiotis membesar berhampiran kawasan hutan ini dan dia tahu ‘rahsia’ di dalamnya untuk dijadikan tempat persembunyian. Sebab itu, kami (polis) mengambil sehingga enam hari untuk memburunya,” katanya.

Ketika ditangkap, Aspiotis yang sempat ditemuramah wartawan televisyen memohon maaf terhadap semua mangsa rogol, terutama warga Britain.

Menceritakan pengalaman ngeri menjadi mangsa pemuas nafsu suspek, seorang mangsa iaitu gadis berusia 23 tahun yang ditemui dalam satu temuramah bersama wartawan menggambarkan suspek sebagai ‘binatang’ dan tidak berperikemanusiaan.

Wanita itu yang juga pekerja agensi pelancongan di kawasan terbabit, berkata dia dibelasah teruk sebelum dilarikan ke kawasan hutan berkenaan dan dirogol berulang kali selama 12 jam.

“Dia merakam aksi merogol saya dengan kamera telefon bimbitnya. Dia juga ada menyimpan gambar mangsa rogol lain dalam telefonnya.

“Sepanjang masa dia memegang pisau dan akan meletakkannya di leher saya ketika bersama dan memuaskan nafsunya. Saya tidak dapat melupakan wajah bengisnya, dia tidak ubah seperti binatang,” kata wanita berkenaan yang masih trauma.

Sebelum ini, Aspiotis pernah dipenjarakan pada 2007 kerana merogol tiga pelancong. Namun, dia dibebaskan dengan jaminan £4,100 atas desakan aktivis Kristian di kawasan berkenaan.

Aktivis berkenaan mahu Aspiotis dibebaskan kerana menganggap suspek berkenaan miskin dan tiada panduan hidup. Namun, selepas beberapa bulan dibebaskan, Aspiotis melakukan lagi jenayah terbabit.

Pelancong Britain, Nicci Gregory, 24, yang pernah mengenali Aspiotis di pulau berkenaan menyelar tindakan aktivis berkenaan kerana ia umpama melepaskan harimau dari sangkarnya dan berbahaya untuk orang lain.

“Apa gunanya mereka (aktivis) melepaskan manusia begini? Selepas bersalah melakukan rogol bersiri, dia dibebaskan kemudian melakukannya lagi.

“Saya tidak mengetahui dia (Aspiotis) berbahaya ketika mengenalinya. Mujur saya tidak menjadi mangsanya,” katanya.

Sementara itu, rakan Gregory, Katie Church, 20, berkata dia terkejut mengetahui Aspiotis adalah perogol bersiri yang ganas dan sikapnya yang mesra serta ramah tidak menunjukkan perangainya yang sebenar.

“Kami sempat mengambil gambar kenangan bersama ketika lepak di sebuah bar di pulau berkenaan. Saya sedar dia selalu mengekori saya dan Nicci tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Setiap malam saya selalu melihatnya melepak bersama beberapa rakannya. Saya dan Nicci mungkin mudah menjadi mangsanya,” katanya.

INFO
SUSPEK: Dimitris Aspiotis
UMUR: 38 tahun
PEKERJAAN: Tiada
MANGSA: Mangsa yang tidak didedahkan nama oleh Mahkamah Kavos, Greece dalam kes ini antaranya gadis berusia 18 tahun yang dirogol ketika pergi ke pantai untuk berjemur; wanita berusia 20-an dirogol ketika mabuk tanpa disedari rakannya; wanita bersama teman lelaki diserang kemudian dirogol selepas teman lelaki tidak sedar diri itu dibelasah suspek; dan wanita berusia 47 tahun yang ditemui suspek di bar kemudian diculik dan dirogol

FAKTA JENAYAH: Aspiotis melakukan jenayah rogol ke atas sekurang-kurangnya empat mangsa, termasuk tiga pelancong, dalam tempoh enam minggu sejak Julai lalu, selain dikaitkan dengan beberapa kes rogol di Kavos. Perogol bersiri ini pernah dipenjara pada 2007 kerana merogol tiga pelancong. Namun dia dibebaskan dengan jaminan £4,100 atas desakan aktivis Kristian di kawasan berkenaan.

FAKTA KES: Ditangkap selepas enam hari diburu ketika bersembunyi di kawasan pergunungan Arkoudila di Pulau Pulau Carfu, Greece, Aspiotis didakwa atas empat kesalahan merogol. Perbicaraan terhadap suspek dijalankan di Mahkamah Kavos, Greece dan hingga kini masih lagi berjalan. Polis turut cuba mencari bukti lain untuk mengaitkan suspek yang dipercayai turut terbabit dengan beberapa kes rogol di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment