Pages

Sunday, September 19, 2010

Cinta lelaki bukan beragama Islam

SAYA pelajar IPTA dan kini berdepan dengan masalah berat menyebabkan diri keliru serta tertekan. Saya bercinta dengan seorang lelaki berlainan agama. Dia amat baik dan terlalu menyayangi saya sejak awal perkenalan kami tujuh bulan lalu.
Dia kerap datang melawat saya di universiti dan menghormati saya sebagai gadis Islam. Kami merancang masa depan bersama untuk berkahwin bila saya tamat pengajian kelak.

Bulan lepas saya desak teman lelaki berterus terang dengan keluarganya mengenai hubungan kami namun malangnya ditentang keras. Saya dan dia sedih selain rasa tertekan serta sangat keliru. Dia keliru sama ada memilih saya atau keluarganya apatah lagi dia anak tunggal lelaki. Saya memahami situasi yang dihadapinya namun berharap sangat kami dapat meneruskan hubungan seperti dulu. Saya risau jika dia tinggalkan saya kerana keluarganya.

Saya amat menyayanginya dan keluarga saya juga sudah mengetahui hubungan ini. Mereka tidak menentang cuma menasihati supaya mengajak teman saya itu memeluk Islam jika saling menyintai.

Keluarga saya juga menyarankan supaya teman saya itu belajar dan memahami ajaran Islam terlebih dulu sebelum berkahwin. Pada masa sama dia memberitahu untuk terus berusaha hingga keluarganya dapat menerima kehadiran saya seadanya. Tetapi saya rasa takut dan risau jika dia mengambil keputusan meninggalkan saya.

Sayang saya padanya tidak berbelah bagi namun apabila memikirkan sikap keluarganya, teman lelaki saya itu tidak mampu memberi harapan mengenai masa depan kami. Saya sedih dan hal ini mengganggu fikiran dan jiwa saya. Setiap hari saya berdoa Allah memberi petunjuk dan kekuatan untuk dia memeluk Islam dan menghadapi keluarganya dengan baik.
Masih Mengharap
Johor Bahru

MEMILIH untuk berkahwin adalah satu langkah besar kerana memerlukan satu komitmen sepanjang hayat untuk berkongsi kehidupan dengan individu lain. Walaupun dalam keadaan paling ideal, perkahwinan pasti terdedah dengan segala kemungkinan dan risiko. Berkahwin dengan pasangan berlainan agama menjadikan perkongsian itu lebih sukar kerana membabitkan lebih banyak penyesuaian. Kemungkinan berlaku kritikan, penolakan dan soalan daripada ahli keluarga yang tidak begitu memahami corak serta gaya hidup perkahwinan campur. Keluarga juga mungkin mempunyai sikap prejudis tersendiri terhadap perkahwinan seperti ini.

Keluarga kekasih menentang hubungan adik berdua sekeras-kerasnya dan membuatkan kalian tertekan dan keliru. Hal ini menyebabkan kekasih terus keliru. Realitinya bukan mudah bagi keluarga melepaskan anaknya memeluk agama lain. Selepas bertahun-tahun membesarkan anak dalam agamanya tentu sekali keluarga kekasih adik merasa kecewa apabila anak tunggal lelakinya ingin memeluk Islam kerana cinta. Sebagai anak lelaki tunggal tentu sekali tinggi harapan yang diletakkan keluarga kekasih adik terhadapnya. Adik sebagai seorang wanita Muslim mesti berkahwin dengan lelaki Muslim. Ini bermakna kekasih perlu menukar agamanya kepada Islam jika ingin melayari kehidupan berumahtangga dengan adik. Ketakutan dan kerisauan kekasih bakal meninggalkan adik kerana keluarganya menambahkan lagi bebanan konflik sedia ada. Kekasih memberitahu dia terus berusaha hingga keluarganya merestui hubungan anda berdua. Biarkan proses ini berlaku dan adik perlu yakin dengan usaha kekasih adik itu. Rasa dan mendesak kekasih hanya menjadikan dia lebih keliru peranan yang perlu dimainkan. Sebaliknya perlu sama-sama memberi sokongan supaya keluarganya dapat menerima adik sebagai menantu.

Sesuatu perkahwinan itu janganlah didirikan secara tergesa-gesa tetapi biarlah berhati-hati atau waspada. Ambil masa sesuai untuk membuat pertimbangan teliti supaya mampu menghindari penyesalan yang mungkin timbul kemudian hari. Beri masa dan ruang untuk menjadikan cinta itu berjaya. Jika kekasih benar-benar mencintai , dia sanggup berkorban segalanya untuk membahagiakan adik. Berkahwin dengan adik tidak bermakna kekasih perlu meninggalkan keluarganya. Dia tetap perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak yang baik dan bertanggungjawab.

Langkah adik meminta pertolongan Allah supaya memberi petunjuk dan kekuatan untuk kekasih memeluk Islam serta menghadapi keluarganya dengan baik banyak memberi kekuatan. Teruskan usaha baik ini supaya adik terus berkeyakinan menghadapi konflik cinta ini.

Seandainya tiada jodoh, sebagai seorang Islam sejati, adik wajib percaya tiada siapa yang boleh menentukan jodoh seseorang itu melainkan dengan kehendak Allah. Mencintai seseorang juga tidak semesti dapat memilikinya. Semoga cinta adik ibarat matahari, ia tetap bercahaya. Walau malam menjelma, cahayanya pada bulan tetap menerangi biar pun kadang kala gerhana tetapi kembali jua cerahnya. Selamat berjaya!

No comments:

Post a Comment