Pages

Monday, September 13, 2010

Misteri Kehilangan Sosilawati: Kama pernah nyata hasrat berhenti kerja




2010/09/12

Pemandu Sosilawati batal niat kerana kasihan 

KUANTAN: Pemandu peribadi jutawan kosmetik, Kamaruddin Shansuddin, 44, pernah beberapa kali memaklumkan mahu berhenti kerja, bagaimanapun tidak meneruskan hasratnya kerana kasihankan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang banyak berjasa dan membantunya.Kakaknya, Ramlah, 49, berkata perkara itu dinyatakan Sosilawati yang menghubunginya untuk bertanyakan khabar keluarga Kamaruddin di sini.
“Datuk (Sosilawati) kerap menghubungi saya dan pernah memaklumkan Kama (Kamaruddin) mahu berhenti selepas empat tahun bekerja dengannya tetapi Kama kasihan dan terhutang budi, selain tahu ramai orang mahu menipu Datuk dan Datuk sedang menghadapi kesusahan. 

“Datuk juga maklumkan beliau tidak pernah jumpa orang jujur dan baik seperti Kama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota 2, semalam. 

Ramlah berkata, Kamaruddin yang juga anak kelima daripada enam beradik ke rumah ibu, Zainab Ahmad, 73, di Semambu pada 25 Ogos lalu selama lima hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada pagi 30 Ogos. 

“Kama turut membawa anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, membeli dua baju Melayu dan kelengkapan raya sebelum pulang ke Kuala Lumpur,” katanya yang memaklumkan dua lagi anak Kamaruddin dijaga bekas isterinya, di Rembau, Negeri Sembilan. 
Selain itu, Zainab menyifatkan anaknya itu sebagai penyayang, mengikut kata dan tidak suka bergaduh serta sering mengambil berat hal keluarga. 

Di REMBAU, kesihatan anak sulung Kamaruddin, Balqis Dayana, 12, terganggu sebaik mengetahui ayahnya dibunuh, semalam. 

Bekas isteri Kamaruddin, Noorfazilah Ab Sani, 33, berkata Balqis sangat rapat dengan Kamaruddin dan asyik menangis serta tidak menjamah makanan sejak pagi semalam. 

Katanya, ketika berita televisyen menyiarkan kematian Kamaruddin, Izran Akmal, 9, menangis di pangkuannya, manakala Balqis cuba menenangkan adiknya. 

Noorfazilah yang berpisah dengan Kamaruddin pada 2006, menyifatkan Allahyarham sebagai bapa yang bertanggungjawab dan tetap memberi nafkah kepada anak mereka, malah memasukkan wang bagi perbelanjaan Aidilfitri sebelum dilaporkan hilang. 

Balqis berkata, beliau bersama Izran Akmal tidak sabar menunggu kedatangan bapa mereka untuk berhari raya di Kuantan kerana dapat bertemu Irfan yang dipelihara ibu saudara di sana. 

No comments:

Post a Comment