Pages

Tuesday, September 21, 2010

Kashmir tidak endahkan delegasi Parlimen India


SRINAGAR 20 Sept. - Satu delegasi ahli Parlimen India daripada pelbagai parti melawat Kashmir hari ini tetapi pemimpin utama tempatan enggan menemui mereka dan sebaliknya berkata, New Delhi tidak mempunyai jawapan bagi menyelesaikan krisis di rantau ini.
Lebih 100 penduduk awam terbunuh dalam tempoh tiga bulan lalu, dalam pertempuran antara penunjuk perasan yang membaling batu dengan pasukan keselamatan India yang kerap melepaskan tembakan peluru hidup.
Perdana Menteri, Manmohan Singh minggu lepas mengadakan mesyuarat tergempar melibatkan semua parti yang memutuskan untuk menghantar delegasi 37 anggota itu ke Kashmir bagi berunding dengan ahli politik dan kumpulan perniagaan tempatan dalam usaha untuk meredakan ketegangan.
Lawatan delegasi diketuai oleh Menteri Dalam Negeri, P. Chidambaram itu adalah yang pertama oleh menteri atau pemimpin politik utama India ke Kashmir sejak protes bermula pada Jun lalu.
Namun harapan agar lawatan itu dapat meredakan keganasan terjejas ekoran keputusan para pemimpin pemisah Kashmir untuk menolak tawaran bagi mengadakan rundingan secara bersemuka.
Pemimpin pemisah veteran, Syed Ali Geelani yang menganjurkan protes hampir setiap hari itu menolak untuk mengadakan pertemuan dan berkata, tiada apa-apa yang positif akan dicapai daripadanya.
Pemimpin pemisah lebih sederhana, Mirwaiz Umar Farooq dan Yasin Malik juga enggan menemui delegasi tersebut.
"Kedatangan mereka hanya satu sandiwara, mereka mendakwa mahu menilai situasi di sini sedangkan semua orang mengetahui penduduk yang tidak berdosa dibunuh dan perintah berkurung menyebabkan sebahagian besar Kashmir bertukar menjadi penjara," kata Farooq. - AFP

No comments:

Post a Comment