Pages

Monday, September 13, 2010

'Bunuh pembunuh'

MANAMA: Warga Kuwait menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman mati atau penjara untuk tempoh lama ke atas pemandu yang membunuh seorang remaja Mesir sejurus dia tiba di Kuwait untuk meraikan Aidilfitri bersama bapanya.
Mangsa yang baru berusia 15 tahun dijemput bapanya di lapangan terbang bersama ibu dan adiknya pada subuh Aidilfitri pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, detik menggembirakan itu bertukar tragedi apabila kenderaan keluarga itu dilanggar sebuah kereta lain.

Saksi berkata, kereta terbabit membelok secara tiba-tiba selepas dipandu melulu oleh seorang pemuda yang keluar sejak awal pagi.

Sumber pula berkata, bapa mangsa berhenti di persimpangan untuk memberi laluan kepada kereta pemuda berkenaan yang dilihatnya dipandu secara berbahaya.

“Bagaimanapun, kereta itu terbabas dan melanggar kenderaan mangsa,” katanya.

Remaja terbabit terbunuh di tempat kejadian, manakala ibu dan adiknya parah.

Penulis blog, Abu Dhabi, berkata hukuman mati sesuai untuk pemandu itu.

“Kerajaan mesti memberi contoh kepada semua pemandu berbahaya,” katanya.

Seorang lagi penulis blog, Abu Adel, berkata hukuman mati mesti dikenakan sebagai langkah pencegahan mengelak insiden sama berulang.

Bagaimanapun, penulis blog lain, Shaqhan berkata dia yakin pemandu terbabit akan terlepas daripada sebarang hukuman kerana campur tangan politik.
“Pada 1960-an dan 1970-an, kita tak pernah berdepan dengan masalah ini tapi kini ahli parlimen banyak campur tangan,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment