Pages

Tuesday, September 28, 2010

Berniaga ikut lunas Islam

Oleh Kusyi Hirdan
kusyihirdan@gmail.com
2010/09/27

ADA 10 juta penduduk di Guangzhou, China dan 100,000 daripadanya beragama Islam. Guangzhou, kota ketiga terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai, pesat membangun padat dengan manusia yang sibuk mengejar masa dan wang.


DEMI REZEKI...pasangan Issa dan Salima tekad berniaga sendiri di tengah kepesatan Guangzhou.
DEMI REZEKI...pasangan Issa dan Salima tekad berniaga sendiri di tengah kepesatan Guangzhou.

BERKEMBANG...masjid di Guangzhou menjadi kunjungan umat Islam.
BERKEMBANG...masjid di Guangzhou menjadi kunjungan umat Islam.
Kita tidak boleh lambat atau jalan berlenggang di Guangzhou kerana selain ketinggalan kita mungkin juga akan kelaparan.

Dalam 10 juta manusia itu, penulis terserempak Salima Ma, 29, ketika meminta pertolongan menunjukkan jalan ke masjid. Senang mengenali Salima adalah Muslim kerana pakaiannya menutup aurat. Dia yang baru berbuka puasa waktu itu bersungguh-sungguh menunjuk jalan ke masjid kepada penulis.

Dengan bahasa Inggeris yang agak baik, agak mudah kami menjalin hubungan dengannya. Sebelum berpisah, ibu beranak satu itu sempat memberitahu mempunyai kedai menjual peralatan telefon dan memberi kad perniagaannya di Central Communication, Jalan Xi Ti Er berhadapan bangunan Plaza Namfang, berdekatan Sungai Pearl.

Tiga hari selepas itu baru berkesempatan bertemu Salima semula kerana hujan sangat lebat melanda Guangzhou sekali gus mengehadkan perjalanan.
Salima menyambut kami dengan penuh ramah dan kami diperkenalkan kepada suaminya, Issa.

Ma Sheng Xing atau Issa Ma, 29, berkelulusan komputer daripada Universiti North National aktif dalam bidang dakwah di kawasan tempat tinggal dan pekerjaannya.
Salima Ma mempunyai nama cina Ma Yu Lain, berkelulusan alam sekitar, sentiasa menjadi penyokong kuat suaminya.

“Di Guangzhou, ada 100,000 Muslim dengan pecahan 60,000 orang tempatan manakala selebihnya golongan pendatang,” cerita Issa sambil melayan pelanggan yang tidak putus-putus datang ke kedainya.
Misi dakwah Issa dan rakan masjidnya sentiasa berjalan setiap minggu iaitu pada Khamis. Pada hari itu, mereka akan menerangkan kepada orang bukan Islam mengenai Islam tidak kira seorang, dua atau lebih ramai.

Issa memberitahu dia pernah ke Malaysia di Sri Petaling bagi kunjungan dakwahnya beberapa tahun lalu.

Salima berasal dari Dong Xiang, Gangsu manakala Issa pula dari Xinjiang. Mereka berkahwin lima tahun lalu setelah diperkenalkan oleh ayah Salima yang merupakan seorang imam. Pasangan berpendidikan tinggi itu tidak kisah tidak dapat makan gaji sesuai dengan kelulusan mereka.

“Untuk hidup di Guangzhou bukan mudah. Sebelum ini kami cuba bekerja dengan syarikat lain selama dua tahun tetapi tiada kesesuaian.

“Sukar mendapat rakan sekerja dan majikan yang memahami kita sebagai Muslim. Mereka akan mempertikaikan pelbagai perkara seperti mengapa kita tidak mahu makan bersama mereka, tidak makan makanan mereka dan tidak berpakaian seperti mereka yang menjolok mata. Cara hidup kita juga dipandang sinis,” katanya.

Menjadi kaum minoriti perit dirasakan terutama untuk mengamalkan Islam secara bebas. Contohnya laungan azan, langsung tidak dibenarkan berkumandang kuat seperti di Malaysia.

“Di rumah hanya boleh ada sebuah al-Quran, sekiranya kerajaan tahu ada lebih daripada itu, ia perlu diberikan kepada mereka.

“Mereka cukup risau sekiranya dengan al-Quran itu kami mahu memberontak walhal ia langsung tidak benar. Kami cuma mahu hidup aman damai dan melakukan amal ibadat terhadap Allah sebaik mungkin,” kata Salima.

Maka pasangan suami isteri itu tekad berniaga sendiri. Mereka bangkit dengan usaha sendiri walau kesusahan awal masih berbekas sehingga kini.

“Dahulu, waktu bekerja dengan orang, gaji saya 4,000 yuan dan jumlah itu tidak mencukupi kerana lebih daripada dua pertiga habis untuk sewa rumah dan perbelanjaan lain sangat tinggi.

“Menyewa rumah di Guangzhou sangat mahal sekitar 4,000 hingga 5,000 yuan (RM2,000 hingga RM2,500) sebulan. Jadi kami berazam, dengan berniaga sendiri pendapatan dapat digandakan untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Untuk menyewa kedai sebesar enam kali lapan kaki luasnya, wang pendahuluan 20,000 yuan bagi kontrak lima tahun. Bayaran bulanan pula sangat tinggi iaitu 6,000 yuan. Memang sukar bagi mereka berdua yang datang daripada keluarga susah.

“Kami banyak berdoa pada Allah memohon bantuan-Nya. Alhamdulillah, setelah lima tahun, perniagaan kami makin kukuh dan kami berjaya membeli apartmen berharga 150,000 yuan.
“Walaupun kecil, ia cukup membanggakan kerana hartanah di Guangzhou sangat mahal,” kata Issa.

Menurut Issa dan Salima, peniaga lain tidak takut dosa kerana itu mereka tidak kisah menipu pelanggan.

“Ada yang mahu cepat untung dan menipu dengan menjual murah walhal barang yang dijual tidak menepati mutu sebenar tetapi bagi kami, hendak buat apa pun teringat balasan akhirat.

“Jadi kami menjual harga yang berpatutan tetapi kami berjanji tidak menipu. Jika rosak boleh pulang semula. Sebab itu pelanggan kami adalah pelanggan yang berulang dan itulah yang membuatkan kami berjaya sekarang.

“Buat masa sekarang, kerajaan tidak membenarkan rumah disewa kepada orang luar sehinggalah Sukan Asia berakhir,” tambah Salima, anak sulung daripada empat beradik ini.

Umat Islam di Guangzhou juga melalui cabaran besar mengukuhkan iman sebagaimana umat Islam di negara lain.

Menurut Issa, ramai saudara seagamanya di China yang dilihatnya tidak mempraktikkan Islam walaupun asal usul mereka jelas Islam.

Keadaan itu merisaukannya namun dia lega kerana kini banyak sekolah agama ditubuhkan dan ada kira-kira 20 sekolah semuanya.

Sekurang-kurangnya, ini membantu golongan muda untuk lebih mengukuhkan Islam. Maka tidak hairan sudah ramai anak-anak muda Islam di China boleh berbahasa Arab.

“Ketika saya mula sampai di sini pada 2003, kemudahan untuk orang Islam belum banyak seperti sekarang.

“Dulu, saya yang selalu menjadi tukang sembelih daging untuk semua orang tetapi kini semuanya mudah didapati, begitu juga kedai makan Islam,” kata Issa sambil menambah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Anak tunggal mereka, Sofia, setahun, tinggal di kampung bersama ibu Salima kerana bagi Issa, Guangzhou bukan tempat yang sesuai mendidik anak terutama menanam jiwa keislaman. Guangzhou mungkin boleh menjadi tempat mencari rezeki sahaja.

Air mata ibu mengalir kerinduan apabila Salima menunjuk gambar anaknya kepada penulis. Mereka dipisahkan jarak ribuan batu tetapi itulah harga mencari rezeki dan dakwah, kedua-duanya demi Islam.

No comments:

Post a Comment