Pages

Wednesday, September 1, 2010

'Benci tapi sayang'

Mek Wook dan suami Mohd Nor

HULU TERENGGANU: “Sayang pun sayang, benci pun benci,” kata Mek Wook Kondor, 107, mengenai perasaannya terhadap suaminya, Mohd Nor Musa, 38, yang kini menjalani rawatan pemulihan di Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah (PKAD) selama dua bulan selepas ditahan polis kerana didakwa positif dadah jenis heroin pada 12 Ogos lalu.
Kata wanita tertua Terengganu itu, walaupun kecewa dengan sikap suaminya yang kembali ke tabiat buruk menagih dadah, jauh di sudut hatinya masih menyayangi lelaki berkenaan yang disifatkan amat setia mencintainya ketika susah dan senang.
“Kalau tidak sayang Mohd Nor, hendak ganti dengan siapa. Tiada siapa lagi lelaki dalam hidup saya kecuali suami yang sanggup hidup susah dan senang bersama.

“Walaupun perangai dia kadang-kadang tidak molek, dia tetap rajin menguruskan hal rumah tangga, malah sanggup memasak, membasuh dan memandikan saya ketika kami bersama,” katanya ketika ditemui di rumah adiknya, Minah, 66, di Kampung Tok Randok, di sini, kelmarin.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia dihantar oleh suaminya ke rumah adik bongsu yang bimbangkan keselamatan dirinya tinggal berseorangan di rumah mereka di Kampung Bukit Tok Bat, di sini, selain dapat menjaga makan minumnya.

Katanya, walaupun kadangkala timbul rasa sunyi kerana terpaksa berbuka puasa berdua dengan adiknya, namun dia tidak kisah dan menganggapnya sebagai cabaran Ramadan, begitupun dia tetap berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama suaminya dan pulang ke kampung mereka di Kelantan.

Minah pula berkata, sejak Mek Wook tinggal bersamanya kira-kira dua minggu lalu, ia sedikit sebanyak menghilangkan kesunyiannya yang tinggal berseorangan selepas kematian suami beberapa tahun lalu, manakala lima anaknya pula sudah bekerja dan berkeluarga.

No comments:

Post a Comment