NAIROBI - Tiga bekas tentera Amerika Syarikat (AS) berjaya menakluki puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania, Afrika menggunakan kaki palsu serba canggih yang dihasilkan dengan teknologi terkini. Salah seorang bekas tentera itu kehilangan sebelah kaki dalam perang, manakala dua rakannya kehilangan kedua-dua kaki dalam perang. Ketiga-tiga mereka memakai kaki palsu yang diperbuat daripada titanium dan gentian karbon yang memungkinkan mereka menakluki puncak gunung setinggi 5,895 meter itu walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Neil Duncan, 26, dari Denver, Colorado kehilangan kedua-dua kaki pada 2005 akibat letupan bom di tepi jalan semasa berkhidmat di Afghanistan. Duncan pernah mencuba mendaki gunung ini pada tahun lalu tetapi kelemahan dari aspek perancangan membuatkan impiannya tergendala. Kirk Bauer, 62, kehilangan kakinya semasa perang di Vietnam pada 1969. Bekas tentera dari Ellicott City, Maryland ini adalah pengarah eksekutif Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya AS. Seorang lagi pendaki, Max Ramsey, kehilangan sebelah kaki semasa bertugas di Iraq. Misi menakluki Gunung Kilimanjaro ditaja Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya AS dan beberapa penaja individu. Aktiviti seperti ini membuktikan kemampuan sebenar perkembangan sains dan teknologi ke arah memberi peluang sama rata kepada golongan kurang upaya menjalani kehidupan berdikari, sihat dan penuh keyakinan dalam bersukan dan aktiviti rekreasi yang mencabar. |
Pages
▼
No comments:
Post a Comment