Pages

Saturday, August 7, 2010

Hiroshima peringati serangan bom atom



Gambar fail bertarikh 1945 merakamkan keadaan bandar raya Hiroshima seperti padang jarak padang tekukur selepas bom atom digugurkan dari pesawat B-29 tentera udara Amerika pada 6 Ogos, 1945. - AFP


HIROSHIMA 6 Ogos - Jepun memperingati ulang tahun ke-65 serangan bom atom ke atas bandar Hiroshima hari ini dengan Washington buat julung-julung kali menghantar wakil ke upacara tersebut.
Loceng keamanan dibunyikan pada pukul 8.15 pagi, detik sama ketika bom itu dijatuhkan dari pesawat tempur B-29 Enola Gay pada 6 Ogos 1945, ketika berpuluh-puluh ribu mangsa terselamat yang sudah tua, kanak-kanak dan orang kenamaan bertafakur seminit di bawah sinaran terik matahari.
"Jelas sekali, kepentingan pemecatan senjata nuklear semakin menjadi kesedaran global," kata Datuk Bandar Hiroshima, Tadatoshi Akiba dalam satu ucapan yang diikuti pembebasan merpati putih.
Bom atom Hiroshima yang diberi nama 'Little Boy', membebaskan pelbagai gelombang kejutan, pancaran haba dan radiasi yang membunuh beribu-ribu orang dalam sekelip mata.
Menjelang penghujung 1945, angka kematian melonjak kepada kira-kira 140,000 daripada anggaran keseluruhan 350,000 penduduk. Beribu-ribu lagi maut akibat jatuh sakit atau cedera tidak lama kemudian.
Tiga hari selepas serangan Hiroshima, AS menggugurkan bom atom kedua di Nagasaki, selatan Jepun pada 9 Ogos 1945. Jepun menyerah kalah enam hari kemudian, menamatkan gerakan ketenteraan yang memulakan Perang Dunia Kedua.
AS yang baru-baru ini terlibat dalam pertikaian dengan Jepun berhubung pemindahan pangkalan udara AS di pulau Okinawa, buat kali pertama menghantar wakilnya ke majlis itu, menggambarkan usaha Presiden Barack Obama untuk menghapuskan senjata nuklear dari muka bumi.
"Demi kebaikan generasi masa depan, kita perlu bekerjasama untuk merealisasikan dunia tanpa senjata nuklear," kata Duta AS, John Roos dalam satu kenyataan.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon yang juga pegawai pertama badan dunia itu ke majlis peringatan tersebut berkata, kini terdapat kepimpinan baru di negara-negara kuasa besar dan momentum ini harus diteruskan. - REUTERS

No comments:

Post a Comment