Pages

Saturday, August 7, 2010

Hilangnya PATI Afghanistan





SEBAHAGIAN daripada PATI yang ditangkap di tapak pembinaan di Kampung Payoh, Kemaman, Terengganu dikawal oleh anggota Rela. Kes PATI melarikan diri dari depot tahanan menggemparkan penduduk negara ini. - Gambar hiasan


INSIDEN 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Ahad lalu bukan setakat menggemparkan negara.
Ia turut 'menelanjangkan' kelemahan yang berlaku dalam sistem kawalan di pusat tahanan pendatang asing itu yang sudah mula beroperasi sejak Julai 2001. Bukan kali pertama tetapi kali kedua dalam tempoh tidak sampai lima bulan dua kejadian PATI melarikan diri berlaku di depot itu.
Kesan daripada kejadian tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman dengan penuh rasa tanggungjawab bersedia menerima hukuman untuk ditukarkan apabila kerajaan memberi kata dua berikutan kegagalannya mengatasi kejadian itu daripada berulang.
Abdul Rahman yang saya kenali, merupakan seorang ketua yang amat dedikasi dan tegas, selain mudah diajak berbincang. Beliau juga bukan seorang yang hanky-panky. Tabik harus diberikan kepadanya kerana sanggup menerima hukuman daripada kesalahan yang dilakukan, mungkin anggota dan pegawai bawahannya.
Berbalik kepada kes PATI yang melarikan diri dari Depot Tahanan KLIA itu, sehingga hari ini iaitu selepas enam hari melarikan diri, mereka masih gagal dikesan. Ke mana perginya semua PATI Afghanistan itu? Enam hari bukan tempoh sekejap. Sepatutnya mereka sudah dikesan sebaik sahaja melarikan diri. Mereka bukannya penduduk Malaysia yang mahir dengan keadaan jalan raya di negara ini.
Enam hari tanpa keperluan seperti makanan, pakaian dan tempat tidur adalah tempoh yang begitu menyiksakan bagi seseorang pelarian. Mereka boleh mati kerana tidak mempunyai makanan yang cukup.
PATI dari Afghanistan itu pada awalnya ditahan selepas diselamatkan ketika menaiki bot untuk pergi ke sebuah negara lain dan Malaysia cuma dijadikan transit sindiket pemerdagangan manusia.
Atas sebab itu juga, kebanyakan kes tahanan depot melarikan diri melibatkan mangsa pemerdagangan orang seperti Afghanistan kerana mereka sebenarnya tidak berhajat untuk tinggal atau datang ke Malaysia. Apa yang menghairankan, gerakan memburu mereka sudah dilakukan oleh pihak Imigresen dan juga polis, tetapi kenapa masih belum berhasil.
Jika pelatih pusat serenti di negara ini melarikan diri, sudah tentu mereka dapat ditemui dan diberkas semula dalam tempoh yang singkat, tetapi nampaknya dalam kes PATI ini, ia agak unik.
Tentu ada sebabnya. Menurut penganalisis jenayah tanah air, Kamal Affandi Hashim, proses melarikan diri dari tahanan terbahagi kepada tiga iaitu sebelum, ketika melarikan diri dan selepas melarikan diri.
Sebelum melarikan diri, mereka perlu berkomunikasi dengan orang perantaraan untuk mengatur koordinasi, masa dan tempat yang sesuai untuk bertindak dan penggunaan orang tengah atau 'utusan' ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Ketika melarikan diri pula, tahanan itu perlu ada penunjuk arah yang akan membantunya melarikan diri supaya mereka tidak sesat atau ditangkap. Bagi sesetengah kes, tahanan sengaja mengalihkan perhatian pihak pengawal dengan mewujudkan suasana kecoh atau kelam kabut supaya dalam kesibukan itu, mereka berpeluang melarikan diri. Selepas melarikan diri pula, tahanan memerlukan peralatan dan kemudahan untuk terus hidup antaranya pakaian, tempat tinggal, makanan dan pengangkutan.
Mereka juga tidak mampu untuk membeli sendiri segala perkakasan itu dan sekali lagi, khidmat orang tengah diperlukan.
"Masalah yang berlaku adalah, masih ada orang tempatan yang bersekongkol dan membantu tahanan melarikan diri. Ini yang menyukarkan usaha mengesan dan menangkap mereka.
"Ada yang sanggup meminjamkan kenderaan untuk digunakan tahanan, malah ada yang sanggup membelikan makanan kepada mereka," kata Kamal Affandi.
Dalam kes 20 tahanan Afghanistan ini, kemungkinan mereka masih berada dalam negara ini juga tidak mustahil. Mereka perlu tinggal sementara bagi mencari perlindungan daripada diburu. Mereka juga hanya akan bergerak meninggalkan negara ini pada waktu yang tidak dijangka seperti malam atau awal pagi.
Tidak mustahil juga mereka akan bergerak dalam bilangan yang kecil, dipecah-pecahkan kepada dua atau tiga orang dan keluar pada waktu siang, sudah pasti siapa pun tidak menyangka bahawa mereka ini adalah tahanan yang melarikan diri tempoh hari.
Pihak berkuasa sebenarnya mempunyai kaedah tersendiri untuk mengesan tahanan asing yang melarikan diri ini. Lambat atau cepat, ia bergantung kepada kekuatan sumber risikan mereka dan maklumat yang diterima daripada orang awam. Justeru, orang awam perlu memberi maklumat kepada polis sekiranya mengesyaki sesuatu yang mencurigakan berlaku di persekitaran anda.
Sebagai contoh, rumah terpencil yang sebelum ini sunyi, tiba-tiba 'meriah' dengan cahaya lampu.
Begitu juga pengusaha makanan yang didatangi individu yang memesan jumlah makanan yang agak banyak dan perlu dihantar ke satu tempat yang tersorok. Laporkan syak wasangka itu kerana mungkin ia untuk tahanan yang melarikan diri.
Apa yang pasti, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tahanan Afghanistan ini didalangi oleh individu atau kumpulan tertentu untuk melarikan diri.
Pendatang asing yang melarikan diri dari tahanan bukan sahaja membimbangkan kita, malah kerajaan turut risaukan keselamatan mereka.
Ini kerana mereka masih berada di bawah tanggungjawab kerajaan setelah diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan orang.
Apa-apa yang berlaku kepada mereka, sudah pasti kerajaan terpaksa bertanggungjawab atas keselamatan tahanan terbabit kerana mereka juga perlu dijaga atas dasar perikemanusiaan.

No comments:

Post a Comment