Pages

Sunday, August 22, 2010

Elak rambut gugur sampai botak





SAYA kagum pertama kali bertemu Puan Rosnah. Wajahnya ayu dan tutur katanya begitu sopan sekali. Beliau datang dari Kuala Selangor. Meskipun jauh beliau tetap menguatkan hati memandu beberapa jam untuk bertemu saya. Usia Puan Rosnah 45 tahun namun sekali pandang sudah tentu orang akan menyangka beliau baru berusia 30-an.
Semasa pertemuan itu, Puan rosnah meluahkan rasa risau tentang rambutnya yang gugur.
‘‘Gugur bukan sedikit doktor, malahan saya mula menjadi botak,’’ katanya sambil moodnya yang riang bertukar sayu apabila berbicara tentang masalah yang dihadapinya itu.
Apabila membuat pemeriksaan saya dapati masalah yang Puan Rosnah amat serius. Kesan rambut gugur amat ketara dengan kawasan botak yang berselang seli dengan tompokan rambut. Menurutnya, setiap hari pasti ada saja rambut yang gugur dan beliau terpaksa berhenti menyikat rambut kerana khuatir akan menyebabkan rambut semakin gugur.
Saya memberitahu masalah itu disebabkan sel-sel rambut yang tidak dapat hidup. Sel-sel yang baru tumbuh cepat mati kerana itu rambut tidak bertahan dan memanjang.
Rambut adalah kutikel yang hidup. Seperti kuku juga rambut adalah kutikel yang perlu nutrisi daripada darah kita. Seseorang yang kurang nutrisi akan mengalami masalah pada rambut dan juga pada kukunya.
Saya membuat analisis rambut dan kuku Puan Rosnah. Jelas kelihatan tanda-tanda kekurangan nutrisi. Rambut yang kurang nutrisi akan kasar tebal dan kelihatan rapuh. Rambut beliau yang kurang nutrisi bercampur aduk dengan rambut yang cukup nutrisi. Terdapat rambut yang sihat dan bermaya bercampur-aduk dengan rambut yang kasar dan kusam.
Puan Rosnah memberitahu, beliau selalu mengambil vitamin dan pemeriksaan darah menunjukkan darah beliau normal. Beliau musykil tentang nutrisi yang saya maksudkan.
Di dalam tubuh kita terdapat enzim dan hormon yang penting bagi meningkatkan metabolik tubuh. Metabolik bererti kadar tubuh menggunakan tenaga. Proses makanan dan zat makanan masuk ke dalam sel dan sel menggunakannya bagi pembinaan tubuh badan. Itu dipanggil proses metabolik. Jika cukup vitamin dalam makanan seharian tapi dalam badan tidak cukup hormon dan enzim maka kadar metabolik juga rendah. Segala vitamin yang dimakan akan sia-sia kerana ia akan keluar semula sebagai bahan buangan.
‘‘Maksud doktor saya tidak cukup hormon, jadi vitamin yang saya amalkan itu menjadi sia-sia saja?’’ tanya Puan Rosnah.
Saya membuat ujian darah bagi melihat hormon dalam badan Puan Rosnah dan menyuruh beliau menjawab beberapa soalan. Hasil daripada keputusan itu saya dapat mengagak apakah yang sebenarnya menjadi masalah sehingga rambutnya enggan tumbuh. Saya mengesyorkan rawatan LLLt laser yang berkesan menumbuhkan rambut .
Laser LLLt membolehkan salur-salur darah kecil yang layu dan mati menjadi lebih segar dan hidup kembali. Rawatan seperti ini mudah dan berkesan. Ia mengambil masa lebih kurang tiga bulan bagi membuahkan hasil yang baik.
Rambut adalah mahkota kita. Tidak kira lelaki atau perempuan rambut merupakan suatu anugerah berharga yang penting. Rambut membuat wajah seseorang menjadi lebih berseri. Justeru rambut gugur, nipis atau botak menjadi satu masalah yang sangat merisaukan. Dewasa ini keadaan cuaca panas dan pemakanan merosakkan struktur hormon dan enzim dalam tubuh menjadikan rambut kita gugur dan kusam.
Baik lelaki atau wanita inginkan rambut yang cantik supaya kelihatan hebat dan berseri. Saya dapati masalah rambut di kalangan lelaki tidak kurang hebatnya dengan masalah rambut bagi wanita. Rata-rata lelaki mengalami masalah ini apabila berusia 30-an. Faktor hormon yang merosot memainkan peranan penting dalam permasalahan ini.
Hormon yang mustahak dalam pembentukan rambut adalah testosterone, progesterone dan tiroid .Apabila kekurangan hormon tersebut maka tubuh akan menjadi lesu dan kurang bermaya.
Saya sering juga bertemu lelaki dan tidak kurang juga wanita yang terpaksa mengamalkan pemakaian rambut palsu bagi meningkatkan penampilan. Pemakaian rambut palsu tidak selesa kerana sifatnya yang keras.
* Hormon yang mempengaruhi rambut wanita
Penurunan hormon progesterone dan penukaran esrtadiol yang banyak kepada testosterone mempengaruhi kadar pertumbuhan rambut wanita. Selain itu masalah kekurangan hormon tiroid membuatkan rambut tidak dapat tumbuh dengan baik.
* Hormon yang mempengaruhi rambut lelaki
Hormon yang mempengaruhi rambut lelaki adalah kesan penukaran testosterone kepada hormon-hormon lain akibat aromatization. Aromatization terjadi kerana kesan toksik dalam badan seseorang.
* Ujian darah pengesanan hormon
Bagi membolehkan analisis yang lebih tepat adalah baik jika ujian pemeriksaan darah dibuat. Ujian darah dilakukan bagi melihat jumlah hormon dalam badan dan adakah berlaku gangguan pada hormon-hormon tersebut. Selepas ujian para pelanggan diberi rawatan yang betul untuk stimulasi rambut.
* Pemakanan yang betul bagi nutrisi rambut
Bagi mendapatkan nutrisi rambut yang baik amalkan makanan yang rendah karbohidrat dan berprotein tinggi. Selain itu makanan yang merosakkan hormon seperti ubat mengandungi beta bloker harus dihentikan.
* Laser LLLt bagi rambut
Ia sejenis diod laser yang memancarkan cahaya laser dengan jarak gelombang yang amat pendek iaitu 625 nanometer sahaja. Oleh itu ia selamat digunakan pada bila-bila masa. Apabila laser diputarkan ke seluruh kulit kepala (bagi mendapatkan laluan yang serata) ia akan meningkatkan penumbuhan mikro kapilari yang menghidupkan rambut. Apabila ini berlaku maka rambut akan mendapat nutrisi dan akan mula tumbuh perlahan lahan.

No comments:

Post a Comment