Pages

Sunday, August 22, 2010

Berjalan di bawah laut

TIDAK pandai berenang dan menyelam? Tiada masalah. Yang penting berani. Itulah yang penulis lakukan ketika berada di Terumbu Sawar Besar atau Great Barrier Reef (GBR), Australia ketika mengikuti Ekspedisi Chef Wan Bersama TV9, baru-baru ini.
pix_middle


Yang penting seseorang yang mahu melakukan aktiviti itu perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, penulis dikehendaki mengisi borang jaminan kesihatan untuk memastikan boleh melakukannya tanpa sebarang risiko. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, pengusaha pelancongan tidak akan bertanggungjawab. Apa pun, jangan berbohong mengenai tahap kesihatan kerana ia boleh membawa kemudaratan ketika berada di bawah laut.

Selepas borang dilengkapkan penulis diberi penerangan cara-cara ketika berada di dalam laut sebelum dikehendaki memakai pakaian dan penutup kepala seperti topi keledar untuk melakukan Seawalker. Sebaik selesai penerangan penulis dibawa turun ke laut oleh penyelam profesional yang mengendalikan aktiviti berkenaan. Sebelum berbuat demikian berbuih mulut membaca ayat suci al-Quran minta perlindungan Allah kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku. Maklumlah tidak pernah menyelam di laut.

Tuhan saja yang tahu betapa kencangnya jantung berdebar sebaik dibawa turun ke laut. Perasaan takut membelenggu pada lima minit pertama berada di dalam laut lebih-lebih lagi tekanan di telinga amat kuat. Selepas diajar mengurangkan tekanan itu perasaan bertukar seronok selepas melihat pelbagai jenis ikan berwarna warni dan terumbu karang yang sungguh mengagumkan. Satu perkataan keluar daripada mulut penulis ialah menakjubkan. Ketika itu juga penulis merasakan betapa hebatnya ciptaan Allah.

Teringin juga untuk memegang ikan yang mengelilingi penulis tetapi oleh kerana tidak dibenarkan berbuat demikian hasrat itu terpaksa dilupakan. Salah satu syarat yang dikenakan ketika menyelam tidak dibenarkan memegang atau menangkap ikan bagi menjaga kehidupan laut berkenaan.

Aktiviti itu dilakukan selama 20 minit tetapi penulis tidak puas dan merasakan mahu lebih lama lagi kerana seronok melakukannya. Tetapi apakan daya tempoh itu saja diberikan.

Selain penulis turut sama melakukan aktiviti itu ialah Chef Wan, wartawan The Star, Teh Eng Hock dan penerbit rancangan ekspedisi itu, Siti Zainah Juahir. Aktiviti Seawalker ini dilakukan di Pulau Green yang mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan menaiki feri dari Cairns (utara Australia). Selain pemandangan menarik, perjalanan tidak jemu dengan celoteh Chef Wan yang membuat rombongan kami tidak kering gusi. Oleh kerana kami pergi ke GBR pada musim sejuk ramai juga pelancong yang muntah kerana mabuk laut berikutan laut bergelora. Penulis juga hampir muntah tetapi bertahan kerana sebelum perjalanan sudah mengambil pil tahan mabuk selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh Pengurus Tourism Australia (Malaysia), Elaine Leong yang mengetuai rombongan kami. Tourism Australia adalah penaja Ekspedisi Chef Wan Bersama TV9.

Apa pun yang berlaku penulis sanggup menghadapinya asalkan hasrat untuk ke GBR tercapai kerana ia menjadi cita-cita penulis sejak sekian lama. Selain Seawalker, pelancong boleh melakukan snorkeling, selam skuba, parasailing, melihat batu karang melalui bot kaca dan menaiki helikopter. Tidak puas rasanya meninjau GBR di Laut Coral sepanjang 2,600 kilometer yang mempunyai 400 jenis batu karang dan 1500 spesis ikan itu. Selain melakukan Seawalker, penulis juga berpeluang melakukan Scuba Doo ( skuter air) di kawasan lain GBR yang dibina pelantar pontun lengkap dengan segala kelengkapan aktiviti laut. Ia mengambil masa sejam perjalanan dari Pulau Green.

Aktiviti ini seolah-olah menaiki skuter untuk melihat keindahan terumbu karang di dasar laut selama 20 minit dengan bimbingan penyelam profesional. Perasaan bimbang tidak ada lagi untuk melakukan Scuba Doo selepas aktiviti Seawalker walaupun penulis agak sukar bernafas kerana kesejukan mencengkam tubuh.

Feri yang dinaiki berlabuh di pontun bagi membolehkan pelancong melakukan aktiviti Scuba Doo, snorkling dan selam skuba. Bagi pelancong yang tidak melakukan apa-apa aktiviti mereka berpeluang melihat ikan dan batu karang dari Underwater Observatory (kawasan tinjau bawah air). Selepas hampir sehari di GBR kami pulang ke hotel Hilton Cairns (tempat kami menginap). Cairns boleh dianggap sebagai “bandar pencen” kerana tidak sibuk dan kegiatan penduduknya bersifat santai. Kami menghabiskan masa dua hari di bandar itu dengan bersiar-siar di Esplanade yang menjadi tumpuan warga tempatan untuk bersantai terutama pada hujung minggu bersama keluarga. Suasana santai bandar ini memang sesuai untuk bercuti.

Kami juga melawat Kuranda untuk menikmati pemandangan hutan tropika dengan menaiki kereta kabel sejauh 7.5 kilometer. Pengalaman ini sama seperti menaiki kereta kabel di Genting Highlands dan di Pulau Langkawi. Hari terakhir kami di Cairns ialah melawat Pusat Kebudayaan Tjapukai (Orang Asli Australia). Kami melihat persembahan kebudayaan, bermain boomerang dan membaling lembing. Paling seronok apabila diberi kesempatan bermain boomerang. Nampak mudah tetapi sukar melakukannya kerana memerlukan teknik yang betul.

Kehidupan Orang Asli Australia ini tidak banyak bezanya dengan di negara kita cuma yang uniknya ialah bermain boomerang dan meniup alat muzik tradisional, Didgeridoo.

Selain Cairns, Ekspedisi Chef Wan bersama TV9 selama 10 hari turut menjelajah Brisbane, Sunshine Coast, Gold Coast dan Pusat Peranginan Tangalooma di Pulau Moreton). Ia akan ditayangkan di TV9 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment