Pages

Wednesday, July 28, 2010

Sekutu AS marah fail sulit bocor


WASHINGTON 27 Julai - Kebocoran 90,000 fail sulit tentera Amerika Syarikat (AS) mencetuskan bantahan dari negara-negara sekutu yang berperang di Afghanistan semalam, ketika Pentagon berusaha mengenal pasti sumber yang mendedahkan maklumat tersebut.
"Pakar AS sedang berusaha untuk meneliti sama ada pendedahan maklumat sulit itu boleh membahayakan keselamatan tentera atau operasi keselamatan atau lebih serius boleh mengancam keselamatan negara.
"Kebimbangan utama kami adalah, sama ada maklumat itu boleh meletakkan nyawa tentera kami di Afganistan atau di mana-mana sahaja dalam keadaan bahaya," kata jurucakap Pentangon, Geoff Morrell kepada Fox News.
Kira-kira 92,000 dokumen bertarikh dari 2004 hingga 2009 didedahkan kepada akhbar The New York Times, The Guardian di Britain dan Der Spiegel di Jerman oleh laman web WikiLeaks, yang menyiarkannya semalam.
Dakwaan paling kontroversi menyebut bahawa Pakistan, sekutu utama AS di rantau bergolak itu, membenarkan pengintipnya bertemu secara terus dengan Taliban.
Menurut The Times, ejen Pakistan dan wakil Taliban sering bertemu dalam sesi strategi sulit untuk merancang rangkaian kumpulan militan yang memerangi tentera AS di Afghanistan, malah turut merancang komplot membunuh pemimpin-pemimpin Afghanistan.
Pendedahan menggemparkan itu mencetuskan kemarahan banyak pihak dengan seorang jeneral tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meminta semua pihak berjaga-jaga terhadap kebocoran seumpama itu ketika White House menyelarnya sebagai 'tidak bertanggungjawab'.
"Pakatan perlu berhati-hati kerana sebahagian dokumen mungkin boleh dibocorkan, tetapi ia membuatkan kita perlu bekerja dengan lebih teliti," kata Jeneral Egon Ramms, yang bertanggungjawab ke atas tentera NATO di Afghanistan.
Jurucakap White House, Robert Gibbs mengutuk kebocoran itu, memberi amaran kepada nama-nama kakitangan dan operasi tentera yang didedahkan, namun tidak menyatakan kesan politik dan strategik yang mungkin berlaku.
Britain yang mempunyai kira-kira 9,500 tentera di Afghanistan semalam berkata, pihaknya kesal dengan kebocoran tersebut, sementara Pakistan berkata, laporan itu 'palsu' dan tidak menggambarkan apa-apa yang berlaku di Afghanistan. - AFP

No comments:

Post a Comment