Pages

Wednesday, July 28, 2010

AS-Korea Selatan pamer kekuatan kepada Korea Utara


TENTERA Laut Korea Selatan dari kapal pemusnah Choi Young KDX-ii melepaskan torpedo anti-kapal selam semasa latihan bersama dengan tentera Amerika Syarikat di Laut Timur, Korea Selatan, semalam. Turut serta ialah kapal selam Amerika, USS Tuscon (gambar kecil). - AFP


SEOUL 27 Julai - Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memperhebatkan latihan perang bersama yang masuk hari ketiga hari ini dengan mempamerkan pergerakan kapal-kapal perang, kapal selam, jet pejuang dan helikopter Korea Selatan-AS di perairan Laut Timur.
Jet-jet pejuang yang digunakan dalam latihan berprofil tinggi selama empat hari, yang dikecam Korea Utara itu, berlepas dari dek kapal pengangkut induk AS, USS George Washington yang boleh menempatkan sehingga 70 pesawat pejuang dan lebih 5,000 anak kapal serta juruterbang.
Latihan perang itu bertujuan menunjukkan kepada Korea Utara bahawa pihaknya diperhatikan.
Pegawai tentera berkata, di sebalik memberi pelbagai ancaman berhubung latihan itu, Korea Utara masih belum mengambil sebarang tindakan.
Washington dan Seoul berharap latihan perang yang berakhir esok serta kedudukan tentera laut AS yang paling kuat itu, bakal menghantar satu mesej kepada Korea Utara ekoran insiden kapal perang Korea Selatan karam pada Mac lalu, yang meragut 46 nyawa.
Satu siasatan antarabangsa mendapati kapal tersebut ditenggelamkan oleh torpedo kapal selam Korea Utara.
"Mereka menyedari dan mengetahui mesej itu. Tetapi kami berharap mereka akan menerimanya pada masa depan sebagai satu mesej penyelesaian. Kami harap ini akan menghentikan tindakan mereka," kata Laksamana Muda Daniel Cloyd.
Korea Utara yang menafikan penglibatan mereka dalam insiden kapal Cheonan karam itu, mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan berikutan latihan perang Korea Selatan-AS itu.
Ketika latihan berkenaan masuk hari ketiga hari ini, pihak tentera Korea Selatan berkata, masih tidak ada sebarang isyarat dari Korea Utara berhubung ancaman retoriknya.
Ketua skuadron helikopter anti-kapal selam di atas USS George Washington, Komander Ray Hesser berkata, kapal selam Korea Utara dilarang berada di perairan cetek. - AP

No comments:

Post a Comment