Pages

Thursday, June 10, 2010

Pahala berkekalan sedekah jariah

DALAM menempuh kehidupan dunia, kita begitu ghairah memburu kejayaan dan kekayaan. Usaha meningkatkan taraf ekonomi diri itu memang dituntut namun persoalannya, ramai yang terlalu 'berkira', materialistik dan mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira kesusahan orang lain.

BESAR MANFAAT....pemilikan harta seperti tanah yang luas boleh diwakafkan untuk dijadikan
kawasan perkuburan. - Gambar hiasan
BESAR MANFAAT....pemilikan harta seperti tanah yang luas boleh diwakafkan untuk dijadikan kawasan perkuburan. - Gambar hiasan
BINA MASJID...wakaf dikira sebagai amal ibadat yang pahalanya akan
dinikmati secara berterusan walaupun seseorang itu sudah
meninggal dunia. - Gambar hiasan
BINA MASJID...wakaf dikira sebagai amal ibadat yang pahalanya akan dinikmati secara berterusan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia. - Gambar hiasan
Menerima amat mudah tetapi bagaimana untuk memberi terutama sesuatu benda yang kita sayang.
Untuk menginfakkan harta atau mewakafkan harta benda, ganjarannya amat besar tetapi berapa ramai yang sanggup melakukan amalan mulia itu.

Kebanyakan kita apabila memberikan sesuatu mereka mahukan balasan atau imbuhan tetapi dalam Islam, pahala atau sahamnya hanya diterima di akhirat kelak.

Memang sukar untuk menerima sesuatu yang tidak nampak tetapi jika mereka percaya bahawa pemberian mereka sama ada harta atau wakaf itu akan berkekalan, pasti mereka sanggup melakukannya.

Jadi, salah satu usaha umat Islam untuk terus berbakti kepada sesiapa saja melalui ibadah wakaf.

Ibadah wakaf menuntut 'kerelaan' individu atau keluarga untuk memindahkan harta milik mereka kepada pihak lain yang dilihat sumbangan besar di sisi syariat.

Firman Allah yang bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Surah Ali-Imran ayat 92).
Menerusi wakaf, umat Islam dapat menjalankan perintah Allah dengan memindahkan sebahagian kecil harta kesayangannya itu kepada orang lain.

Wakaf adalah salah satu cabang undang-undang Islam yang amat penting kerana ia mempunyai pertalian antara hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.

Wakaf bermula sejak zaman sebelum Rasulullah. Ia adalah amalan yang dituntut kerana ia memainkan peranan penting mengatasi masalah kemiskinan.

Ia termasuk dalam kategori sedekah jariah yang membolehkan seseorang seseorang memperoleh pahala secara 'berkekalan' selagi ia terus dimanfaatkan penerima wakaf.
Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan ada tiga perkara (yang tidak terputus); iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan ibu bapanya". (Hadis riwayat Muslim).

Kita sering mendengar individu yang bergelar hartawan mewakafkan hartanya seperti tanah, sekolah, rumah anak yatim atau asrama bagi pelajar menimba ilmu.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

"Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang dibelanjakannya itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka cita". (Surah al-Baqarah 261 hingga 262).

Pada zaman moden ini, manfaat yang boleh disalurkan untuk kebajikan bagi dinikmati masyarakat boleh diperoleh daripada pelbagai sumber.

Malah, di peringkat global, wakaf mampu membantu menangani krisis ekonomi yang membelenggu dunia.
"Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lainnya." (Ungkapan hikmah Nabi Muhammad riwayat Bukhari dan Muslim).

Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu nampakkan sedekah itu, maka itulah sebaik-baiknya, dan jika kamu sembunyikan dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka itulah yang lebih baik bagimu dan Dia akan menutupi kesalahanmu, dan Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan". (Surah al-Baqarah ayat 271).

Selain itu, menerusi firman Allah di dalam Surah at-Taghaabun ayat 16 yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah sekadar tenagamu dan dengarkan dan ikutlah dan berdermalah, nescaya lebih baik bagi dirimu. Barang siapa yang memelihara dirinya dari kebakhilan, maka merekalah yang menang."
Kisah lain juga ada menyebut daripada Saad bin Ubaidah r.a bahawa dia bertanya kepada Rasulullah yang bermaksud: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Ummu Saad telah mati; maka apakah sedekah yang paling banyak pahalanya?" Baginda menjawab: "Air", kemudian Saad menggali perigi dan katanya: "Perigi ini pahalanya bagi Ummu Saad."
Daripada hadis berkenaan, sahabat berlumba-lumba melakukan sedekah jariah iaitu dengan wakaf yang berkekalan pahalanya sebagai menyahut seruan Allah.

Harta wakaf pada prinsipnya tidak boleh dijual, dibeli, digadaikan, dipusakai atau dihadiahkan kerana ia akan menghilangkan kewakafannya.

Apabila pewakafnya meninggal dunia, ia tidak boleh dijadikan warisan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya harta wakaf itu tidak boleh dijual belikan dan dialihkan serta diwarisi, dan bersedekahlah dengannya kepada fakir miskin serta sanak keluarga dan orang-orang yang berada di bawah tanggunganmu, tidaklah mengapa bagi yang mengurusnya untuk memakan hasilnya dengan ala kadarnya serta tidak pula menjadikannya milik peribadinya."
Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Dr Sohaimi Mohd Salleh berkata, masyarakat Islam perlu sedar kepentingan wakaf kepada pembangunan sosioekonomi serta pemilikan aset umat Islam di negara ini.
"Tamadun terdahulu membuktikan kejayaan yang dibina melalui instrumen kewangan Islam ini amat membanggakan.

"Matlamat kita hidup di dunia ini untuk mendapat keredaan serta keberkatan daripada Allah. Malah, Allah s.w.t menjanjikan nikmat serta ganjaran yang amat besar kepada mereka yang mampu berbakti kepada orang lain," katanya.

Sohaimi berkata, Jawhar dan Majlis Islam Negeri (Mains) kini bekerjasama erat membangunkan sistem wakaf di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melaksanakan wakaf.
"Jawhar mengelola beberapa projek pembangunan seperti pembinaan rumah anak yatim, unit rumah kedai serta kompleks perdagangan sebagai usaha memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik menikmati hidup yang lebih terjamin.
"Justeru, kami mengharapkan usaha ini terus berlangsung lancar," katanya.

Beliau berkata secara umumnya wakaf terbahagi kepada dua iaitu wakaf ahli (wakaf keluarga) dan wakaf khairi.

"Wakaf ahli adalah manfaat kepada ahli keluarga yang ditentukan oleh pewakaf manakala wakaf khairi adalah wakaf kebajikan).
"Wakaf khairi pula terbahagi kepada wakaf am dan wakaf khas. Wakaf am diwujudkan pewakaf bagi manfaat keseluruhan umat Islam mengikut hukum syarak. Contohnya, kemudahan atau pembangunan ekonomi umat Islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan berasaskan hukum syarak," katanya.

Sohaimi berkata, jika berpeluang untuk melaksanakan ibadah wakaf, individu itu perlulah menyatakan wakaf berkenaan secara wakaf am.

"Contohnya jika seseorang itu mempunyai tanah, maka tanah berkenaan untuk kebajikan umat Islam secara keseluruhannya tanpa menetapkan cadangan untuk tujuan sesuatu.

"Secara rasionalnya jika dia menetapkan untuk mewakafkan tanah berkenaan untuk membina masjid tetapi dalam kawasan terbabit sudah pun ada beberapa masjid, maka eloklah wakaf berkenaan dilakukan secara wakaf am. Jadi, tanah berkenaan boleh digunakan untuk kepentingan lain seperti membina sekolah agama, rumah anak yatim atau premis perniagaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Jawhar sudah melancarkan sistem elektronik e-Wakaf bagi mempercepatkan perkhidmatan jabatan berkenaan serta memperkemaskan sistem pengurusan berkaitan wakaf, zakat dan haji antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment