Pages

Thursday, June 10, 2010

Guru warisi tugas rasul, nabi

KERJAYA guru tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama.
Islam sebagai satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan, memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi atau ukhrawi.
Dalam hal ini, Rasulullah membuktikan betapa pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.

Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi. Firman Allah yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan daripada kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2). Selain itu, Baginda juga mengambil inisiatif contoh dengan menghantar Mus'ab ibn 'Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam.

Secara tidak langsung, Rasulullah turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud: "Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari). Saidina Ali r.a pula pernah berkata: "Jadilah orang yang mencurahkan ilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang suka mendengar ilmu, atau orang yang cintakan ilmu, dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa." Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari. Imam Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Ihya 'Ulum ad-Din yang bermaksud: "Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut)." Dewasa ini, pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Memang ada segelintir guru yang membuat onar tetapi sebahagian besar menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan baik.

Justeru, sempena sambutan Hari Guru yang disambut Ahad lalu, kita perlu kembali mengenang jasa guru yang banyak membantu agama, bangsa dan negara. Hal ini bertepatan dengan saranan Baginda yang mengajar umatnya agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia." (Hadis riwayat Bukhari).

Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi. Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20). Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment