Pages

Monday, May 10, 2010

Ultimate Footwear ke mata dunia






NAMA Bill Keith yang cukup sinonim dengan dunia fesyen tanah air sentiasa mendapat pujian daripada golongan ternama mahupun selebriti kerana hasil rekaannya menyuntik cita rasa mewah dan penuh pesona.
Bergelumang selama lebih 30 tahun dengan pelbagai potongan busana, akhirnya Bill melebarkan kebolehan itu untuk membina nama dalam industri rekaan kasut pula.
Sebelum ini Bill menerima tempahan mereka kasut untuk golongan tertentu sahaja. Bagaimanapun, permintaan daripada orang ramai menyebabkan anak kelahiran Kelantan itu mengkomersialkan sepatu di bawah labelnya.
Bermula daripada situ, Bill serius memulakan seberapa banyak rekaan kasut.
Pastinya, label Bill Keith yang tertera di kasut mempunyai keistimewaan kerana selain faktor keselesaan, kreativiti sentuhan Bill sememangnya luar biasa.
"Biasanya saya akan buat sepasang kasut contoh terlebih dahulu. Apabila siap, saya akan teliti beberapa faktor yang penting iaitu keselesaan ketika dipakai.
"Malah, kalau ada perubahan dari segi rekaan seperti ingin ditambah manik dan sebagainya, waktu uji cuba itulah ia dilakukan," terangnya.
Jelas Bill, dalam menghasilkan sepasang sepatu, langkah pertama sudah tentu membuat lakaran rekaan kasut yang diinginkan. Menzahirkan lakaran unik, cantik dan terkini menuntut cabaran yang bukan sedikit.
Tidak ketinggalan, memastikan kedua-dua belah kasut kiri dan kanan selesa disarungkan.
"Kaki kanan dan kiri mempunyai langkah berlainan. Keselesaan bagi setiap kaki juga berbeza.
"Jadi kalau individu yang ditugaskan itu tidak mahir membentuk kasut, ia akan menimbulkan rasa sakit semasa memakainya.
"Misalnya, dalam masalah kasut penuh, selalunya pengguna akan berasa sakit pada bahagian belakang kaki.
"Perkara itu timbul kerana ukuran bahagian itu terlalu tinggi melepasi had keselesaan kaki normal," ungkapnya.
Kilang kepercayaan Bill
Belum mempunyai kilang kasut sendiri, selepas selesai menghasilkan rekaan kasut, Bill akan memanjangkan lakarannya kepada seorang pakar pembuat kasut, T. S. Leow.
Leow merupakan Pengarah Urusan kilang kasut Ultimate Footwear yang terletak di Pandan Perdana, Kuala Lumpur.
Baik dari segi penggunaan bahan-bahan membuat kasut sehingga ke peringkat ingin mengemaskan jahitannya, Bill memberi sepenuh kepercayaan kepada Ultimate Footwear untuk merealisasikan sepatu anggun yang diimpikannya.
"Sentuhan pertama seperti rekaan dan membentuknya akan dilakukan oleh saya sendiri dan pembantu. Langkah-langkah seterusnya seperti tampalan aksesori, jahitan dan kemasan akan diserahkan kepada tenaga pekerja kilang tersebut," ulas Bill.
Meskipun melepaskan sentuhan seterusnya kepada orang lain, Bill tetap meluangkan masa memantau proses pembuatan kasut sekali gus memberi tunjuk ajar. Ini kerana bagi menjamin kualiti, memandangkan Bill turut memasarkan produknya itu ke luar negara.

ULTIMATE Footwear menghasilkan kasut untuk pasaran luar negara.


Mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam pembuatan kasut, selain menghasilkan jenama Bill Keith, kongsi Leow, Ultimate Footware juga sering menerima tempahan daripada jenama luar negara seperti Tosca Blu dan Pagnini dari Itali dan Migato dari Greece.
Bukan sekadar menerima tempahan dari luar negara, Leow juga mempunyai jenama keluarannya sendiri iaitu Paula Moda selain turut menguruskan rekaan kasut Bill Keith.
Namun, Paula Moda hanya dihasilkan untuk pasaran eksport ke 20 buah negara, antaranya Itali, Perancis, Turki, Qatar dan Kuwait.
Meskipun jenama itu seusia dengan penubuhan kilang itu pada 18 tahun lalu, ia belum pernah dipasarkan di Malaysia. Alasannya Leow, 53, ingin membina nama di peringkat antarabangsa terlebih dahulu.
"Saya mahu label Paula Moda dikenali dan diterima di luar negara dahulu. Tetapi saya telah mula mendapatkan tempat untuk pasaran tempatan iaitu di Isetan KLCC," terangnya yang turut mendapat bantuan daripada isteri dalam setiap rekaan baru.
Bercerita mengenai proses pembuatan sepatu di kilangnya, Leow memberitahu langkah-langkah untuk membuat sepasang kasut adalah sama untuk semua jenama. Yang berbeza hanya dari segi bahannya iaitu sama ada 100 peratus kulit atau PVC.
Proses di kilang
"Kasut yang menggunakan kulit sepenuhnya lebih mahal tetapi ia tahan lama. Tapaknya juga lebih tebal iaitu antara tiga hingga empat lapis berbanding kasut murah yang hanya dua atau tiga lapis," ujarnya.
Cerita Leow, pekerjanya akan memulakan proses menghasilkan kasut dengan meletakkan lakaran pereka di atas bahan kulit atau PVC sebelum membuat potongan mengikut rekaan itu.
Setelah siap, setiap cebisan akan digam atau dijahit untuk membentuk sepasang kasut. Selepas itu barulah kemasan dan hiasan tambahan dilakukan seperti kerja tampalan manik.
BILL membuat lakaran untuk sepatu di bawah labelnya, Bill Keith.


Untuk kerja tampalan manik, peralatan yang digunakan ialah seterika yang akan ditekapkan di atas manik tersebut selama tiga saat.
Tetapi perlu diingat, sebelum manik itu diseterika, ia perlu dialas dengan kain terlebih dahulu. Kasut yang telah siap kemudian akan disatukan dengan tapak kasut mengikut ketinggian yang diingini perekanya.
Untuk menambah ketahanan tapak supaya tidak mudah tercabut, proses melekatkannya tidak sekadar menggunakan tenaga pekerja, bahkan sebuah mesin membantu meneguhkannya.
Empat paku di tumit
Masalah yang akan timbul sekiranya tidak menitikberatkan perkara asas dalam pembuatan kasut bertumit tinggi adalah ketidakseimbangan tumit. Perkara itu terjadi kerana pekerja tidak menggunakan paku yang sesuai atau teknik yang salah ketika melekatkannya.
"Paku yang bagus mestilah bergigi dan menggunakan sekurang-kurangnya empat paku bagi satu tumit. Cara melekatkannya juga kena betul iaitu jangan terlampau lurus, pastikan ia berada dalam kedudukan 45 darjah.
"Kilang saya juga menggunakan mesin untuk melekatkan paku. Selain membantu mempercepatkan proses pembuatan, hasil mesin itu juga lebih halus dan tidak merosakkan struktur kasut," jelasnya sambil memberitahu tapak kasut akan mudah rosak dan strukturnya mungkin senang merekah apabila diketuk dengan tukul.
Dari segi saiz pula, ia mempunyai pelbagai jenis bergantung pada potongan dan rekaan kasut.
Saiz itu juga tidak boleh dikongsi untuk rekaan lain kerana ia akan menimbulkan masalah seperti si pemakai akan rasa sakit dan sebagainya.
Perniagaan turun-temurun
Rancak berbual, Leow sempat berkongsi kekecewaannya apabila dunia fesyen tempatan seperti terlepas pandang mengenai kehebatan rekaan kasut.
Ramai pereka fesyen lebih tertumpu untuk menghasilkan pakaian sahaja sedangkan perniagaan kasut memerlukan lebih ramai pakar, katanya sambil memuji usaha murni Bill.
PERINCIAN manik menyuntik elemen mewah kepada kasut tumit tinggi.


Sedangkan katanya, syarikat luar membuat tempahan kasut mereka di sini kerana negara mereka tidak mampu menyediakan tenaga kerja yang ramai.
Disebabkan kosnya terlalu tinggi, mereka lebih selesa memilih Malaysia sebagai destinasi pembuatan kasut terbaik.
"Apa yang saya perkatakan ini memang benar malah, banyak kilang kasut di Malaysia bermula daripada perniagaan keluarga.
"Kesemuanya ada talian persaudaraan. Jadi saya menyeru supaya lebih ramai ahli perniagaan tampil memulakan bisnes sebegini.
"Sama juga dengan pereka tempatan, mereka perlu kembangkan industri masing-masing," ujar Leow yang mewarisi kepakaran membuat kasut daripada bapanya.
Berkongsi cabaran yang diterima sepanjang mengusahakan perniagaan itu kata Leow, dia perlu menjaga kebajikan pekerjanya. Ini kerana tidak ramai pembuat kasut yang mempunyai kepakaran terutama dalam menyediakan bentuk kasut yang tepat supaya selesa dipakai.
Perkara tersebut dilihat sebagai cabaran kerana Leow perlu mendapatkan kepercayaan jenama kasut untuk membuat tempahan di Ultimate Footware.
"Kalau tidak ada tempahan, pekerja saya yang sudah mahir dilatih mungkin akan lari ke kilang lain. Jadi, perkara ini juga perlu difikirkan selalu," ulasnya.

No comments:

Post a Comment