Muay Boran ilmu perang kuno Siam
MELIHAT aksi pertarungan mereka, terlintas sejenak di fikiran akan gaya pertarungan yang pernah dipertontonkan dalam filem Ong Baklakonan Tony Ja. Filem yang sarat dengan teknik tempur yang menggunakan siku dan lutut itu pernah menarik perhatian jutaan peminat seni bela diri dan masyarakat umum.
Aksi pertarungan tersebut merupakan satu ilmu perang yang berasal dari Negara Gajah Putih yang dikenali sebagai Muay Boran. Dalam bahasa Sanksrit, Muay bermaksud tinju manakala Boran bererti kuno. Jadi seni bela diri tersebut adalah tinju kuno atau induk kepada Muay Thai moden.
Seni Muay Boran lebih menggunakan Awut Nawa yang bererti sembilan senjata yang terdiri daripada keseluruhan anggota badan. Senjata badan itu seperti kepala, siku, tangan, lutut dan kaki.
Malah pelatih ilmu tersebut, Anuar Ahmad, 26, berpandangan Muay Boran adalah satu seni yang unik dan halus kerana setiap pergerakan mempunyai maknanya.
"Berbeza dengan Muay Thai yang lebih tertumpu kepada konsep serangan, Muay Boran pula mengabungkan teknik serangan dan kuncian, lipatan serta buah-buah maut.
"Secara tidak langsung Muay Boran lebih menyeluruh daripada pembelajaran tomoi moden," katanya.
Sehubungan itu, baginya seluruh anggota badan amat berfungsi sebagai senjata yang terbaik dalam mempertahankan diri mahupun serangan balas. Muay Boran ini mampu mengkordinasikan anggota badan dalam situasi yang berkesan untuk menumpaskan lawannya.
Pencarian peminat seni bela diri itu bermula sejak tiga tahun lalu. Bermula dengan pembelajaran dengan tomoi moden, percampuran dengan komuniti seni bela diri membuatkan Anuar berusaha mendapatkan maklumat mengenai kewujudan ilmu perang kuno tersebut di Malaysia.
Diibaratkan seni mempetahankan diri itu sebagai makanan yang popular, Anuar berpendapat sesiapa sahaja tidak boleh mengakui bahawa ilmu bela diri yang diamalnya adalah yang terbaik.
"Setiap orang suka makan nasi goreng namun nasi goreng juga punyai pelbagai bentuk. Ada yang minat nasi goreng pattaya dan ada yang minat nasi goreng cina.
"Begitu juga seni bela diri. Dalam dunia ini, pelbagai seni bela diri yang ada, jadi terserah kepada individu itu sendiri untuk mencari ilmu yang bersesuaian dengan kehendak mereka.
"Begitu juga dengan saya yang memilih Muay Boran sebagai seni bela diri yang dapat memenuhi naluri dan jiwa saya," terang Anuar yang juga merupakan kerani di Sekolah Jenis Kebangsaan(C) Chee Wen, Subang jaya, Selangor.
Anuar menambah, sehingga sekarang beliau telah menguasai hampir 15 buah silat dalam aliran Muay Boran selepas mempelajarinya hampir setahun yang lepas. Sepanjang pembelajarannya itu, Anuar amat meminati teknik Burma Memanjat Gunung atau teknik Pukulan Siku dan teknik Hanuman.
Seterusnya dalam memantapkan lagi teknik-teknik yang dipelajarinya pemuda tersebut berpandangan ia perlu diasah melalui latihan yang lasak.
Dengan ini segala ilmu yang telah diperturunkan dapat dimiliki dan disebatikan dengan latihan yang berterusan. Baginya tanpa latihan yang berterusan , kita akan lupa kepada apa yang telah dipelajari.
"Dalam mempelajari apa jua aliran seni bela diri, latihan amat dititikberatkan dan memerlukan daya lasak yang tinggi.
"Kesabaran menempuh latihan yang lasak ini pasti menghasilkan kemahiran, ketahanan dan ketangkasan yang kita diidamkan," katanya.
Selain itu, Anuar berpendapat kurangnya stamina, kecekapan dan bersikap mudah putus asa serta latihan yang tidak berterusan hanya mematikan jiwa seni mempertahankan diri dalam diri seseorang.
Seni permainan itu hanya akan hidup dengan sendirinya melalui latihan yang berterusan. Seni tempur tidak akan lahir dengan percakapan sahaja.
Namun begitu, Anuar kurang setuju dengan sebilangan masyarakat yang mempelajari sesuatu ilmu mempertahankan diri untuk tujuan membanggakan diri dan menimbulkan kekecohan.
"Jangan sesekali mencuba mencari pasal dengan musuh atau bakal musuh atas alasan mempelajari ilmu ini. Tidak kira Muay Boran atau aliran lain menentang ideologi seperti ini kerana hanya membawa padah kepada diri sendiri.
"Dalam masa yang sama hanya menjatuhkan imej perguruan atau personaliti kita sendiri sebagai seorang pengamal bela diri. Tujuan sebenar mempelajarinya ialah untuk menyihatkan badan dan mencari kenalan serta pelindung pada waktu kecemasan," kata Anuar.
Pandangan tersebut juga diakui oleh seorang lagi pelatih Muay Boran, Mohamad Jemain Mohamad Ridhwan, 26. Menurutnya semua amalan mempertahankan diri mengajar pengamalnya supaya berbuat baik dan meninggalkan yang buruk cumanya caranya sahaja yang berbeza mengikut fahaman masing.
Sementara itu, Jemain berpandangan keyakinan perlu ada dalam diri seseorang dalam apa jua aktiviti yang dilakukan. Dalam pembelajaran seni mempertahankan diri, keyakinan yang kuat boleh menyebabkan ilmu yang dipelajari meresap ke dalam jiwa kita.
"Jika kita kurang yakin dan mempraktikan pembelajaran sambil lewa nescaya ilmu yang kita tuntut sia-sia sahaja.
"Begitu juga ilmu bela diri. Keyakinan perlu ada dalam setiap langkah dan gaya yang dibuat agar mewujudkan satu semangat atau motivasi dalam diri kita," kata Jemain.
Jemain yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerangkan, dia telah menuntut beberapa aliran mempertahankan diri sebelum ini. Baginya ketahanan mental amat dititikberatkan dalam mempelajari apa jua bentuk seni bela diri. Jika tidak, ia umpama hangat-hangat tahi ayam sahaja.
"Tidak semua yang belajar akan tamat sepenuhnya. Ada yang awal-awal lagi telah keluar gelanggang. Semuanya disebabkan tidak tahan dengan corak latihan yang dijalankan.
"Malah semua penuntut berangan-angan menjadi hebat, namun apabila menjalani latihan ramai yang mengalah. Itulah realitinya," terangnya.
Dengan itu, sudut disiplin tidak dapat dipinggirkan dalam mempelajari seni bela diri. Inilah yang menjadi faktor utama ramai remaja tidak minat.
"Remaja sekarang menikmati kehidupan yang terlalu rileks dan tidak bertanggungjawab. Malah sikap hormat-menghormati juga semakin berkurangan.
"Muay Boran sangat mementingkan disiplin dan ini tidak digemari oleh sebilangan remaja," terang pelatih yang telah mengabdikan diri dalam ilmu pertahankan diri sejak di bangku sekolah rendah lagi ini.
Jemain berpendapat sesiapa yang mempelajari seni mempertahankan diri boleh dibahagikan kepada beberapa kategori sama ada belajar untuk membela diri, pengaruh kawan, semangat untuk mencuba dan mengeluarkan peluh.
Jemain menolak pendapat sesetengah anggota masyarakat yang beranggapan ilmu mempertahankan diri tidak mendatangkan manfaat kepada pengamalnya. Tambahan pula pada zaman sekarang yang dipenuhi dengan pelbagai senjata canggih.
"Tiada yang rugi sekiranya kita mempelajari benda yang baik terutama berkaitan seni mempertahankan diri ini. Dengannya kita dapat melihat dan menilai kemampuan dan kekuatan asal kita.
"Bukan semua penjenayah menggunakan senjata api. Dengan ilmu bela diri ini, sedikit sebanyak ia membantu kita ketika ditimpa musibah," katanya.
Menurut tenaga pengajar Muay Boran, Mohd. Khairul Khalid, 28, ilmu tinju kuno tersebut diperoleh daripada ayahnya, Khalid Majid, seorang bekas tentera yang telah mempelajarinya di sebuah perkampungan kecil bandar Ayutha, Thailand.
Sejak Muay Thai diperkenalkan, ilmu itu menjadi semakin popular menyebabkan seni Muay Boran dipinggirkan. Bagaimanapun, kini terdapat pihak tertentu di Thailand yang menghidupkan kembali Muay Boran agar seni tersebut berkembang selari dengan sukan Muay Thai.
"Di utara Thailand, pengamallnya dikatakan mempunyai tumbukan yang lebih kuat manakala di selatan, kaki mereka lebih lincah.
"Berbeza di tengah Thailand iaitu Bangkok dan bahagian Korat yang lebih terkenal kerana kemahiran siku dan lutut. Selain itu, bahagian timur di kawasan Isaan, mereka dikaitkan dengan kekuatan stamina dan sifat berani peninjunya," katanya.
Sehubungan itu, bagi memudahkan pembelajarannya Muay Boran, Khairul membahagikan pelatihnya kepada tiga peringkat. Pelatih-pelatih terlebih dahulu didedahkan kepada penggunaan anggota badan dan imbangan. Kaedah ini adalah asas kepada seni bela diri tersebut.
"Imbangan badan tersebut bagi memudahkan pelatih melakukan aksi atau seni tempur yang ada dalam Muay Boran ini. Imbangan tersebut dilakukan dengan berdiri di bucu buah kelapa.
"Peringkat kedua tertumpu kepada permainan senjata seperti pisau dan parang seterusnya peringkat ketiga menumpukan perhatian terhadap perlawanan," katanya,
Keberkesanan filem yang dilakonkan oleh Tony Ja menyebabkan sesetengah pelatih meniru gaya pelakon tersebut. Realitinya teknik permainan sebenar adalah berbeza daripada lakonan.
"Ada sesetengah pelatih meniru aksi filem Ong Bak namun bila dipraktikan semula ternyata lain yang jadi.
"Dengan itu, bagi memantapkan lagi kebolehan tempur mereka atau merasakan kaedah yang dipelajari tidak berkesan, belajar daripada guru adalah langkah terbaik," terangnya.
Sejajar dengan itu, menghormati guru adalah kelakuan yang terpuji. Baginya setiap pengamal seni bela diri hendaklah tidak membelakangkan guru bagi memastikan ilmu yang dipelajari meresap ke dalam diri mereka.
Selain itu, Khairul turut berpendapat mempelajari Muay Boran menjadikan seseorang itu mempunyai keterampilan diri yang lebih baik.
"Latihan yang dijalankan adalah lasak, sesuai dengan teknik tempurnya. Sifat tahan lasak ini secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada pelatihnya dari sudut psikologi," katanya.
Salam tuan, saya nak belajar muay boran ini, boleh tuan suggest untuk saya nak belajar dengan sapa?, saya tinggai di Kedah.Mohon dapat beri tunjuk ajar. Terima kasih.
ReplyDelete