Pages

Sunday, May 30, 2010

Maut hilang darah






PETANG itu, Rosilah Alam, 28, sedang makan tengah hari sementara menunggu anaknya, Muhammad Rusydi Asyraf Mohd. Azrul Fahsha, sembilan tahun, selesai mandi di rumah mereka di Lembah Subang, Petaling Jaya, Selangor.
Sudah menjadi rutin buat anak lelakinya itu mandi selepas pulang dari sekolah sebelum makan tengah hari bersama ibunya.
Namun, pada 19 Mei lalu, lebih kurang pukul 2 petang, pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Bukit Bintang itu tergelincir di bilik air. Lebih malang lagi, mangkuk sinki seramik yang menjadi tempat Rusydi berpaut turut terjatuh dan menghempap kaki kanannya.
Rosilah yang terdengar jeritan meminta tolong daripada anaknya itu panik kerana pintu bilik air berkunci dari dalam dan dia terpaksa meminta pertolongan jiran untuk memecahkan pintu itu.
KECEKAPAN anggota paramedik memberi rawatan kecemasan di lokasi kemalangan boleh mengurangkan risiko kematian.


Arteri
Sebaik sahaja melihat tubuh Rusydi yang berlumuran darah, si ibu cuba menenangkan si anak dan mendukungnya ke klinik berhampiran.
Hanya satu saja doa Rosilah ketika itu iaitu semoga Rusydi selamat. Rusydi kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun disahkan meninggal dunia lebih kurang pukul 9 malam.
Kisah Rusydi itu telah meruntun hati ramai ibu bapa di negara ini. Sesetengah mereka masih keliru bagaimana kecederaan di kaki boleh membawa maut?
Menurut Ketua Pusat Tanggungjawab Trauma dan Kecemasan PPUM, Dr. Mohd. Idzwan Zakaria, kecederaan yang dialami Rusydi itu bukan luka biasa.
"Kecederaan mangsa sangat serius sehingga menyebabkan arteri di kakinya terkoyak selain urat di paha terputus," ujarnya.
Arteri adalah saluran darah yang membawa darah yang mengandungi oksigen keluar daripada jantung untuk dialirkan ke seluruh badan.
Jelas Idzwan lagi, semasa tiba di PPUM pada pukul 3.30 petang, kanak-kanak itu sudah tidak bernadi, anak matanya statik dan terbeliak malah degupan jantungnya juga sudah terhenti.

PENDERMA darah perlu minum air dalam kuantiti yang banyak bagi menggantikan darah yang telah didermakan.


"Keadaannya tenat dan kritikal. Namun, doktor pakar yang bertugas dapat melakukan resusitasi iaitu menstabilkan pesakit dengan mengembalikan degupan jantung dan denyutan nadinya.
"Selepas tubuh pesakit stabil, baru dia boleh dibawa ke bilik pembedahan," katanya ketika ditemui Jurnal.
Menceritakan semula senario di unitnya pada hari kejadian, Idzwan berkata, Rusydi dibawa ke bilik pembedahan pada pukul 4.10 petang dan kumpulan perubatan mengambil masa empat jam untuk mencantumkan urat putus di paha kanan kanak-kanak itu.
"Pembedahan berjaya namun pada pukul 8.40 malam Rusydi disahkan meninggal dunia akibat renjatan hiporolemia kerana kehilangan banyak darah sehingga jantung gagal mengepam darah secukupnya ke seluruh tubuh," ujarnya.
Jelas Idzwan, kes kehilangan darah yang berterusan boleh membawa kepada kematian apatah lagi jika luka itu dalam dan melibatkan arteri.
"Kes-kes yang melibatkan pendarahan boleh dibahagikan kepada empat kelas.
KEMALANGAN jalan raya adalah punca pendarahan kritikal. Kecederaan pada organ dalaman seperti paru-paru dan hati boleh membawa maut.


Cepat
"Kelas pertama ialah kes di mana pesakit kehilangan 15 peratus darah daripada tubuhnya, kelas dua kehilangan darah di antara 15 hingga 30 peratus darah, kelas tiga 30 hingga 40 peratus manakala kelas empat ialah lebih 40 peratus.
"Di PPUM, kes kehilangan kelas dua dan ke atas adalah termasuk dalam kes parah yang akan dirawat dalam zon merah," katanya yang secara purata menerima dua kes seminggu dan kebanyakannya berpunca daripada pendarahan dalaman yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya.
Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL). Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah, kes pendarahan kritikal terutama melibatkan kelas tiga dan empat akan diberi rawatan yang cepat, cekap dan bersistematik.
Selain itu, bagi memastikan keadaan pesakit terkawal, pelaksanaan polisi 100 peratus tiada masa menunggu diaplikasikan di zon ini.
"Kes kehilangan banyak darah akan terus dibawa ke zon merah. Pasukan trauma yang menerima kes kritikal seperti ini tidak memerlukan arahan sebaliknya mereka sudah tahu tanggungjawab masing-masing.
"Dengan kemudahan lengkap di zon merah, petugas tidak akan hadapi masalah untuk melakukan kerja secara serentak kerana semua peralatan berada di kawasan mudah dicapai," katanya.
Menangani kes kehilangan darah bukan perkara mudah. Ia memerlukan gerakan tangkas dan gabungan kecekapan petugas di Unit Kecemasan dan Trauma. Tiada kesilapan boleh dilakukan dalam rawatan segera itu.
IDZWAN banyak mengendalikan kes pendarahan organ dalaman.


Renjatan
"Pesakit yang kehilangan 30 peratus darah berada dalam keadaan genting dan sebarang kelewatan boleh mengancam nyawa.
"Jika pesakit itu kanak-kanak, mereka akan diutamakan kerana mereka berdepan dengan risiko lebih besar," katanya.
Anggota badan yang besar seperti tulang pinggul, paha, tangan, perut dan dada boleh menyebabkan pendarahan kritikal yang boleh mengundang maut. Ini kerana di bahagian tersebut terdapat saluran darah utama.
Bagi Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma HKL, Dr. Alzamani Mohammad Idrose pula, kehilangan banyak darah khususnya kelas tiga dan empat boleh membuatkan pesakit mengalami renjatan yang akan memberi kesan terhadap degupan jantung, nadi dan tekanan darah.
"Bagi pesakit yang kehilangan 1.5 liter darah, ia dianggap kes kritikal. Setiap manusia memiliki jumlah darah yang tidak sama kerana ia bergantung kepada berat badan.
"Biasanya lelaki dewasa memiliki lima liter darah manakala bagi wanita dan kanak-kanak jumlahnya adalah lebih sedikit," katanya.
Jelasnya lagi, persepsi umum bahawa kes-kes kritikal boleh diselesaikan di unit kecemasan sahaja adalah tidak tepat, sebaliknya pesakit akan dirujuk kepada pakar bius dan pakar bedah.
"Untuk terus dibawa ke dewan bedah, pesakit perlu dipastikan berada dalam keadaan stabil, jika tidak itu akan memburukkan lagi keadaan.
"Ada masanya sewaktu pesakit sampai, pakar bius ada bersama pesakit lain dan semua dewan bedah digunakan.
"Malangnya, tidak semua ahli masyarakat boleh faham keadaan ini.
"Tetapi saya percaya setiap petugas hospital sama ada pemandu ambulans, jururawat mahupun doktor pakar, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan pesakit," ujarnya.

No comments:

Post a Comment