Pages

Sunday, May 30, 2010

Cerita petugas paramedik



JAMIAH pernah lihat paha hancur akibat kemalangan.


MENJADI sebahagian daripada kumpulan paramedik yang pergi ke lokasi untuk memberikan rawatan awal, jururawat PPUM, Jamiah Osman pernah berdepan dengan banyak kes kehilangan darah, kebanyakannya disebabkan oleh kemalangan jalan raya.
"Salah satu kejadian yang tidak dapat saya lupakan berlaku pada tahun kelima saya bertugas sebagai anggota paramedik.
"Selalunya, jika ada panggilan kecemasan, seorang jururawat atau Penolong Pegawai Perubatan, atendan dan pemandu ambulans akan pergi ke lokasi.
"Pada hari itu berlaku satu kemalangan melibatkan motosikal dan kereta.
"Sampai saja di lokasi kejadian, saya lihat penunggang motosikal itu masih sedar walaupun bahagian atas paha sebelah kakinya telah hancur," ceritanya.
Melihat daging yang merah dilumuri darah dengan tulang yang terbonjol keluar dilapisi cebisan daging nipis yang masih melekat, Jamiah perlu cekap memberikan bantuan kecemasan memandangkan mangsa kehilangan banyak darah.
"Saya perlu cepat menghentikan pendarahan mangsa dengan memberi tekanan pada kawasan berdarah. Saya membalut kejap bahagian daging yang terbuka itu berkali-kali untuk mematikan ia cukup kuat untuk hentikan darah.
"Apabila dimasukkan ke dalam ambulans, cecair gantian segera dimasukkan pada tubuh mangsa untuk menggantikan semula darah yang telah hilang.
"Alhamdulillah, mangsa hidup walaupun dia kehilangan kaki," ujarnya.
Bagi Penolong Pegawai Perubatan di HKL, M. Kuyilan, pengalaman mengendalikan mangsa hilang darah kelas empat beberapa tahun lalu masih segar dalam ingatan.
"Hari itu saya bertugas di hospital. Satu panggilan kecemasan diterima mengatakan ada seorang pekerja binaan terjatuh dari bangunan.
"Bagi mengelak banyak masa terbuang, rakan-rakan mangsa telah menghantarnya ke HKL dengan mangsa terbaring di belakang lori.
"Keadaannya ketika itu kritikal kerana tengkuknya patah dan berlaku banyak pendarahan. Nasibnya baik kerana mangsa terus dikejarkan ke hospital.
"Sampai saja di zon merah, pasukan trauma terus memberikan rawatan kecemasan dan akhirnya nyawa pekerja bangunan itu dapat diselamatkan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment