Pages

Sunday, April 11, 2010

Tiga jelmaan tok jaga kampung




SURAU lama di Pulau Mampat dipercayai menjadi tempat persinggahan tiga tok dalam menjaga keamanan kampung.


KEPERCAYAAN orang dulu-dulu terhadap penjaga kampung mungkin dianggap tidak relevan pada masa ini apatah lagi pelbagai teknologi canggih sudah mula digunakan untuk memastikan keselamatan terjamin.
Tradisi ‘memagar’ kawasan yang dulunya amat penting bagi penduduk kampung terutama peneroka baru di sesebuah kawasan kini semakin lenyap di sebalik arus kemodenan.
Namun, bagi sesetengah pihak terutama penduduk Kampung Pulau Mampat, Rembau, Negeri Sembilan, amalan memagar masih diamalkan sehingga kini.
Penduduk berkenaan percaya bahawa alam ghaib atau makhluk halus masih mengelilingi persekitaran yang mereka huni.
Seorang penduduk asal Kampung Pulau Mampat yang dikenali sebagai Pak Cik Mat mengakui bahawa penunggu atau penjaga kampung masih wujud sehingga kini.
Mat yang kini berumur sekitar 60 tahun menjelaskan, terdapat tiga ‘penjaga’ yang mengawal setiap sudut kampung tersebut.
“Berdasarkan cerita orang tua-tua, tiga penjaga kampung itu dikenali sebagai Tok Manggam, Tok Pulau dan Tok Adam. Cerita lisan yang diturunkan daripada generasi ke generasi menggambarkan mereka hanyalah manusia biasa namun kuat beribadat,” kata Mat memulakan cerita.
Menurut Mat, penduduk kampung mempercayai ketiga-tiga lelaki tersebut mempunyai kehebatan berikutan ilmu dan pegangan agama mereka yang tinggi.
Berikutan itu, kata Mat, Tok Manggam, Tok Pulau dan Tok Adam bertindak ‘memagar’ kampung yang mereka diami daripada ditimpa musibah.
“Ada penduduk percaya tiga tok itu akan muncul menyerupai orang tua berjubah kuning atau ular besar yang merintangi jalan di kawasan simpang Kampung Pulau Besar,” kata Mat sambil menghisap rokok.

KELIBAT jelmaan penjaga kampung didakwa seringkali dilihat di simpang tiga utama ke Kampung Pulau Besar, Rembau.


Menurutnya, jalan yang sering dilalui penjaga tersebut bermula di kawasan Manggam berhampiran simpang tiga, kemudian melewati ke surau di Kampung Pulau Acheh sebelum meneruskan ‘perjalanan’ ke Masjid Nerasau sehinggalah ke Kampung Bukit Sembilan di Kota.
Perjalanan itu bertujuan untuk memantau sekitar kawasan kampung daripada perkara-perkara buruk seperti kecurian dan pencerobohan oleh individu yang berniat jahat.
Bagaimanapun ujarnya, zaman sekarang sudah ramai yang tidak mempercayai perkara berkenaan terutama golongan muda.
Sementara itu, isteri Mat, Namah memberitahu, orang zaman dahulu sering menjadikan penjaga tersebut sebagai perantara untuk mencari haiwan peliharaan yang hilang, sukar hamil atau melahirkan anak.
Kata Namah, tiga tok itu tidak mempunyai kuasa mistik untuk menemukan barang yang hilang namun ada usaha yang berjaya, mungkin disebabkan keberkatan doa mereka.
Berikutan itu, ada segelintir penduduk membalas ‘jasa’ penjaga dengan membayar nazar atau dipanggil niat melalui cara tersendiri.
“Selalunya pulut kuning dan ayam akan dipersembahkan di keramat ‘penjaga’ kampung ini. Bukan apa, sekadar berterima kasih atas bantuan atau ilham yang diberikan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi,” tambah Namah.
Namun, dengan peredaran zaman serta bertukar cara pemikiran generasi kini membuatkan kepercayaan tersebut semakin pudar.

No comments:

Post a Comment