Pages

Tuesday, April 27, 2010

Sekolah tahfiz 'sejukkan' selekoh maut



Laluan berliku ke Sungai Congkak dan Sungai Gabai di Hulu Langat, Selangor terselit insiden aneh.

LALUAN di Kampung Sungai Perdek dikatakan pernah mencatat kejadian pelik.


"BIAR dengar, jangan jumpa," ungkap Norehan Kudrat, 45, memulakan bicara mengenai entiti paranormal yang acapkali ditemui melintas di beberapa kawasan sepanjang Jalan Hulu Langat, khususnya dari Batu 14 hingga Kampung Pansoon dekat Empangan Sungai Langat, Selangor.
Tidak sukar untuk Norehan memulakan cerita kerana dia sendiri pernah mengalami 'lintasan makhluk halus' seperti yang kerap diceritakan oleh penduduk setempat.
Jalan yang bengkang-bengkok dan merentasi tanah perkuburan, bukit, anak sungai dan hutan itu merupakan laluan utama penduduk dan didakwa 'meriah' dengan peristiwa yang sukar dijelaskan menerusi sains moden.


"Fenomena yang selalu berlaku ialah hujan panas terutama di beberapa kawasan selekoh.
"Peliknya, hujan itu cuma turun di permulaan selekoh namun jalan di hujung selekoh kering dan tidak hujan, begitu juga sebaliknya.
"Biasanya, kalau ada orang yang melalui selekoh itu semasa hujan panas tersebut, pasti mereka terlihat atau mengalami sesuatu," cerita Norehan.
Ujarnya lagi, kebanyakan penduduk tempatan pernah mengalami kejadian yang mampu menaikkan bulu roma itu sekurang-kurangnya sekali dan lokasinya ialah di selekoh tersebut.
"Kejadian yang paling popular ialah ada penduduk yang menemui beberapa ekor kuda hitam setinggi manusia berjalan di kawasan selekoh. Apabila hendak ditengok semula melalui cermin sisi kereta, kuda tersebut hilang begitu saja.
"Padahal kebanyakan kejadian terjumpa kuda itu berlaku pada waktu siang," kata Norehan yang merupakan anak jati Kampung Lubuk Kelubi, Batu 19 itu.
Bukan sekadar orang biasa, imam masjid turut disakat oleh makhluk halus itu.
"Pernah dulu, salah seorang imam di sini terjumpa pocong selepas menunaikan solat Subuh. Memang kecohlah sekejap tapi benda itu tidak mengganggu. Ia sekadar menampakkan dirinya," jelas Norehan.
Dalam pada itu, bekas Ketua Kampung Lubuk Kelubi, Kudrat Mohd. Rashid, 80, menyifatkan segala kejadian aneh di kawasan tersebut terutama di selekoh berbukit itu sebagai perkara biasa.
Malah, pengalaman seorang anaknya yang tergilis ekor ular sawa ketika memandu bersamanya tidak dapat dilupakan sehingga kini.
"Daripada cermin pandang belakang kereta, kami nampak ular sawa sebesar batang kelapa itu berdiri tegak sebaik saja kami melepasinya.
"Beberapa saat kemudian ular sawa itu terus hilang," ungkap Kudrat yang berketurunan Minang.
Mengikut logik, hanya ular tedung selar yang mampu berdiri begitu namun apabila melihat sendiri ular sawa tersebut, memang sukar untuk dijelaskan.

KEMALANGAN secara tiba-tiba melibatkan motosikal sering berlaku di selekoh berbukit di sepanjang jalan menuju ke Kampung Pansoon.


Tambahnya, kawasan yang agak 'keras' ialah di selekoh Bukit Alai kerana pada zaman dahulu banyak kejadian pelik dan menyeramkan berlaku di situ.
Bukan sahaja entiti paranormal malah insiden berjumpa dengan kelibat beruk besar atau khinzir turut menjadi sebahagian kisah jalan tersebut.
Cumanya, terang Kudrat, kejadian gangguan tersebut semakin berkurangan semenjak sebuah sekolah tahfiz dibina di situ beberapa tahun lepas.
"Mungkin tempat itu dah 'sejuk' dengan bacaan al-Quran oleh pelajar tahfiz itu. Kisah kemalangan pelik juga sudah jarang berlaku," katanya.
Bagi Kudrat, semenjak menjadi sebahagian keluarga peneroka terawal kawasan tersebut iaitu sekitar 1930-an, pengalaman berjumpa, terlihat atau merasai gangguan ketika melalui selekoh-selekoh di situ diumpamakan sebagai rezeki.
"Bukan untuk menakutkan tetapi lebih kepada peringatan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati kerana selekoh di situ agak bahaya," katanya yang menjadi penghulu di kampung tersebut dari tahun 1968 hingga 1980.

No comments:

Post a Comment