Pages

Tuesday, April 27, 2010

Kenapa setiap titis berharga?






AKTIVIS air terkemuka, Maude Barlow pernah berkata: "Ancaman alam sekitar paling teruk dan menakutkan adalah krisis bekalan air. Ia lebih dahsyat daripada perubahan cuaca."
Dalam usaha lantang beliau menentang penswastaan sumber air dunia, Barlow menyifatkan elemen terpenting dalam survival kehidupan manusia itu sebagai Emas Biru. Ya, sumber keperluan manusia yang sememangnya amat berharga. Malah, dalam satu temu ramah bersama agensi berita, National Geographic pada November 2004, beliau mendedahkan beberapa fakta serius.
"Orang biasa tidak mendapat kemudahan air melainkan mereka kaya. Itu yang berlaku di kebanyakan kawasan di Amerika Latin. Afrika Selatan juga sedang berdepan dengan masalah air yang sangat serius. Sebanyak 22 buah negara di Afrika sahaja sudah ketiadaan bekalan air minuman yang selamat," kata penulis buku berjudul Blue Gold: The Fight to Stop the Corporate Theft of the World's Water itu.
Menurutnya, sekitar 75 peratus daripada keseluruhan sungai dan laluan air di India telah tercemar. Keadaan serupa turut dilaporkan di 80 peratus kawasan sungai di China. Terdapat dua sebab mengapa bekalan air bersih sudah tidak mampu dinikmati oleh manusia. Pertama, keadaan geografi sebenar menunjukkan air semakin sukar didapati. Kedua, hanya mereka yang kaya-raya dapat memiliki elemen penting itu.
BAGI mendapatkan bekalan air, golongan serba daif terpaksa berjalan jauh atau mengambil dari sumber air kotor.


Bagi golongan berada, kos yang terpaksa dibayar itu dianggap sangat murah, sedangkan kelompok masyarakat serba daif pula tidak berupaya menanggung bebanan kos itu.
Di beberapa kawasan di dunia misalnya di Kenya, golongan penduduk di kediaman setinggan lazimnya terpaksa membayar lima hingga sepuluh kali ganda untuk setiap liter air berbanding warga kaya yang hidup di bandar.
Bisnes menguntungkan
Seawal subuh lagi, golongan penjual air telah setia menunggu pelanggan pertama berdekatan tangki air mereka. Perniagaan menjaja air di kawasan setinggan terbesar di dunia lazimnya membuahkan pendapatan lumayan.
Kebiasaannya, golongan penjual akan mengenakan harga lima sen untuk setiap lima gelen air. Kos itu adalah 100 ganda jauh lebih mahal daripada air paip yang disediakan di kawasan bandar.
Tekanan untuk memperoleh air terus mendesak sehingga tercetusnya kemarahan dan juga pergaduhan. Terbaru, seorang tukang titik nasib, Kamal Bhate dari sebuah kawasan setinggan, Kem Nehru di Delhi, India memberitahu wartawan National Geographic: "Kami berebut untuk air setiap hari!"
Pergelutan biasanya berlaku hanya kerana satu perkara kecil tetapi mustahak untuk survival kehidupan masing-masing, iaitu apabila ada yang ingin mengambil jalan pintas memotong barisan ketika menunggu giliran mengisi air paip. Percakaran itu cukup difahami memandangkan paip-paip terakhir yang ada di sekitar Kem Nehru hanya beroperasi untuk sejam sehari!
Kamal yang sempat menyaksikan seorang wanita ditumbuk sehingga lebam ungu di muka turut mendedahkan senario ada ketikanya jauh lebih menyayat hati. Pernah sekali, seorang remaja lelaki dipukul sampai mati ekoran memotong barisan.
Lebih memilukan, jutaan wanita dan kanak-kanak turut terdesak sehingga perlu berjalan jauh setiap hari demi mengumpul bekalan air. Secara purata, jarak setiap perjalanan itu hampir mencecah tujuh hingga 10 kilometer sehari.
Minum air kotor
Akibatnya, jutaan anak gadis juga dilaporkan terpaksa berhenti daripada bersekolah. Selain membantu keluarga memperoleh bekalan air, mereka turut berdepan dengan masalah kemudahan di tandas-tandas sekolah yang tidak cukup bersih.
Krisis bekalan air bersih juga meletakkan berjuta-juta nyawa melayang setiap tahun akibat jangkitan penyakit bawaan air yang merbahaya. Berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejumlah 1.8 juta orang terkorban akibat penyakit cirit-birit setiap tahun. Golongan kanak-kanak juga tidak terkecuali. Di kawasan persekitaran yang teruk, kanak-kanak biasanya membawa bersama kira-kira 1,000 ekor cacing parasit dalam tubuh mereka.
Di negara-negara membangun, lebih 2.2 juta orang khasnya kanak-kanak terkorban akibat penyakit-penyakit yang berkait rapat dengan kurangnya bekalan air minuman yang selamat serta tahap kebersihan yang lemah. Setiap hari, bertan-tan sisa buangan yang dihanyutkan ke dalam laut dan sungai bukan sahaja meracuni hidupan marin tetapi juga membunuh jutaan kanak-kanak.

DI sesetengah kawasan di dunia, paip air hanya beroperasi untuk sejam sehari.


"Tahap kekotoran air yang tinggi bermakna lebih ramai orang kini mati kerana pencemaran air berbanding mana-mana bentuk keganasan termasuk peperangan," demikian komen seorang jurucakap Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) dalam sambutan Hari Air Sedunia baru-baru ini.
Dalam perhitungan secara kasar keperluan air harian untuk mandi, masak dan tujuan kebersihan yang lain adalah sekitar 13.2 gelen air seorang. Di negara-negara membangun, purata penggunaan air harian untuk seorang adalah sebanyak 2.64 gelen. Di Amerika Syarikat, purata kegunaan air untuk seorang lazimnya hampir mencecah antara 100 hingga 175 gelen sehari!
Hari ini, lebih 800 juta orang dilaporkan hidup dalam lingkup krisis air. Dengan keadaan air laut, sungai dan simpanan air bawah tanah yang semakin merosot, bilangan tersebut dijangka meningkat sehingga tiga bilion orang menjelang tahun 2025 nanti. Keadaan itu diramalkan akan menimpa kebanyakan kawasan di negara Afrika dan Asia.
Ekoran bebanan kemerosotan sumber bekalan air, manusia sejagat berdepan dengan keperluan mencari jalan alternatif bagi menebus semula air yang hilang. Konservasi menerusi pengumpulan air hujan dan pengurusan air yang lebih baik serta bijak dilihat adalah usaha mutlak dalam situasi genting ini.
Namun, ancaman isu pemanasan global yang kian serius turut memperluaskan cabaran golongan pengkaji dalam usaha mencari sumber bekalan air bersih. Kemerosotan kadar air hujan di sesetengah kawasan, kenaikan paras air laut akibat pencairan glasier merupakan antara impak jelas ekoran pemanasan global.

No comments:

Post a Comment