Pages

Wednesday, April 28, 2010

MAKSUD MENYEMBAH ALLAH



Perbezaan Qasad orang yang mengerjakan Ibadat

Barangsiapa menyembah Allah kerana suatu yang diharapnya daripadaNya atau kerana menolakkan ia dengan taatnya akan datang siksa daripadanya, maka tiadalah ia berdiri pada haq segala SifatNya kerana bahawasanya Haq Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa menyembah mereka itu akan Dia kerana segala SifatNya yang Jamiilah.

Mengikut Ahli Tahqiq, yang dimaksudkan "Menyembah Allah" bukanlah semata-mata dengan maksud mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan menlaksanakan hak-hak yang dituntut oleh syarak, dan bukanlah pula hanya bermaksud kepada pengabdian diri yang berkaitan dengan seluruh hal-ehwal diri sama ada yang berkaitan dengan makhluk atau pun yang bersangkutan dengan ketuhanan; bahkan jika benar-benar ditahqiq maksud penyembahan itu ialah sesuatu yang melampaui kepada setiap tilikan dan pandangan hati kita. Sesuatu, sebagaimana yang terisyarat di sebalik firman Allah;

"Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah".
Dengan itu adalah tidak wajar sekali bagi kamu;
dalam mendirikan segala taat dan ibadat yang yang ala kadar itu, mengandungi bersama sesuatu hajat kebaikan, kononnya sebagai penghargaan kepada apa yang telah kamu kerjakan.
Walaupun bukan kejahatan yang ditujui bahkan kebaikan diri yang diharapkan, namun adalah tidak patut sekali kamu pertaruhkan harapan yang baik itu sebagai galang-ganti (balasan/pahala) di atas amal taat yang dikerjakan itu.

Dan adalah tidak wajar juga, dalam mendirikan segala taat dan ibadat yang dipelihara itu kita dasarkan keinginan untuk keselamatan diri di dunia, kesejahteraan hati, keberkatan hidup, keistimewaan-keistimewaan tertentu yang kononnya boleh menyelamatkan diri kita daripada bala musibah dan azab siksaNya di Hari Kiamat nanti.

Jikalau ditagihkan juga kebaikan dan perlindungan tersebut, kerana merasa seperti telah mengerjakan satu ketaatan yang ikhlas buat Allah, maka ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian, tiadalah (kamu) berdiri pada haq segala SifatNya yakni selama-lamanya engkau belum mendirikan Haq-Haq Ketuhanan. Kamu belum lagi berada di atas jalan ibadat yang lurus, jalan yang tidak dimurkai, jalan yang diredhoiNya. Apa yang sepatutnya ditiliki oleh seorang hamba yang sempurna Ubudiyahnya ialah kepada Keesaan Zat itu dengan Kesempurnaan Segala Sifat-SifatNya Yang Indah. Ini adalah kerana Haq Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa menyembah mereka itu akan Dia kerana segala SifatNya yang Jamiilah yakni Haq Ketuhanan yang wajib dilaksanakan oleh hamba-hambaNya yang ta'bud kepadaNya ialah memerhati dan memandang kepada Segala Keindahan SifatNya Yang Kamalat (Yang Maha Sempurna) itu. Memerhati sesuatu dengan disandarkan itulah kenyataan Sifat-Sifat Tuhan Yang Qahar, Yang Qhani, Yang Rahim dan lain-lain Sifat yang disedari olehnya.

Mereka sembahyang kerana sedar kepada kenyataan Sifat-SifatNya Yang Maha Tinggi dan Agung;
Mereka berpuasa kerana sedarnya kepada kenyataan Sifat-Sifat Yang Menahani, Yang Menyempitkan dan Yang Empunya Kehendak.
Mereka berzakat kerana sedar tentang Sifat-SifatNya, Yang Maha Kaya, Yang Maha Pemurah, dan Yang Maha Adil .
Mereka mengerjakan Haji kerana sedar tentang Panggilan Dan Seruan TuhanNya menghadapNya.
Inilah Haq Tuhan atas segala hambaNya iaitu Menghendaki bahawa menyembah mereka itu akan Dia adalah kerana sedar akan nyata wujudnya segala Sifat Allah yang Jamiilah di setiap yang terzahir pada amal ketaatannya.
Oleh itu palingkan kejahilan dan kebebalan kita dalam beramal itu kepada menghadap "Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah".

Kata-kata Sheikh Ibnu A'rabi ini baik sekali sebagai perumus keterangan di atas.
Rahsia Kemurahan Tuhan itu terzahir pada wujud yang tidak ada daya upaya kecuali Allah.

Jika anda hendakkan syurga sebagai ganjaran dari amal-ibadatmu, di manakah kemurahan Tuhan di situ?.

Jika amal yang anda hendakkan ganjaran itu pun bukan kepunyaan anda, bagaimanakah mungkin anda pandang kepada amal anda itu?

Maka barangsiapa menyembah Allah kerana sesuatu, maka ada ia bagi sesuatu itu dan terdindinglah ia kepadaNya (Allah).
Dengan demikian barangsiapa menyembah Allah kerana inginkan sesuatu selain dariNya, maka mereka adalah hamba kepada sesuatu yang diingini itu; dan tertutuplah pandangan mata hati mereka daripada memandang Keesaan Allah.

Inginkan barakah, hamba bagi barakah.
Ingin nama, kedudukan dan kemasyhuran di sisi manusia, maka jadilah hamba bagi manusia.
Inginkan terbuka alam ghaib, hamba bagi alam.
Inginkan balasan pahala, hamba bagi pahala.
Inginkan syurga, hamba bagi syurga.
Di mana semuanya itu adalah makhluk Allah. Memandang kepada makhluk dengan melupakan Yang Ampunya Haq menjadikan mereka terhijab daripada maksud ibadat yang sebenarnya yakni memandang kepada Segala Sifat-SifatNya Yang Jamil. Maka sayugianya atas hamba itu bahawa mengerjakan amal ia bagi TuhanNya 'Azzawajalla, kerana JalalNya dan 'AzomahNya, dan barang yang atasNya daripada segala Keelokan SifatNya yang tiada sekutu dalamNya.

Sayugia di sisi ahli sufi ialah Wajib. Maka wajib atas mereka mengerjakan amal-taat yang dituntut oleh syarak, dengan kerana sedar dan dapat memandang Keagungan dan Kebesaran Tuhan dengan segala KesempurnaanNya daripada segala Keelokan SifatNya yang Esa. Bukan kerana inginkan itu dan bukan dengan kerana inginkan ini, bukan pula dengan maksud itu dan maksud ini, tetapi semata-mata tunduk dan sedar kepada KeagunganNya. Jika tidak maka selama-lamanya diri akan berdosa dan menderhakai Allah dengan kerana masih bersyirik dalam amal taat yang dikerjakan.
Jikalau menyalah ia akan demikian itu dan mengerjakan ia atas bahagian nafsunya, maka tiadalah berdiri pada Haq Sifat TuhanNya, dan adalah yang demikian kejadian daripada Jahil dan Qaflah dan tiada kasihnya bagi TuhanNya dan tiada makrifatnya.

Jika mereka masih tagihkan itu dan ini, mahukan itu dan ini kerana merasa punya sedikit kebaikan yang dilakukan, maka yang demikian itu semata-mata kerana ingin memenuhi bahagian nafsunya yang tersembunyi. Amat perlu sekali disedari bahawa segala keinginan selain daripada memandang Allah itu adalah daripada runtunan keperluan hawa nafsunya. Jika sudah berdiri kepada bahagian nafsu mereka, maka sama sekali tidak akan berdiri pada Haq Sifat TuhanNya.
Bukankah memilih keinginan nafsu dengan meninggalkan Haq KetuhananNya menunjukkan betapa mereka ini adalah termasuk ke dalam golongan mereka yang Jahil dan Qaflah dan tiada kasihnya bagi TuhanNya dan tiada makrifatnya. Tidak kenal kepada TuhanNya. Yang Bersyirik dan yang menyembah diri mereka sendiri.

Sungguhpun begitu, Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia Mengatur dan Menyusun aturan kehidupan hamba-hambaNya mengikut maqam dan martabat yang dikehendakiNya. Dengan itu perbezaan akan sentiasa ada. Sama ada dari segi maqam atau martabat atau tahap pemahaman dan kesedaran mereka terhadap Allah. Berlainan maqam, maka berlainan lah hal ehwal dan pengertian mereka kepada hakikat.

Dan sesungguhnya telah bersalah-salahan segala qosad orang yang mengerjakan ibadat dengan sekira-kira Maqam mereka itu dan martabat dan faham mereka itu daripada Allah.
Maqam, martabat dan kefahaman mereka terhadap Allah itu bergantung kepada segala tujuan hati mereka yang
mengerjakan ibadat.

Maka barangsiapa menyembah Allah kerana mengharapkan pahalaNya dan takut siksaNya, maka sah ibadatnya pada hal ijtima'. Tetapi ceritera daripada Imam Al-Razi atas ketiadaan sah ibadat orang yang menyembah Allah kerena takut akan siksaNya atau kerana mengharap-harapkan akan pahalaNya. Ini berkenaan khilaf atau perbezaan pendapat mengenai apakah akan diterima amal-ibadat mereka yang mengharapkan pahala dan siksa Allah???.
Mereka yang teliti akan mengamalkan pandangan dari Imam Al-Razi di atas. Dan kita bersyukur kerana melalui ijtima' ulama di atas, mereka yang masih bersyirik dengan pahala dan siksaNya masih berpeluang diterima ibadatnya . Sesungguhnya ini adalah satu kebaikan dan limpah kurnia yang besar dari Allah 'Azzawajalla.

Namun demikian tersangat jauhlah beza keikhlasan dan siddiq amalan mereka yang menyembah kerana Allah dengan mereka yang menyembah Allah kerana bahagian dirinya.
Maka jauh lah antara orang yang menyembah kerana Allah dan antara orang yang menyembah akan Dia kerana bahagiannya.

Memang berbeza kerana percakapan mereka pun berbeza, hal-ehwal mereka pun banyak bezanya; mengikut kehampiran dan kefahaman mereka berkenaan dengan Allah Taala. Maka orang yang Muhaqiq itu iaitu orang yang menyembah akan Dia kerana malu dan ta'zim.

No comments:

Post a Comment