Pages
▼
Wednesday, April 28, 2010
HAKIKAT ILMU
Ilmu menurut pendapat ulama ialah perkataan-perkataan dan maknanya. Menurut Arif, Ilmu itu ialah mengetahui Asma-Asma dan objek-objek yang ditunjukkan oleh Asma itu. Di sini bermula asas dan dasarnya.
Ilmu itu tidak boleh dikaitkan dengan 'Adam kerana ia tidak ada. Ilmu hanya boleh dikaitkan dengan yang wujud sahaja. Yang tidak ada, tidak dapat dikaitkan dengan ilmu kerana yang tidak ada itu tidak dapat difikirkan dan tidak termasuk dalam akal dan tidak dapat disifatkan. Hakikatnya tidak ada, melainkan semata-mata nafi. Nafi semata-mata tidak dapat menghasilkan apa-apa (pada akal dan fikiran). Jika hasil apa-apa, maka jadilah wujud.
Adam tidak boleh wujud bila-bila masa pun kerana hakikat-hakikat tidak boleh berubah.
Jika anda periksa apa yang membisikkan pada diri anda dan apa yang ditanggap oleh Qalbu (Hati) anda dengan menafikan adanya sekutu bagi Allah, maka anda akan dapati bahawa tidak ada yang lain dalam diri anda kecuali Keesaan yang wujud.
Inilah pengertian ilmu mengikut ahli makrifat; mengetahui sesuatu yang boleh dikaitkan dengan yang wujud sahaja di mana yang wujud dalam makrifat mereka tidak memiliki sebarang analogi lain selain dirinya sendiri. Allah tidak memiliki analogi lain selain Diri-Nya Sendiri; dan Dia menyerupai Diri-Nya sendiri. Dia serupa itu dan Dia serupa Diri-Nya, kerana ia analog dengan Diri-Nya sendiri. Dia hanya seperti Diri-Nya dan hanya seperti dirinya. Peneguhnya adalah penopangnya dan penopangnya adalah peneguhnya. Ia bukan Dia dan Dia bukan ia. Dan tiada Dia kecuali ia dan tiada ia selain Dia. Tak ada makrifat selain Dia. Tak ada dia kecuali Dia.
Maka ahli makrifat adalah "seseorang yang melihat dan makrifat berada dalam dia yang tetap tinggal di dalam". Ahli makrifat tinggal dengan "tindakan mengenal" oleh kerana ia adalah pengenalannya. Pengenalannya adalah miliknya dan makrifat berada disebalik itu. Bentuk-bentuk masih lebih jauh lagi di seberang itu.
Cerita adalah urusan penutur cerita dan makrifat adalah urusan orang terpilih. Tindakan pura-pura adalah tindakan perseorangan bersama pelamun-pelamun sesat, dan tafakkur tinggal bersama dengan orang-orang yang murung manakala kelalaian bersama dengan orang-orang yang kebingungan.
Allah adalah Allah, Ciptaan adalah ciptaan.
Dan tak ada soal .
Sesungguhnya "Tidak ada perubahan dalam kalimah-kalimah Allah itu" (Surah Yunus:64)
JENIS-JENIS ILMU & BAHAGIAN-BAHAGIANNYAKetahuilah bahawa ilmu terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu:
Ilmu Syari'i
Ilmu 'Aqli
Ilmu-ilmu Syari'iah adalah bersifat 'Aqliah bagi orang yang mengetahuinya dan kebanyakan Ilmu-ilmu 'Aqliah adalah bersifat Syari'iah bagi orang yang mengenalinya. ( Kenyataan di atas jika difahami ianya adalah untuk menunjukkan hubungan yang erat antara ilmu-ilmu Syari'iah dan ilmu 'Aqliah sebagaimana yang akan dinyatakan seterusnya.)
Firman Allah yang bermaksud;
"Dan sesiapa yang Allah tidak kurniakan nur kepadanya, nescaya tidak ada baginya nur."
(Surah Al-Nur : 40)
Bahagian Pertama (Ilmu Syari'ah)
Ilmu Syari'ah terbahagi kepada dua macam iaitu:
A. ILMU USUL (Umbi).
B. ILMU FURU'
A. ILMU USUL
Ilmu Usul (Umbi) ini terbahagi pula kepada tiga jenis iaitu Ilmu Tauhid , Ilmu Tafsir dan Ilmu Akhbar ( Hadis )
1. Ilmu Tauhid.Ilmu ini membicarakan tentang zat Allah Taala, Sifat-sifatnya yang Qadimiah(Sediakala) Sifat-sifatnya yang Fi'liah(berupa perbuatan) dan Sifat-sifatnya yang Zaatiah(berupa Zat) yang berbagai-bagai nama menurut nama-nama sebagaimana yang tersebut.
Ia membicarakan tentang Nabi-nabi dan Imam-imam selepas mereka dan sahabat. Juga membicarakan tentang mati dan hidup,
membicarakan tentang Qiyamat, kebangkitan, perhimpunan di padang Masyar, kiraan amalan dan kelihatan Allah Taala.
Ahli-ahli fikir dalam ilmu ini berpegang pada:
* mula-mula sekali dengan ayat-ayat Al-Quran
* kemudian dengan hadis-hadis Rasulullah SAW.
* kemudian dengan dalil-dalil 'Aqliah dan bukti-bukti Qiyasiah
Mereka mempergunakan bahan-bahan qias perdebatan dan 'Anadi' (qias Pertentangan) dan hujungan-hujungan kedua-duanya yang diambil dari Logik(Mantik) Falsafah dan mereka meletakkan perkataan bukan pada tempatnya. Mereka mempergunakan istilah-istilah :-
Jauhar, A'radh, Dalil, Nazor (tilik) Istidlal dan Hujah, sedangkan berlainan makna tiap-tiap istilah ini bagi tiap-tiap golongan. Ahli-ahli Tasauf maksudkan suatu yang lain manakala ahli-ahli Ilmu Qalam maksudkan suatu yang lain pula. begitulah seterusnya. Bicara bapak ini tidaklah bermaksud untuk mentahkidkan makna tiap-tiap perkataan itu menurut pendapat tiap-tiap golongan. Oleh itu kita tidak akan bincangkan di sini.
Ahli-ahli fikir dalam usul dan ilmu tauhid yang mengambil bahagian khas ( dalam mengemukakan dan mempertahankan ilmu mereka) dengan "Qalam" atau "Kata-Kata" digelarkan "Mutakallimun" (ahli-ahli ilmu qalam). Oleh sebab ini ilmu tauhid terkenal juga dengan gelaran "ILMU QALAM".
2. Ilmu Tafsir.
Al-Quran adalah sesuatu yang paling agung dan paling penting dalam agama. Di dalam Al Quran terdapat kemusykilan yang tidak dapat diselesaikan oleh akal tiap-tiap orang selain dari orang yang dikurniakan oleh Allah Taala untuk memahami kitabnya. Dalam hal ini Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud:
"Tiap-tiap ayat Al Quran itu ada sahaja zahir dan batin dan batinnya itu mempunyai tujuh lapisan pula"
Dalam suatu riwayat yang lain dinyatakan sebagai mempunyai sembilan batinnya.
Rasulullah bersabda lagi dengan maksudnya:
"Tiap-tiap huruf dari huruf-huruf Al-Quran mempunyai had.”
Maksudnya sama dengan 'Nihayah' yang bermaksud batas) dan tiap-tiap had mempunyai Mutholi'(tempat tinggi untuk meninjau). Allah Taala telah memberitakan dalam Al-Quran mengenai seluruh ilmu, segala maujudah yang nyata dan yang tersembunyi, yang kecil dan yang besar, yang dapat dirasa dan yang dapat difahami oleh akal. Ini ditunjukkan oleh firmannya yang bermaksud:
"Dan tidak ( gugur ) biji yang basah dan tidak kering melainkan terdapat dalam Kitab yang nyata".
(Surah Al-An'am, ayat 59).
Allah berfirman lagi yang bermaksud:
"Supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya ingat orang-orang yang mempunyai fikiran".(Surah Al-Shod, ayat 29).
Bila Al-Quran itu suatu yang paling agung, ahli-ahli tafsir manakah yang dapat keluar dari ikatannya?
Ya!, tiap-tiap dari ahli tafsir hanya dapat menghuraikan Al-Quran menurut tenaga sahaja, menerangkannya sekadar kekuatan akalnya dan menurut kadar isi ilmunya. Dengan kebolehan-kebolehan yang terbatas ini sekalian ahli tafsir itu berkata-kata sedangkan sebenarnya mereka patut berkata bahawa dalam ilmu Al-Quran itu terkandung :- Ilmu Usul dan Ilmu Furu', Ilmu Syarie' dan Ilmu 'Aqli.
Meskipun begitu ahli tafsir mestilah memandang Al-Quran dari segi bahasanya, dari segi perumpamaannya, dari segi susunan pengucapan, dari segi tingkat-tingkat nahu, dari segi 'adat Arab, dari segi pendapat hukamah-hukamah, dari segi perkataan ahli tasauf hingga dapat mendekatkan tafsirnya kepada tahkiq. Andainya tafsir itu cuma terbatas setakat suatu segi sahaja dan hanya memberikan keterangan menerusi suatu kepandaian sahaja, tidaklah keterangan itu memuaskan hati dan masih memberi peluang kepada hujah dan alasan dari orang lain untuk menentangnya.
3. Ilmu Akhbar (Hadis-hadis)Bahawa Nabi SAW adalah orang Arab dan A'jam yang paling fasih, ia adalah guru yang diwahyukan kepadanya dari Allah Taala, akalnya adalah meliputi seluruh Alam Atas dan Alam Bawah, tiap-tiap perkataannya , malah tiap-tiap ucapannya terdapat disebaliknya lautan rahsia dan perbendaharaan teka-teki. Maka mengetahui Akhbarnya dan mengenali hadisnya adalah suatu soal yang besar dan suatu kerja yang hebat, sesiapa pun tidak berkuasa untuk menyelami ilmu perkataan Nabawi melainkan dengan cara ia membetulkan diri menuruti perintah-perintah Nabi SAW dan menghilangkan kebengkok-bengkokkan dari Qalbunya dengan pedoman syarak Nabi SAW.
Sesiapa yang ingin memperkatakan tafsir Quran dan Takwil Akhbar (Hadis) dan ingin supaya tepat kata-katanya, orang itu pada mula-mula sekali mesti menguasai Ilmu Bahasa, mendalami Ilmu Nahu dan mempunyai pengetahuan yang dalam bidang 'Irab (perubahan baris-baris akhir kalimah kerana faktor-faktor mendatang menurut Ilmu Nahu) dan pandai dalam berbagai-bagai Tasrik (kepandaian mengubah sesuatu kalimah yang asal menjadi bermacam-macam bentuk untuk pengertian-pengertian yang dikehendaki oleh seseorang),
Ini adalah kerana Ilmu Bahasa adalah tangga untuk mendaki kepada seluruh ilmu. Sesiapa yang ingin naik ke atas serambi rumah, lebih dulu ia perlu menyediakan tangga, kemudian baru mendaki, Ilmu Bahasa adalah jalan yang penting dan tangga yang besar ertinya. Seorang penuntut ilmu tiada dapat memisahkan dia dari hukum-hukum bahasa.
Oleh itu Ilmu Bahasa adalah asal segala asal. Yang mula-mula mesti diketahui dalam bahasa ialah mengenai bahan-bahan yang sama tarafnya dengan perkataannya sepatah demi sepatah kemudian mengetahui kata-kata perbuatan seperti kata-kata yang terdiri dari tiga huruf dan empat huruf dan lain-lainnya.
Seorang Ahli Bahasa mesti pula mengetahui syair-syair Arab, dan yang paling penting serta paling rapi ialah syair-syair jahiliah, kerana ia mengasahkan fikiran dan memperhaluskan jiwa. Selepas syair-syair, bahan-bahan (dari perkataan) dan nama-nama itu mesti menguasai ilmu nahu, kerana ia untuk ilmu bahasa serupa dengan timbangan dacing untuk emas dan perak, Manthiq untuk Ilmu Falsafah 'Arudh (Ilmu timbangan syair atau Ilmu Persajakan) untuk syair. Lengan untuk baju dan sukatan untuk biji-bijian. Tiap-tiap suatu tiada di timbang dengan timbangan yang tiada jelas padanya hakikat pertambahan dan pengurangan.
Oleh itu Ilmu Bahasa adalah jalan menuju kepada Ilmu Tafsir dan Akhbar(Hadis). Ilmu Al-Quran dan Akhbar adalah dalil bagi ilmu tauhid, manakala tauhid adalah ilmu yang hanya dengan dia sahaja baru terselamat para hamba dan dengannya mereka terlepas dari ketakutan hari kebangkitan kembali. Inilah Ilmu Usul secara perincian.
B. ILMU FURU’ ( Ilmu Cawangan)
Sesuatu ilmu itu boleh berupa 'Alami atau 'Amali. Ilmu Usul adalah ilmu yang berupa Ilmu 'Alami manakala Ilmu Furu' adalah ilmu yang berupa 'Amali.
Ilmu Amali ini mengandungi tiga hak :
1. Hak Allah Taala :Ini adalah mengenai bahagian-bahagian ibadat seperti bersuci, sembahyang, zakat, haji, jihad zikir, perayaan-perayaan (Al-'Ayaad dengan makna pertama perayaan agama dan makna kedua pengulangan-pengulangan maksudnya Tajali-tajali yang berulang-ulang atas Qalbu dengan cara mengulangi amalan-amalan) perhimpunan (Jama'ah ), dan lain-lain amalan sunat dan fardhu.
2. Hak para hamba
Ini adalah mengenai bahagian-bahagian 'Aadat (kemasyarakatan) yang terbahagi kepada dua bidang:
i. Mu'amalah (Pergaulan) seperti jual beli, syarikat, pemberian (Al-Hibah), pemberian pinjam dan hutang, Qishas dan segala bahagian Diyat (denda berupa wang dari kesalahan pembunuhan atau pencederaan).
ii. Mu'aakodah(Perjanjian) seperti nikah, talak, pembebasan hamba, perhambaan, pembahagian pesaka dan segala hujungannya.
Dua bahagian yang tersebut di atas ini dinamakan 'FEKAH'. Ilmu Fekah adalah ilmu yang mulia, berfaedah, mengenai semua (manusia) lagi perlu. Tidak terlepas manusia daripadanya kerana keperluannya kepadanya adalah umum.
3. Hak Jiwa.Hak jiwa ialah sesuatu yang berkaitan dengan Ilmu Akhlak. Akhlak itu kalau tercela wajib disingkirkan dan dibuang. Jika terpuji, wajib dipakai sebagai perhiasan segala jiwa. Akhlak yang tercela dan sifat-sifat yang terpuji memang terkenal dalam Kitab Allah dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Sesiapa yang berakhlak dengan salah satu daripada sifat-sifat yang terpuji itu, ia akan masuk syurga.
ILMU ‘AQLIIlmu 'Aqli atau ilmu yang bermasaalah lagi musykil. Ilmu yang boleh berlaku SALAH atau BETUL. Ia terletak pada tiga tingkat iaitu:
Tingkat Pertama
Tingkat mula-mula, Ilmu Matematik dan Ilmu Logik(Mantik). Dari Ilmu Matematik lahir Ilmu Hisab yang membicarakan tentang angka-angka, geometri (ilmu ukuran-ukuran dan bentuk-bentuk), Ilmu Astronomi (berhubung dengan falak, bintang-bintang, kawasan-kawasan bumi dan apa-apa yang berhubungan dengannya). Terbit dari Ilmu Astronomi ini sebagai cawangannya ialah Ilmu Astrologi (Ilmu Nujum dan hukum-hukum dan Horoskop). Dari Ilmu Matematik itu lahir pula ilmu-ilmu muzik yang membicarakan tentang nisbah tali-tali alat bunyi. Ada pun ilmu logik adalah membicarakan tentang cara menentukan had (Al-Had ) dan Resam (Al-Resam) dalam sesuatu yang dapat dicapai dengan konsep (Tasawwur). Juga ia meninjau dari cara qias ( Al-Qias ) dan bukti ( Al-Burhan ) dalam ilmu-ilmu yang dicapai dengan pengakuan (Al-Tasdiq). Ilmu Logik berpusing di sekitar kaedah ini.
Bermula dari kata-kata tunggal,
kemudian kata-kata bersusun,
kemudian khasiat-khasiat,
kemudian qias,
kemudian bahagian-bahagian qias,
kemudian matlamat bukti (Mutholib Al-Burhan).
Inilah dia penghabisan Ilmu Logik.
Tingkat KeduaTingkat tengah ini ialah Ilmu Tabie. Ilmu Tabie ini ialah suatu ilmu yang membicarakan tentang Jisim Mutlak (Jisim semata-mata jisim yang terdiri dari benda dan rupa tanpa ikatan dengan mana-mana ruang. Di sini dibicarakan tentang pembahagian-pembahagian jisim, gerak, perubahan dan apa yang berhubung dengan gerak itu seperti zaman, ruang dan kosong) dan
Rukun-rukun Alam (membicarakan tentang langit-langit dan empat anasir yang berada daripada bahagian bawah falak bulan, tabiat-tabiat anasir itu dan lain-lain),
Jauhar-jauhar dan 'Aradh, Gerak dan Diam, tentang Hal Ehwal Langit, Sesuatu Yang Berupa Tindakan dan Kesan Tindakan.
Dari ilmu ini, lahir perbicaraan tentang:
Hal-ehwal Tingkat-tingkat Maujudah, Bahagian-bahagian Jiwa, Mizraj dan Kualiti Deria dan
cara pencapaiannya terhadap sesuatu yang dapat dicapainya.
Kemudian membawa kepada perbicaraan tentang ilmu kedoktoran iaitu ilmu mengenai badan-badan, penyakit-penyakit, ubat-ubat, pengubatan dan apa yang berhubung dengannya. Di antara cawangan Ilmu Tabie ialah:-
Ilmu Kesan-kesan Atas
Ilmu Benda-benda Galian
Pengetahuan Khasiat Benda dan berakhir pada Ilmu Perusahaan Kimia iaitu pengubatan jasad-jasad yang sakit pada bahagian-bahagian dalam benda-benda galian.
Tingkat Ketiga.
Ini adalah tingkat tertinggi yang membicarakan tentang MAUJUD kemudian membahagikan kepada "WAJIB"(tiap-tiap apa yang wujudnya dari zatnya sendiri bukan dari yang lain. Wujud yang begini keadaannya ialah wujud Allah, sebab inilah diistilahkan dengan "WAJIBAL WUJUD" ertinya "Yang Wajib Ada") dan "MUMKIN" (tiap-tiap yang wujudnya bukan dengan zatnya sendiri, malah bergantung dengan zat yang lain. Kalau tidak ada zat yang lain ini, maka ia tidak.
Wujudnya yang begini keadaannya adalah wujudnya makhluk. Sebab itulah makhluk diistilahkan dengan "MUMKINAL WUJUD"ertinya "Yang Mungkin Ada"). kemudian membicarakan tentang Penciptanya dan ZatNya, segala sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya, perintah-perintahNya, hukum dan qadaNya serta susunan kelahiran maujudah daripadaNya, kemudian membicarakan tentang sesuatu yang tinggi (Al-'Uluyah) Jauhar-jauhar Mufrad, Akal-akal Abstrak, dan Jiwa Yang Sempurna kemudian membicarakan tentang malaikat-malaikat dan syaitan-syaitan dan berakhir dengan Ilmu Nubuwah, soal-soal mukjizat dan hal-ehwal keramat, dan kemudiannya membicarakan hal-ehwal Jiwa-jiwa Suci, hal-hal tidur dan sedar dan maqam-maqam mimpi.
Di antara cawangan-cawangannya ialah :-
Ilmu Tillasmaat (Ilmu membuat tangkal atau azimat) dan
Ziijaat (ilmu yang membicarakan tentang kedudukan falaniah-falaniah) dan
apa yang berhubungan dengannya.
Ilmu-ilmu ini mempunyai perincian-perincian, lapangan-lapangannya dan tingkat-tingkatnya yang memerlukan ruangan yang lanjut. Tetapi sudah cukuplah dengan ringkasan ini.
TINGKAT-TINGKAT JIWA DALAM MENDAPAT ILMU
Ketahuilah bahawa ilmu-ilmu adalah terhunjam dalam seluruh jiwa manusia dan semuanya sesuai untuk menerima seluruh ilmu. Kalau suatu jiwa itu terluput dari mendapat habuannya, tidak lain hanya kerana suatu sebab yang mendatang, menimpa ke atas nya dari luar. Sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud:
"Dijadikan manusia dalam keadaan suci, kemudian dirosakkan mereka oleh syaitan-syaitan".
dan sabdanya lagi yang bermaksud:
"Tiap-tiap yang dilahirkan adalah dilahirkan dalam keadaan semulajadi".
Jiwa berakal (Al-Nafsul Naathoqah) manusia memang layak untuk menerima pencaran jiwa keseluruhan (Al-Nafsul Kulliyah) di atasnya dan bersedia untuk menerima gambaran-gambaran yang dapat difahami oleh akal (Ma'quulah) dengan kekuatan kesucian aslinya dan kemurniaannya yang asal. Tetapi sebahagiannya menderita sakit dalam dunia ini diserang oleh berbagai penyakit yang menyebabkan tiada dapat mencapai hakikat-hakikat, manakala sebahagiannya masih dalam keadaan kesihatan yang asal tanpa sakit dan rosak dan sentiasa bersedia (untuk menerima ilmu) selagi masih hidup.
Jiwa-jiwa yang sihat ialah jiwa-jiwa Kenabian (Al-Nufus Al-Nubuwiyah) yang bersedia untuk menerima wahyu dan bantuan (pertolongann atau penguatan dari Allah), berkuasa untuk melaksanakan penyelongkaran dalam Ilmu kejadian dan kebinasaan, kerana jiwa-jiwa itu adalah kekal dalam kesihatan aslinya dan tidak berubah Mazrajnya oleh bencana penyakit. Oleh itu Anbiya' adalah menjadi para doktor-doktor jiwa dan menjadi para penyeru makhluk supaya menyucikan semulajadi akan diri mereka.
Ada pun jiwa-jiwa yang sakit dalam dunia yang hina ini terdiri dari beberapa tingkat:
1. Jiwa-jiwa yang sedikit sahaja dikesani oleh penyakit yang menimpa dan sedikit sahaja awan kelupaan menyeliputi lintasan-lintasan fikiran mereka. Mereka berusaha dalam pengajian dan mencari kesihatan asli. Dengan ini hilanglah penyakit mereka dengan pengubatan yang mudah. Tersingkaplah awan kelupaan mereka dengan hanya sedikit pengajian sahaja.
2. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia dan berusaha dalam pengajian itu. Mereka mencari kesihatan asli, maka hilanglah penyakit itu dengan pengubatan yang mudah dan tersingkaplah awan kelupaan mereka dengan hanya sedikit pengingatan.
3. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia, berusaha mendapatkan ilmu dan membetulkan dalam seluruh zaman mereka, sedangkan mereka tidak faham sedikit pun kerana rosak mazraj mereka, sebab mazraj ini bila rosak tidak akan dapat diubati lagi.
4. Jiwa yang mengingat dan lupa, cuba melatihkan diri (dengan beramal untuk mengembalikan
ingatan itu) tetapi tiada berdaya. Mereka hanya mendapat Nur yang sedikit dan pancaran yang malap. Perbezaan-perbezaan ini timbul dari pengarahan jiwa-jiwa itu terhadap dunia dan tenggelam di dalam dunia ini menurut kuat dan lemahnya seperti orang sihat bila ia sakit dan orang sakit bila ia sihat. Bila masalah ini telah terurai, akan timbullah jiwa-jiwa itu dengan Ilmu Laduni dan akan mengetahui bahawa mereka memang Alim(mengetahui) pada awal semula jadinya dan murni pada permulaan ciptaannya. Sedangkan mereka menjadi jahil itu adalah kerana sakit yang dideritai ketika bersama dengan jasad yang tebal ini dan ketika tinggal dalam rumah yang kotor dan tempat yanng gelap.
Bahawa jiwa-jiwa itu belajar untuk mendapatkan ilmu yang tidak ada, bukanlah menciptakan akal yang luput, malah belajar itu adalah merupakan usaha jiwa-jiwa tersebut untuk mengembalikan ilmu asal lagi instintif (berdasarkan naluri bukan dihasilkan oleh taakulan atau ajaran) dan menghilangkan penyakit yang timbul dari pengarahan jiwa-jiwa itu kepada kekotoran jasad dan segala yang berhubung dengan kepentingan jasad.
Seorang bapa yang pengasih lagi penyayang kepada anaknya, bila ia mengarahkan perhatiannya kepada soal menjaga anak sahaja, ia akan lupa segala urusan yang lain dan masanya penuh dengan soal membicarakan anak sahaja. Begitu juga jiwa, kerana terlampau memperhitungkan kepentingan kerangka (jasad) ini dan tenggelam di dalam lautan tabiat dengan sebab lemah dan pengasingannya. Ia memerlukan pelajaran sepanjang usianya untuk mengingatkan kembali apa yang telah dilupakan dan untuk mendapatkan semula apa yang telah luput. Pengajian ini tidak lain dari hanya pengembalian jiwa kepada jauharnya dan pencungkilan apa yang berada dalam hati nurani kepada tindakan untuk menyempurnakan zatnya dan mencapai kebahagiannya.
Bila suatu jiwa telah lemah dan tidak dapat kembali kepada hakikat Jauhariahnya, hendaklah ia berguru pada seorang yang pengasih lagi Alim dan memohon pertolongan daripadanya supaya ia menolong dalam mencapai cita-citanya, seperti seorang sakit yang tidak tahu cara mengubati penyakitnya sedangkan ia berusaha menyembuhkannya. Ia terus menemui doktor yang pengasih, menerangkan hal dirinya dan meminta supaya mengubatinya.
Kita pernah menyaksikan seorang Alim menderita suatu penyakit yang tertentu seperti sakit kepala dan dada, menyebabkan lari ilmu dari jiwanya. Ia lupakan segala maklumatnya dan ingatannya terhadap segala apa yang didapatinya dulu menjadi keliru dan tertutup. Bila ia sihat kembali, hilanglah lupanya itu dan kembalilah jiwa mengingati maklumatnya, lalu teringatlah semula apa yang telah dilupainya semasa sakit.
Dari sini kita dapat mengetahui bahawa ilmu-ilmu itu tidaklah binasa, sebenarnya ia dilupakan. Perbezaan antara "Mahwun" ertinya "sapu" dan "Nasyan" ertinya "lupa".
Sapu itu ertinya binasa ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan, manakala lupa ialah kekeliruan di antara ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan itu. Seperti awan yang mendung atau awan yang menutup sinar matahari dari pandangan orang bukan seperti jatuh matahari yang ertinya perpindahan matahari dari atas bumi menuju ke bawah bumi.
Perhatian penuh jiwa dalam pengajian bermakna menghilangkan penyakit dari jauhar jiwa supaya ia kembali kepada apa yang telah diketahui pada awal-awal semulajadi dan telah dikenalinya pada awal kesuciannya.
Bila anda telah mengetahui sebab dan maksud pengajian dan hakikat jiwa dan jauharnya, maka ketahuilah bahawa jiwa yang sakit adalah memerlukan pengajian dan pengorbanan usia dalam mendapatkan ilmu-ilmu. Ada pun jiwa yang kurang sakit dan sedikit sahaja penyakitnya, kecil merbahayanya, tipis awan mendungnya, sedangkan mazrajnya sihat; maka ia tidak memerlukan penambahan pengajian dan kepenatan yang lanjut. Malah dengan sedikit Nazhor(Tilik) dan fikir sudah cukup untuk memulihkan kembali asalnya, sampai kepada permulaan dan hakikatnya, melihat rahsia-rahsia jiwa dan mencungkil apa yang ada di dalam dari kekuatan kepada tindakan serta menjadikan apa yang tersembunyi di dalamnya sebagai pakaian untuknya.
Dengan ini lengkaplah dia dan sempurnalah keadaannya. Ia mengetahui banyak perkara dalam waktu yang singkat dan menggambarkan maklumat dengan teratur baik.
Ia menjadi Alim (mengetahui) sempurna lagi dicekapi (Mutakallimah: maksudnya dicapai dari sebelah hijab atau dengan kata lain, mendengar suara dari Alam Hakikat atau Alam Ketuhanan tingkat Wahdiah atau Al-Aqlul Kulli yang memberikan ajaran-ajaran).
Ia mengambil cahaya dari pengarahan terhadap Jiwa-Jiwa keseluruhan (Al-Nafsul Kuliyyah) dan Jiwa-Jiwa Keseluruhan ini pula melimpahkan cahayanya ke atas Jiwa Bahagian (Al-Nafsul Juz'ie). Kedua-dua jiwa ini hampir serupa keadaan dipandang dari segi kerinduan kepada asal. Ia (jiwa-jiwa yang kurang sakit) memutuskan urat-urat dengki dan umbi dendam dan meninggalkan keutamaan dan perhiasan-perhiasan dunia. Bila jiwa-jiwa telah sampai kepada tingkat ini, sesungguhnya ia telah mengetahui, selamat dan berjaya. Inilah yang dikehendaki untuk semua orang.
No comments:
Post a Comment