Pages

Thursday, April 15, 2010

Bekas Mufti Sesat di Masjidil Haram



SOLAT Isyak sudah saya tunaikan. Saya terus bersiap siap, kemudian bergegas keluar dari hotel lalu berjalan kaki ke Masjidilharam. Memang sejak petang tadi saya sudah memasang niat, malam ini saya mahu beribadah di Masjidilharam.

Saya tiba di sana lebih kurang pukul 10.00 malam dan terus lakukan solat sunat, solat hajat serta membaca al-Quran. Inilah nikmatnya bila berada di Tanah Suci. Setiap orang berebut untuk beribadah kerana dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda daripada tempat-tempat biasa.

Ini bukanlah kali pertama saya ke Tanah Suci Mekah. Saya belajar di sini.Waktu itu, kita belum lagi merdeka. Saya pula baru berumur 18 tahun. Jadi, atas galakan keluarga, saya merantau melanjutkan pelajaran di Tanah Suci yang penuh berkat ini. Lebih daripada lima tahun saya belajar di Mekah.

Malam itu, kira-kira pukul 11.00, selepas selesai beribadah, saya pun berjaIan-jalan di sekitar kawasan Masjidilharam. Saya melihat beberapa tempat yang menjadi kenangan ketika zaman belajar.

Saya pergi ke multazam, perigi zamzam dan melihat pintu-pintu dan tiang yang memenuhi masjid, sambil itu mengenang kembali zaman indah sewaktu belajar dahulu.

Dulu saya sering ke sini. Ada kalanya saya datang bersendirian, ada waktunya pula bersama kawan-kawan. Tapi semuanya sudah berubah. Tidak seperti dulu semasa Mekah belum dilanda arus kemodenan dan Masjidilharam belum diperbesarkan.

Tiba-tiba terdetik di hati saya, Mekah bukanlah asing bagi saya. Ini tempat tinggal saya selama beberapa tahun. Saya tahu semua laluan serta selok-belok di Masjidilharam dan kota Mekah. Semuanya ada dalam kepala saya. Apa perlu saya risau.

Kira-kira 15 minit berkeliling di sekitar masjid, saya pun mengorak langkah ke luar. Saya mahu pulang ke hotel semula dan berehat. Namun, sebaik tiba di jalan keluar, tiba-tiba saya jadi bingung sendiri.

"Eh... mana pula lorong yang aku ikut masa datang tadi?" hati saya mula tertanya-tanya.

Pandangan saya jadi keliru. Ketiga tiga lorong di hadapan saya seakan-akan sama. Puas saya cuba mengingati lorong mana yang saya lalui sewaktu mahu ke sini, tapi gagal. Keadaan di lorong itu nampak janggal di mata saya.

Akhirnya, saya membuat keputusan melalui lorong pertama yang betul-betul berada di hadapan saya. Saya menyusuri lorong tersebut dan di akhir jalan, saya dapati ia tidak menuju ke hotel tempat saya menginap.

Saya pun berpatah balik dan cuba menyusur lorong kedua pula. Saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena bila lorong kedua itu juga jalannya tidak menghala ke hotel penginapan saya.

"Lorong mana pula yang aku ikut tadi?" saya bertanya-tanya di dalam hati.

Kaki sudah lenguh, tapi lorong yang diikut tidak membawa saya ke tempat yang dicari. Saya menggaru-garu kepala, bingung melihat bangunan-bangunan di sekeliling. Mana perginya hotel tempat saya menginap?

Sekali lagi saya berpatah balik. Saya cuba pula lorong yang ketiga, pun gagal juga menemui hotel tersebut. Akhirnya, saya kembali ke tempat mula-mula saya berdiri tadi. Lenguhnya kaki usah diceritakan lagi.

Saya betul-betul tidak faham. Tidak mungkin saya tersalah jalan. Saya yakin, inilah lorong yang saya lalui ketika mahu ke Masjidilharam tadi. Tapi bila disusuri, mengapa ketiga-tiganya tidak membawa saya ke hotel?

Kira-kira lima minit saya memikir mikir apa sebenarnya yang terjadi, tiba tiba saya teringat tentang perasaan saya ketika mengimbau kenangan lama sewaktu masih belajar di sini dulu.

Baru saya tersedar, mungkin tadi ada terdetik di hati saya rasa bangga atau ujub apabila menyangka bahawa segala selok-belok jalan di Mekah ini saya ketahui. Mungkin tadi saya riak dengan diri sendiri.

Bila saya renung-renungkan, saya yakin itulah sebabnya Allah sesatkan saya. Mungkin di dalam hati saya tadi sudah mula timbul bibit-bibit perasaan membangga diri kerana merasakan saya tahu segala selok-belok jalan di sini. Kononnya saya belajar di Mekah, sedangkan orang lain tidak.

Saya mula tersedar, bila menjadi tetamu Allah s.w.t. di tempat yang di muliakan-Nya, kita mesti bersihkan hati. Kita kena buang segala perasaan tinggi diri, sombong, bongkak, angkuh dan sifat-sifat tercela yang lainnya.

Tanga bertangguh, saya kembali ke Masjidilharam. Saya tunaikan solat dua rakaat memohon ampun kepada Allah s.w.t. atas kesilapan yang saya lakukan tadi. Sungguh saya insaf, biarpun ia hanya terdetik di hati, namun sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Saya beristighfar memohon Allah menerima kekesalan saya ini. Hati saya benar-benar tersentuh. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Sepanjang beristighfar, air mata saya tidak putus-putus mengalir. Kira-kira pukul 2.00 pagi, barulah saya beredar dari kawasan Masjidilharam. Sebaik saja sampai lorong keluar tadi, saya ternampak seorang tentera sedang berkawal di sekitar kawasan itu.

Lantas saya pergi mendapatkan tentera itu dan bertanyakan yang mana satukah lorong yang betul untuk pulang ke hotel tempat saya menginap. Saya sebutkan nama hotelnya. Tentera itu menghalakan tangannya betul-betul di hadapan saya.
Subhanallah! Hati saya tidak putus putus bertasbih apabila tentera itu menunjukkan lorong untuk ke hotel adalah lorong pertama yang mula-mula saya masuki tadi.

Lorong itulah tadinya saya lalui dari hotel ke sini. Saya mengucapkan terima kasih kepada tentera tersebut dan terus melangkah pulang. Sepanjang berjalan, saya tidak henti-henti bertasbih dan memohon keampunan daripada Allah.

Biarpun sudah hampir 15 tahun berlalu, tetapi setiap kali saya teringatkan peristiwa itu, hati saya pasti akan berada sebak. Di Masjidilharam, sekiranya kita tersilap dan tersalah, Allah pasti menegur kita secara on the spot terhadap hamba-hamba yang Dia kehendaki.

Bagi saya, kejadian itu adalah satu petunjuk secara langsung daripada Allah terhadap diri saya sebagai hamba-Nya.
Sebenarnya Sepanjang pengalaman saya ketika di Mekah sama ada sewaktu belajar, menunaikan haji atau bertugas sebagai pegawai agama untuk Tabung Haji, banyak pengalaman pelik yang saya dengari.

Kejadian-kejadian itu adalah petunjuk daripada Allah untuk menegur hamba-hamba-Nya yang melakukan kesilapan ketika berada di Tanah Suci atau dosa-dosa yang lampau.

Masih juga segar di ingatan saya suatu peristiwa ketika membawa satu rombongan jemaah menunaikan haji beberapa tahun lalu. Pagi itu, kami bertolak dari Mekah ke Mina menggunakan empat buah kereta. Perjalanan ke sana tidaklah sejauh mana. Hanya kira kira 20 ke 30 minit saja.

Ketika dalam perjalanan, seorang daripada jemaah kami mengajuk perbuatan yang selalu dilakukan oleh tourist guide ketika membawa pelancong melawat kawasan bersejarah.

Apabila melalui sesuatu tempat di dalam perjalanan Mekah ke Mina, dia akan membuat pengumuman, "Tuan tuan dan puan-puan sekalian, sekarang kita baru saja keluar dari kota Mekah. Cuba tuan-tuan dan puan-puan pandang ke kanan, nampak tak bukit di sana tu? Itulah bukit tempat..."

Kami tergelak melihat gelagat jemaah tersebut. Memang lucu. Boleh dikatakan sampai saja di suatu tempat, pasti dia akan membuat pengumuman memberitahu nama tempat itu dan sejarahnya, siap dengan gayanya sekali.

Kereta kami terus meluncur dan jemaah berkenaan terus meneruskan tugas tidak rasminya itu. Semasa membuat pengumuman, tangannya diletakkan di mulut seolah-olah sedang memegang mikrofon. Memang kelakar.

Apabila kami hampir sampai ke Mina, tiba-tiba kami dapati jalan menuju Mina ditutup. Polis tidak membenarkan kami memasuki jalan tersebut dan meminta kami mencari jalan lain.Kami terpaksa berpatah balik dan mencari jalan alternatif. Apabila kami tiba di satu persimpangan jalan lain untuk menuju ke bandar itu, jalan tersebut juga  ditutup kerana sedang dibaiki.

"Aii... jalan ni pun tutup juga?" hati saya mula berbisik. Takkan semua jalan ditutup? Kalau begini, macam mana hendak ke Mina?" Saya mula rasa tidak sedap hati. Kami pun berpusing lalu mencari jalan lain.

Dalam waktu mencari jalan lain itu, kami mula berpusing-pusing tanpa arah. Sedar tak sedar, kami sudah tersesat jalan. Langsung tidak jumpa jalan menuju ke Mina.

Saya mula pelik sebab kebanyakan penumpang termasuk pemandu kereta itu bukanlah pertama kali menjejak kaki ke Tanah Suci. Ini mesti ada sesuatu yang tidak kena. Masing-masing di dalam kereta sudah senyap. Mulut bagaikan terkunci. Begitu juga dengan 'tourist guide' tadi. Kami tidak  dengar lagi pengumumannya yang lucu itu. Agaknya masing-masing sedar, pasti ada sikap kurang elok yang mereka lakukan tanpa sengaja.

Apa yang berlaku pada kami memang tidak masuk akal. Sudahlah jalan jalan menuju ke Mina semuanya ditutup, sesat-barat pula. Kesudahannya hampir empat jam kami berpusing-pusing di sekitar kawasan itu. Akhirnya, kami ambil keputusan pulang semula ke hotel.

Apabila terkenang peristiwa itu, saya cuma dapat mengagak, mungkin tindakan salah seorang jemaah yang mengajuk lagak seorang tourist guide itu sebenarnya tidak kena pada tempatnya.

Tanah Suci adalah untuk ibadah. Ibadah bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Apatah lagi di Tanah Suci. Jika tersilap baik dari segi perbuatan mahupun niat di hati, mungkin Allah akan tunjuk secara kifarahnya pada ketika itu juga.

Peristiwa demi peristiwa yang saya saksikan itu membuktikan, Allah tidak memandang status seseorang hambaNya. Biarpun dia seorang hamba sahaya, seorang ulama, rakyat biasa, mahupun seorang pemimpin, semuanya setaraf di sisi Allah.

Bagi saya, teguran atau sebarang kejadian pelik yang berlaku kepada seseorang ketika di sana merupakan satu rahmat. Ini menunjukkan bahawa Allah masih sayangkan hamba-Nya dan masih memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat.

- Hafiz Hamzah. Sumber: Mastika 11,2007

No comments:

Post a Comment