Pages

Thursday, April 15, 2010

Bahana Ilmu Kebal



Malam itu merupakan malam ke tiga bagi Zainal bertugas. Zainal yang bertugas sebagai seorang Atendan kesihatan di hospital memulakan tugasnya pada malam itu seperti biasa. namun tepat pada jam pukul 12.00 tengah malam, dia diminta untuk membantu Pembantu Perubatan yang bernama Azli untuk pergi mengambil seorang mangsa kemalangan jalan raya di simpang 3 laluan ke Bandar utama, suasana malam itu agak suram disertai dengan cahaya kilat di langit  yang kadang kala menyuluh kesepian malam itu. Setibanya Zainal di tempat kejadian, orang ramai sudah mula berpusu-pusu dan mengerumuni kawasan kemalangan tersebut, Zainal membantu Azli untuk mengangkat dan mengusung mangsa ke dalam ambulan, mangsa dalam lingkungan 50an itu tidak dapat dicam dengan jelas oleh Zainal kerana wajahnya penuh dilumuri darah yang keluar membuak-buak dari hidung dan mulutnya. Mangsa dilihat beberapa kali mengelupor dan mengeletik menahan kesakitan yang amat sangat, tetapi apa yang menghairankan zainal ialah tiada sebarang luka yang dilihatnya, bahkan hanya terdapat garisan putih di atas permukaan kulit seperti digesel dengan sesuatu yang tumpul. Memang tiada langsung luka besar dilihatnya kecuali perdarahan yang banyak keluar dari mulut dan hidung mangsa sehingga membasahi lantai ambulan. Kalau mengikutkan kemalangan yang berlaku, sudah pasti mangsa akan patah riuk atau mengalami kecedaraan luaran yang serius, kerana motorsikal yang dinaiki mangsa bukan sahaja merempuh belakang lori treler yang sarat dengan muatan berat, tetapi juga mangsa dan motorsikalnya juga terpelosok di bawah perut lori tersebut, biasanya dari pengalaman yang Zainal tempuhi selama hampir 25 tahun bertugas sebagai atendan kesihatan, mangsa begini jarang hidup lama, kalau tidak mati ditempat kejadian, mangsa biasanya akan meninggal di hospital.
Setibanya mereka di hospital, Dr Amen dan Paramedik yang lain bertungkus lumus memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa kemalangan yang diambil oleh mereka tadi, Azli cuba mengeluarkan perdarahan beku yang masih berada di ruang pernafasan mangsa dengan melakukan sedutan. Beberapa kesan bengkak dapat dilihat di kawasan peha kiri mangsa yang menunjukkan ada tanda-tanda kepatahan. Setelah mangsa di berikan bantuan pernafasan, JuruX-ray di minta untuk melakukan x-ray di kawasan yang disyaki mengalami kepatahan tulang, setelah siap filem X-ray diproses, Dr Amen melihat filem-filem X-ray mangsa untuk menyiasat kawasan kepatahan yang terlibat pada mangsa, tetapi Dr Amen kehairanan melihat tulang peha kirinya di dalam filem x-ray yang menunjukkan tulang tersebut tidak menembusi kulit peha mangsa sedangkan kalau berdasarkan teori dan pengalamannya, kepatahan jenis ini akan mengakibatkan luka pada kulit terlibat yang dikenali sebagai kepatahan tulang terbuka. Mungkin impak kepatahan tidak kuat, namun di fikiran Dr Amen ianya masih menjadi tanda tanya.
Tepat Jam 1.00 pagi, mangsa yang dalam keadaan nazak itu akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya kerana komplikasi penafasan dan kecederaan dalaman di ruang pernafasannya. Zainal sekali lagi ditugaskan untuk melakukan "last Office" ke atas jenazah mangsa sebelum mangsa di bawa ke bilik mayat untuk dibedah siasat.
Ketika dalam perjalanan ke bilik mayat, Zainal terasa seolah-olah diekori dan diperhatikan oleh seseorang dari belakang, namun ianya sudah lumrah bagi Zainal kerana mangsa yang mati akibat kemalangan jalan raya memang akan menimbulkan sedikit rasa seram ditambah pula jam pada ketika itu menunjukkan Pukul 1.30 pagi, tiba-tiba terdengar satu suara nyaring mengilai dari atas bumbung bilik mayat dan ketika itulah Zainal terlihat satu susuk tubuh berambut panjang dan berpakaian putih terbang dari atas bumbung bilik mayat terus meuju ke hutan berhampiran hospital dalam keadaan hujan yang turun dengan lebatnya pada ketika itu. Terasa longlai lutut Zainal seketika, namun Zainal kuatkan juga semangatnya agar mayat yang dibawanya tadi dapat disimpan di dalam bilik simpanan mayat dengan selamat agar proses bedah siasat dapat dilaksanakan dengan sempurna pada keesokan harinya.
Setelah segalanya selesai, Zainal pulang semula ke jabatan kecemasan dengan langkah yang cepat dan wajahnya yang pucat tanpa bicara sepatah perkataan apabila disapa oleh Azli. Azli mengusik Zainal dengan mengatakan dia mungkin disampuk hantu semasa pergi ke bilik mayat tadi, Ejekan dan usikan Azli itu turut disertai dengan gelak tawa dari rakan-rakan yang lain, namun gelak tawa mereka terhenti apabila tiba muncul suara garuk yang turut sama-sama ketawa ketika mereka ketawa. Bunyi ketawa itu semakin lama semakin kuat dan nyaring, pada ketika itu bukan sahaja Zainal sahaja yang berubah wajah dan pucat, namun Azli dan rakan-rakan yang lain juga turut pucat mendengar suara ghaib yang tiba-tiba muncul itu. Mereka cuba mengamati suara ghaib itu, jelas sekali suara itu datang dari ambulan yang mereka gunakan semasa mengambil mangsa kemalangan jalan raya yang baru meninggal sebentar tadi. Apa yang menghairankan mereka sebaik sahaja Zainal dan Azli pergi ke ambulan tersebut, suara ghaib itu tiba-tiba hilang dan apabila ambulan dibuka, tiada apa mereka lihat melainkan peralatan perubatan dan lantai di dalam ambulan yang dipenuhi dengan darah dari mangsa kemalangan tersebut. Sebaik mereka meninggalkan ambulan tersebut sekali lagi mereka terdengar sesuatu dari ambulan. Namun kali ini bukanlah bunyi orang mengilai atau atu suara orang merintih menangis, tetapi bunyi kali ini mirip kepada bunyi seperti seseorang menjilat sesuatu dari lantai ruang ambulan tersebut, dalam keadaan panik tersebut Azli tidak sanggup lagi untuk melihat apa yang sedang berlaku di dalam ambulan tersebut, Cuma Zainal sahaja cuba memberanikan dirinya untuk melihat apakah disebalik bunyi yang didengarinya itu. sebaik sahaja pintu ambulan dibuka, alangkah terkejutnya Zainal apabila melihat lambaga yang berwarna hitam sedang tunduk menjilat darah di lantai ambulan yang masih belum mereka bersihkan itu. Hanya perkataan "Allahuakbar" sahaja yang mampu di tempik oleh Zainal ketika itu, dan pada saat itu jugalah lembaga tersebut hilang dari pandangan Zainal. Mereka yang bertugas pada malam itu tidak dapat tidur lena kerana sering di ganggu oleh jelmaan-jelmaan yang muncul di setiap penjuru ruang di bilik rawatan dan juga berhampiran garaj ambulan. Bukan sahaja Azli dan Zainal, bahkan Dr Amen juga merasa "panas badan" semasa bertugas malam itu. Sehinggalah kedengaran laungan azan menandakan masuknya waktu subuh, barulah gangguan-gangguan dari jelmaan tersebut tiba-tiba hilang.

BEDAH SIASAT

Pada keesokkan harinya, bermulalah satu lagi kisah misteri disebalik kejadian semalam, mayat mangsa kemalangan malam tadi dikeluarkan sekali lagi dari bilik simpanan mayat untuk dibedah siasat bagi mencari apakah punca disebalik kematian mangsa. Setelah mendapati mangsa tiada saudara mara atau waris terdekat, atas permintaan pihak polis yang mahukan siasatan dan laporan terperinci tentang punca kematian mangsa, maka bedah siasat terpaksa dilakukan tanpa perlu mendapatkan keizinan dari waris mangsa demi mencari kebenaran apakah kematian mangsa boleh dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah atau sekadar kemalangan biasa sahaja. Dr Amen di panggil sekali lagi untuk melakukan bedah siasat tersebut sambil diringi seorang pegawai polis dan diselia oleh seorang pakar forensik. Selain itu Azli dan Zainal juga turut dipanggil untuk membantu Dr Amen semasa melakukan bedah siasat ke atas mangsa. Dr Amen mengambil "scapule blade"  yang biasa digunakan untuk melakukan bedah siasat, namun Dr Amen meminta sekali lagi dihulurkan kepadanya satu scapule blade baru kerana scapule blade yang digunakan tadi tidak lut ke atas kulit mangsa, namun setelah kali ketiga Zainal menghulurkan scapule blade yang baru kepada Dr Amen, ternyata ianya masih juga tidak lut dan sedikitpun torehan ke atas kulit mangsa tidak terbuka, bahkan hanya sekadar menjadi garisan putih sahaja, melihat keadaan begitu, suasana di bilik mayat mula menjadi kecoh seketika, dan dalam keadaan panik begitu mereka berpendapat hanya seorang sahaja yang boleh membantu mereka mencari jalan penyelesaian di atas kebuntuan mereka itu, iaitu Hj Lamin, Hj Lamin adalah seorang tokoh ulamak yang cukup disegani kerana kebolehan beliau dalam merawat mangsa-mangsa yang terkena gangguan makhluk halus dan juga melibatkan masalah-masalah yang melibatkan alam ghaib. Bedah siasat terpaksa ditangguhkan kerana menunggu kehadiran Hj Lamin bagi membantu mereka menyelesaikan masalah yang sedang mereka hadapi itu. Kira-kira 15 minit kemudian Hj Laminpun tiba di bilik mayat, Hj Lamin sekadar mengambil segelas air kosong lalu dibacakannya sesuatu dan ditiup ke air tersebut sebelum merenjiskan air itu ke atas jenazah tersebut. Ternyata selepas itu mayat mangsa dapat di toreh hanya dengan beberapa kali torehan sahaja, akhirnya Dr Amen dapat menjelaskan punca kematian sebenar mangsa yang mati akibat tusukan tulang rusuk ke atas paru-paru dan juga jantungnya. Setelah segalanya selesai, Hj Lamin menjelaskan tentang mengapa mayat ini tidak boleh dibedah siasat dan peristiwa –peristiwa yang pelik berlaku semalam.
Hj Lamin memberitahu, arwah berasal dari tanah seberang yang datang berhijrah ke Malaysia suatu ketika dahulu, mangsa tinggal agak jauh di pendalaman kampung, mangsa tersebut bukan sahaja mahir dalam ilmu persilatan dan juga dunia perubatan tradisional, bahkan mangsa juga memiliki ilmu kebal yang tidak lut dari apa jua senjata yang diperbuat daripada besi. "Mungkin sebab  itulah mengapa tulang peha kirinya tidak dapat menembusi kulitnya kerana mangsa memiliki ilmu kebal" celah Dr Amen yang  berpuas hati dengan kemusykilan yang muncul setelah melihat filem X-ray mangsa malam tadi. Menurut Hj Lamin lagi, apa yang staff hospital lihat malam tadi adalah jelmaan penunggu yang di miliki oleh arwah semasa hidupnya dahulu, penunggu tersebut diberikan makanan dari darah arwah sendiri. Kini penunggu tersebut hilang arah tujuan kerana tuannya sudah tiada lagi, Hj Lamin sekali lagi diminta untuk menghalau makhluk yang tidak bertuan itu agar tidak lagi menganggu ketenteraman para petugas di hospital tersebut. Ambulan yang mengambil mangsa yang pada mula tidak boleh dihidupkan pada pagi tersebut juga sudah boleh berfungsi seperti sediakala. Darah-darah dari sisa kemalangan semalam juga dibersihkan. Mayat mangsa juga selamat disempurnakan mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh agama islam. Cukuplah sekali kata Zainal dengan harapan agar tiada lagi gangguan yang menakutkan begini berulang lagi di masa akan datang....


~ Mohd Faisal Bin Hj Ishak~

No comments:

Post a Comment